Thursday, 22 October 2015

Truly, Madly, Deeply 7, 8


BAB 7
 
LAMA Arissa perhatikan riak wajah Adrian. Senyum saja, tampak bahagia. Adrian tak perasan dia sedang diperhatikan dek kerana terlalu ralit dengan telefon bimbitnya.

“Dari tadi I tengok you senyum je. Kenapa?”

Dari skrin handphone, pandangan Adrian beralih ke wajah Arissa. Makin meleret senyumnya. Sampai ke telinga.

“Kenapa? Mestilah sebab happy. Dah lama tak rasa bahagia macam ni, tahu tak?” Adrian menyedut mocha frapuccinonya sedikit. Kalau datang Kueh, mesti air itu yang dia order. Arissa pula wajib pesan mint mocktail.

Arissa juga sudah tersenyum. Dia juga sama. Bahagia, teramat bahagia.

“Sekarang I baru boleh tarik nafas lega. Sebelum ni rasa macam ada batu atas kepala. Alhamdulillah, semua masalah kita selesai.” Sambung Adrian.

“I pun. Rasa hidup ni macam tak lengkap bila you tak ada.” Luah Arissa sedikit sayu. Putus tak lama, namun sakitnya tak terperi. Tak dapat dia bayangkan kalau dia dan Adrian tak berbaik langsung, macam manalah dengan dia nanti?

“Orang tu yang jual mahal sangat. Kalau tak kita dah lama berbaik.”

Arissa menumbuk perlahan bahu Adrian. Geram disindir begitu. Adrian ketawa mengekek. Rindu nak sakat buah hati.

“Semuanya salah I.” kata Arissa lagi.

“I yang salah. Kalau I tak batalkan date kita malam tu, ini semua takkan jadi, kan?”

“Jangan cakap pasal tu lagi. What past is past.”

“Sungguh, masa kita break sekejap I rasa macam nak mati. I hampir-hampir kehilangan you.”

“Siapa kata you hilang I?”

“I tahu Allah cuma nak duga sikit je. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa, orang yang I sayang balik semula ke pangkuan I.” lembut mata Adrian merenung wajah Arissa, gadis yang mencintai dia seadanya.

Itulah yang membuatkan Adrian menyedari sesuatu. Arissa dan Krisya amat berbeza. Kalau Krisya di tempat Arissa sekarang, belum tentu dia akan buat apa yang Arissa buat. Kalau bergaduh, Krisya takkan pujuk. Usahkan pujuk, nak dengar ungkapan maaf pun susah, walaupun salah itu dari dia. Selama jadi kekasih Krisya, Adrian yang banyak mengalah. Banyak juga makan hati. Setiap kali bertengkar, Adrian dimakinya. Kata-kata kesat dah sebati dengan dia. Jauh bezanya dengan Arissa. Marah macam mana pun, tak pernah sekali dia maki Adrian. Arissa kalau marah, dia lebih suka mendiamkan diri. Kata Hanif, Adrian lelaki bodoh. Bodoh kerana menyayangi gadis seperti Krisya yang tidak pernah tahu menghargainya.

“Oh ya, hari tu Hanif cakap you kena marah dengan lecturer. Lecturer mana yang garang sangat tu?” soal Adrian setelah membisu sejenak.

Arissa sengih kelat. Macam mana Adrian tahu? Mesti Hanif yang cerita. Hatinya berbisik. Serta-merta wajah garang pensyarahnya itu terbayang-bayang di mata.

“Madam Farah.”

“I dah agak dah. Dia tu memang. PMS ke apa? I rasa singa pun lari kalau jumpa dia.”

“You kenal ke?” dahi Arissa berkerut.

Adrian mengangguk. Madam Farah tu memang terkenal dengan sikap pemarahnya. Boleh dikatakan hampir semua student dia jadi mangsa. Sebut je nama Madam Farah, semua pun takut.

“MSU ni bukannya besar sangat, sayang. Kawan I pun pernah kena dengan dia. Memang kaw-kaw dia mengamuk. Suka sangat malukan student dalam kelas. Entahlah. Tak faham macam mana dia boleh jadi lecturer.”

“Itulah pasal. Garang tak bertempat. I malu gila dengan kawan-kawan masa tu.”

“Kesian sayang I ni. Tak patut dia buat macam tu.”

“Dahlah. I taknak ingat pasal tu dah.” Kata Arissa. Benci nak cakap pasal tu lagi.

“I mintak maaf sebab I tak ada di sisi you di saat you perlukan I. I ni bukan kekasih yang baik. Sungguh, I menyesal.”

Arissa merenung wajah Adrian sejenak. Jelas riak kesal di wajahnya.

“Alaa.. benda kecik je tu. Dah lepas dah pun. Tak payah ungkit lagi.” Lembut Arissa menuturkan kata. Tidak mahu Adrian terus dihimpit rasa bersalah.

Adrian angguk faham. Jam tangannya dikerling sekali.

“Jom balik. Nanti jalan jam pulak. Kita pergi ambil kereta you dulu.” Ujar Adrian.

Mereka bangkit dan terus beredar, melangkah ke kereta. Arissa menjeling jam di tangan. Cepatnya masa berlalu. Tak puas lagi dating dengan Adrian. Alaaa.. gediklah, Arissa! Macamlah esok tak boleh jumpa. Hari-hari jumpa dekat kampus. Omelnya dalam hati.





AFNAN tersengih melihat kelakuan Adrian di ruang tamu itu. TV buka tapi tak tengok pun. Sejak tadi Adrian dengan handphone. Selang lima minit mesti ada mesej masuk. Afnan hairan. Adiknya itu kejap senyum, kejap ketawa. Lain macam sungguh perangai dia kali ini kalau nak dibandingkan dengan yang sebelumnya. Sedih memanjang. Ini mesti dia dah angau balik, tapi dengan siapa?

“Dari tadi tak lekang dengan handphone, lepas tu senyum sorang-sorang. Angau! Sekejap je dah dapat pengganti. Hebat adik abang ni.” Afnan melangkah perlahan ke sofa berkembar, tidak jauh dari Adrian.

Adrian sengih. “Pengganti? Abang cakap apa ni? Ian tak faham.”

“Yelah, Ian dengan Arissa kan dah putus, mestilah ada kekasih baru. Siapa orangnya?” Afnan cuba mengorek rahsia adik kesayangannya.

Ketawa Adrian. Nampaknya abang dia dah salah faham.

“Mana ada, bang. Ian masih dengan Arissalah.”

“Ooo.. dah berbaik la ni?”

Adrian cuma mengangguk sambil tersengih meleret. Seketika, pandangannya dilarikan ke televisyen. Sunyi je rumah ni bila Mukmin dan adiknya Khalif tak ada, ikut maknya ke Tesco beli barang dapur. Entah bila nak balik. Rindu sungguh Adrian nak jumpa dua beradik tu. Bila ada masa lapang, Adrian pasti akan ke rumah Afnan hanya untuk melepaskan rindu pada anak-anak saudaranya.

“Padanlah angau semacam. Bila nak kahwin?” soal Afnan lagi. Bertubi-tubi soalan, mengalahkan wartawan. Sangkanya Adrian dan Arissa dah tak ada apa-apa, rupa-rupanya dah berbaik semula. Senang hati dia mendengarnya.

“Kahwin? Kami ni belajar pun tak habis lagi, macam mana nak kahwin?”

“Itu abang tahu, cuma abang tak berapa berkenan tengok Ian bawak anak dara orang ke hulu ke hilir. Tak manis orang tengok. Elok kahwin cepat-cepat, taklah jadi buah mulut orang.”

Adrian diam. Teguran berbaur nasihat Afnan masuk ke dalam kotak fikirannya. Kata-kata abangnya itu ada betulnya. Dia dengan Arissa macam belangkas. Nak ke mana-mana mesti berdua. Bila berdua, adalah yang ketiga. Tiba-tiba Adrian jadi takut. Takut tewas dengan godaan iblis. Nauzubillahiminzalik! Semoga dijauhkan dari perbuatan terkutuk itu.

“Ian faham maksud abang. Masalahnya, adik abang ni diri sendiri pun tak terjaga, inikan pulak nak sara hidup berdua. Takkan Ian nak bagi Arissa makan pasir?” balas Adrian. Kalau ikutkan, memang dia nak sangat kahwin cepat tetapi keadaan tidak mengizinkan. Dari awal lagi Adrian dah tanamkan impian, sebaik tamat pengajian dia akan menikahi Arissa. Tetapi untuk sampai ke tahap itu masih banyak yang perlu ditempuh. Hendak tak hendak, kenalah bersabar.

“Nikah gantung. Habis cerita.” Jawab Afnan tenang dan bersahaja.

Bulat mata Adrian memandang Afnan. Nikah gantung??!!



“KALAU Ian tanya auntie, jawapannya auntie setuju sangatlah dengan cadangan abang tu.” Hafiza meluahkan. Perlahan-lahan dia menabur makanan ikan ke dalam akuarium.

“Auntie pun sama?” kening Adrian terjungkit. Sangka Adrian makciknya itu akan membantah, rupa-rupanya dia pun dua kali lima saja dengan Afnan. Dia sendiri terkejut mendengar cadangan abangnya itu.

“Sekurang-kurangnya bila dah bernikah, kamu ada ikatan yang sah. Orang pun tak mengata.”

Adrian menarik nafas panjang. Dia tahu dah ramai yang buat macam ni. Nikah gantung tu istilah Melayu, kalau dalam bahasa Arab ia dipanggil nikah khitbah. Ya, dia pernah dengar pasal ni dalam satu ceramah di Youtube. Nikah gantung, inesiatif paling mudah untuk pasangan muda yang ingin berkahwin, tetapi masih menuntut dan tidak berkemampuan untuk menyara pasangan. Lagi yang Adrian tahu, lepas nikah pasangan suami isteri tidak boleh sebumbung. Nafkah zahir isteri juga tetap di bawah tanggungan ayahnya selagi mereka tidak bersama.

“Tapi ini perkara serius, auntie. Bukannya boleh buat main. Kena ada persetujuan kedua belah pihak.” Adrian berbaring selesa sofa panjang. Kepalanya diletak pada penghadang sofa. Dia tak boleh memandai-mandai buat keputusan. Harus berbincang dengan Arissa dulu. Kalau orang tua Arissa setuju, alhamdulillah. Kalau tidak terpaksalah Adrian tunggu sampai mereka betul-betul dah bersedia.

Hafiza melabuhkan punggung di kerusi yang lagi satu.

“Habis, Ian setuju ke tidak?”

“Siapalah yang taknak kahwin, auntie. Tambahan pulak Arissa tu cantik, bijak, jadi perhatian orang. Ian takut kalau Ian lambat bertindak, sekelip mata orang kebas dia.”

“Tahu pun. Auntie tak paksa. Ini semua terserah pada Ian, nak atau tak. Kami cuma cadangkan aje. Kalau Arissa setuju, kita teruskan aje. Soal duit jangan risau, auntie ada. Lagipun kita buat majlis nikah je dulu, kenduri lain kali.”

“Betul ke ni, auntie?” Adrian mengangkat kepalanya, memandang terus ke wajah mama saudaranya itu.

“Ian nampak macam auntie tengah bergurau ke?”

Lama Adrian tenung wajah Hafiza. Tidak ada senyum atau ketawa. Sahlah kakak kepada arwah mamanya itu tidak bergurau.

“Nantilah Ian fikirkan. Bagi Ian masa untuk berbincang dengan dia.”

Hafiza angguk. Jam di dinding dikerling sepintas lalu. Dia terus ke dapur untuk memulakan kerja-kerja memasak. Adrian tidak berganjak dari tempat dia berbaring. Kedua-dua tangannya diletakkan belakang kepala. Siling rumah direnung kosong. Kepalanya masih ligat memikirkan hal yang dibincangkan tadi. Berdebar-debar pula dia bila fikir soal kahwin. Kalau dah memang jodoh aku sampai awal, aku terima. Bisik Adrian dalam hati.

Sedang asyik mengelamun, telefon bimbit yang diletak dalam poket seluarnya bergetar. Cepat-cepat Adrian keluarkan. Berharap Arissa yang call, rupa-rupanya Azmeer. Adrian mengeluh. Lain yang ditunggu, lain yang muncul.

“Hello.”

“Hello, bro. Kau kat mana?” soal Azmeer.

“Kat rumah auntie aku. Kenapa?”

“Saja call, nak tanya minggu depan kau busy? Ingat nak ajak lepak.”

“Lepak? Dekat mana? Kita je ke?”

“Tak decide lagi dekat mana. Member-member kita pun ada sekali. Irsyad, Jai, Boy. Oh ya, nanti kau ajak Hanif sekali.”

Adrian berfikir sejenak. Dia ingat nak ajak Arissa keluar minggu depan. Lagipun dia sudah berjanji pada dirinya sendiri untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dia nekad tidak mahu mengabaikan Arissa lagi.

“Tengoklah macam mana. Aku tak janji. Nanti apa-apa hal aku call kau.”

“Ok. Harap kau boleh join la ye? Chow!”

Butang merah ditekan. Beberapa saat kemudian, ada satu lagi panggilan diterima. Kali ini dari Jai. Eh? Panjang umur budak ni! Apa hal semua kawan-kawan aku smamak cari aku ni? Rindu aku la tu! Ujar Adrian dalam hati.

“Ye, Jai. What’s up?” ujar Adrian sebaik fon dilekapkan ke telinga.

“Aku call ni nak tanya, ada tak Azmeer call kau?” tanya Jai.

“Baru tadi dia call aku, ajak lepak minggu depan. Apasal, bro?”

“Maknanya kau dah tahulah pasal ni? Ini bukan plan dia pun sebenarnya, tapi Krisya yang suruh.”

Dari posisi berbaring, Adrian bangun dan duduk menyandar ke sofa. Matanya membuntang. Apa kaitan Krisya dalam hal ini?

“What?!! Krisya?!! Kau cakap apa ni, Jai?!”

“Aku terdengar Azmeer cakap fon dengan Krisya. Aku syak Krisya suruh Azmeer ajak kau lepak, sebab dia nak sangat jumpa kau. Tapi dia tak bagi Azmeer sebut nama dia sebab dia tahu kau takkan setuju. Dan untuk pengetahuan kau, dia tak ajak kita orang pun. Apa yang dia cakap kat kau tu tipu belaka! Sebenarnya yang nak jumpa kau Krisya sorang je. Sumpah!! Aku cakap betul ni!! Percayalah, bro.” sungguh-sungguh Jai meyakinkan.

“Biar betul, Jai? Kau jangan main-main!” susah Adrian nak percaya. Jai bercakap benar atau sengaja mereka cerita?

“Kalau kau tak percaya, pergilah jumpa dia minggu depan. Tapi jangan terkejutlah bila nampak minah tu nanti.” Jai sekadar mengingatkan.

“Memang Azmeer tak sebut langsung nama Krisya tadi. Kurang asam betul!!” Adrian ketap gigi sekuat hati. Sakitnya hati dia. Azmeer sengaja cari pasal! Tak sangka Azmeer sanggup khianat kawan sendiri.

“Kan betul aku cakap? Aku inform ni pun sebab aku tahu kau tak suka jumpa minah tu. Jadi, pandai-pandai kaulah cari alasan, bro. Minah tu macam dah terdesak sangat aku tengok.”

“Ok, ok. Terima kasih banyak-banyak, Jai. Terima kasih.” Ucap Adrian berkali-kali. Lega kerana Jai telah menyelamatkannya dari terjerumus ke dalam perangkap perempuan licik tu.

“No problem.”

Talian dimatikan. Lama Adrian berfikir. Dia dah masak sangat dengan perangai Krisya. Perempuan tu nak jumpa dia bukan apa pun, saja nak menggatal. Geli-geleman pula dia jadinya. Apa yang patut dia buat? Dia buntu. Tiba-tiba, datang idea bernas. Kotak SMS dibuka. Laju jari-jemarinya menaip pesanan ringkas untuk dihantar pada Arissa.



Sayang, next week temankan I jumpa kawan kat KL, ok? Love you.


Adrian tersenyum jahat. Sengaja dia rancang begitu, supaya Krisya terkejut bila lihat Arissa ada sekali nanti. Lagipun, inilah masanya untuk dia perkenalkan kekasihnya pada perempuan itu. Biar Krisya tak boleh dekat dengan dia, takkan ganggu hidupnya lagi. Adrian mahu Krisya melihat sendiri kebahagiaan yang dimilikinya kini.







_______________________________________



BAB 8



LEBAR senyuman Krisya sebaik melihat kelibat Adrian yang baru masuk ke Johnny Rockets, Avenue K itu. Namun senyumnya tidak lama apabila terpandangkan gadis yang berdiri di sebelah bekas kekasihnya. Siapa pula dengan Adrian tu? Kekasih dia? Krisya hampa. Misinya gagal. Sangkanya Adrian akan datang seorang, rupa-rupanya bawak teman. Habis rosak plan!

“Ian!” tegur Krisya mesra.

Adrian yang sedang mencari tempat duduk, berpaling.

“Eh, Krisya! Tak sangka pulak jumpa you kat sini. Sorang je?” Adrian pura-pura terkejut. Walhal dia sudah tahu Krisya ada di situ.

“Sorang je. Kebetulan pulak jumpa kat sini, kan?” ujar Krisya seraya tersenyum nipis. Buat-buat terkejut sedangkan memang ini adalah rancangannya sendiri.

“I sebenarnya nak jumpa Azmeer and the gang. Masalahnya tak nampak pulak batang hidung dia orang kat sini.” Mata Adrian melilau ke sekeliling. Pura-pura mencari kelibat kawan-kawannya yang dia sudah tahu tidak mungkin akan muncul di situ.

Krisya senyum, cuba berlagak tenang. Tidak mahu tampak resah di mata Adrian. Mana mungkin budak-budak tu nak datang. Tak ada siapa pun ajak. Aku saja yang nak jumpa dia. Azmeer pun confirm takkan datang!

“Oh ya, kenalkan ini Arissa, my girlfriend. Sayang, ini Krisya. Schoolmate masa sekolah menengah dulu.”

“Hi, nice to meet you.” Arissa sudah tersenyum. Tangan dihulurkan ke arah Krisya. Dia tampak tenang dan bersahaja tatkala berdepan dengan bekas kekasih Adrian, kerana semuanya sudah Adrian jelaskan. Mulanya memang Arissa tak mahu ikut, namun tak sampai hati nak kecewakan Adrian. Sudahnya dia setuju juga walau keberatan.

“Nice to meet you too.” balas Krisya yang cukup hambar senyumannya. Lambat-lambat dia menyambut tangan Arissa. Ikhlas tak ikhlas gayanya. Kesempatan ini digunakan Krisya untuk mengamati wajah Arissa. Cantik, lembut raut wajahnya. Padanlah kalau Ian suka. Bisiknya dalam hati.

Adrian yang memerhati, ketawa dalam hati. Geli hati melihat perubahan wajah Krisya. Tadi bukan main ceria, nampak Arissa je terus jadi mendung. Pasti saja Krisya sedang menyumpah seranah dia sekarang. Tapi Adrian tak kisah sebab dia sudah lali. Krisya boleh kutuk atau buat apa saja, yang penting dia sudah berjaya merosakkan rancangan bekas kekasihnya itu.

Melihat Krisya yang kian resah, mahu saja Adrian ketawa sekuat hati. Jelas gadis itu sedang berbohong. Krisya, Krisya. Ingatkan bijak sangat, rupa-rupanya bodoh jugak! Gerutu Adrian dalam hati.

"Sementara tunggu dia orang datang, apa kata you all join I dulu?" usul Krisya.

Adrian pandang Arissa lama, menanti respons dari gadis itu. Arissa senyum, mengangguk tanda setuju. Adrian terus menarikkan kerusi untuk Arissa, bertentangan dengan Krisya. Dia pula duduk di sebelah Arissa. Krisya tersenyum senang kerana dia fikir Adrian akan menolak. Dia tak sedar yang dua orang insan di hadapannya itu sudah tahu muslihatnya.


“Sayang dah fikir ke nak makan apa?” soal Adrian pada Arissa yang sedang meneliti menu di tangan.

“I nak yang ni. Grilled chicken breast sandwich. Tengok nama macam sedap.” Arissa menunjuk pada menu tersebut.

“A’ah la. I pun nak order yang sama jugaklah.”

Gelagat mereka diperhatikan oleh Krisya. Semakin menjadi-jadi rasa cemburunya menyaksikan kemesraan di antara Adrian dan Arissa. Krisya pantas melarikan pandangannya ke arah lain. Alangkah bahagianya aku kalau aku ada di tempat Arissa sekarang. Boleh nampak betapa dia bahagia di samping Adrian, lelaki yang satu ketika dulu pernah menjadi milik aku.

Suasana di Johnny Rockets cukup meriah. Lebih-lebih lagi hujung minggu begini. Ramai pelanggan pula tu. Dari tingkat atas, Arissa terhibur melihat para pekerja Johnny Rockets begitu lincah menari, mengikut rentak lagu Oppa Gangnam’s Style. Sambil makan sambil berhibur.

“Jadi, dah lama you dengan Ian ni?” soal Krisya.

Mendengar soalan yang ternyata diajukan kepadanya, Arissa menoleh. Perlahan dia mengangguk.

“Yup. Setahun lebih dah.”

“Ohh.. macam tu..” Krisya buat-buat senyum, menutup rasa cemburu di hati.

Arissa pandang Adrian di sebelah. Lelaki itu senyum saja.

“Bila nak kahwin?” tanya Krisya lagi.

Tak sempat Arissa nak jawab, Adrian pantas bersuara.

“Insya-Allah, soon. Very soon.”

Arissa senyum, mengiakan jawapan yang sengaja direka Adrian. Kalau mengikut perancangan mereka, selepas tamat belajar baru mereka akan bincang soal kahwin pula.

“Korang nampak sweet berdua. Tahniah lagi sekali.” Ucap Krisya. Mulut saja yang mendoakan, tetapi dalam hati peritnya Tuhan saja yang tahu. Sukar untuk dia terima semua ini. Tidak ada lagi peluang untuk dia terus mendekati Adrian.

“Doakan kebahagiaan kami.” Kata Adrian pula.

“Insya-Allah.”

Ada satu pesanan ringkas yang masuk ke telefon bimbit Adrian. Dari Azmeer. Azmeer kata dia tak dapat datang sebab keretanya tiba-tiba buat hal. Adrian ketawa dalam hati. Azmeer, Azmeer. Tak habis lagi nak kelentong aku rupanya! Kalau aku dapat kau, matilah kau aku kerjakan!

“Alaa.. Azmeer dengan yang lain tak jadi datanglah, sayang. Kereta Azmeer buat hal tiba-tiba.” Adrian memberitahu pada Arissa.

Arissa yang sudah tahu apa sebenarnya terjadi, memandang Adrian sekilas. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke lain. Bibir dikemam menahan senyum. Pandai berlakon betul dia orang ni. Dan-dan kereta Azmeer rosak. Dia ingat kami tak tahu agenda mereka tu?

“Kalau macam tu kami gerak dululah. Kami tak boleh lama-lama kat sini sebab nak pergi tempat lain pulak.” Adrian sudah panas punggung. Tak boleh tunggu lama lagi. Dia dah tak sabar nak angkat kaki.

“Nak pergi dah? Awal lagi ni. Tunggulah kejap.” Pujuk Krisya. Sudahlah dia datang bawak awek, nak balik cepat pulak. Sampai hati you, Ian. Hatinya bersuara.

“Sorry tapi I ada hal dengan Arissa. Jom, sayang.”

Tak sempat mereka nak turun, Krisya tiba-tiba saja memanggil Adrian. Adrian mengeluh bosan. Entah apa lagi yang Krisya tak puas hati.

“Ian, I nak cakap dengan you kejap boleh?”

Adrian memberi isyarat tunggu pada Arissa. Arissa yang sudah jauh ke depan, mengangguk faham. Sabar menanti Adrian di satu sudut.

“Nak cakap apa?” soal Adrian acuh tak acuh.

“I sebenarnya.. ada benda nak cakap dekat you.. Tapi..”

“Tapi apa? Sudahlah, Krisya. Hentikan lakonan you ni. I tahu ini semua rancangan you. Azmeer dengan kawan-kawan I tak datang sebab sebenarnya you yang nak jumpa I, bukan dia orang!” ujar Adrian dengan suara yang tertahan-tahan. Krisya dipandang tajam.

“Ma.. macam mana you tahu?” Krisya mula cuak. Sedar yang dirinya telah dipermainkan. Dia yang nak perangkap Adrian, lelaki itu pula yang perangkap dia. Padan muka kau, Krisya! Hatinya mengejek.

“Itu tak penting. Yang penting I tak terperangkap dengan jerat you.”

“You salah faham, Ian. I mintak maaf. Sebenarnya, I..”

“Sebenarnya apa? You cakap jelah you sebenarnya nak kenakan I, kan?! You dengar sini, Krisya. I harap I tak perlu jumpa you lagi lepas ni. Berhenti ganggu hidup I. I sayang Arissa dan I perlukan dia. I nak kahwin dengan dia. Tolong jangan ganggu kebahagiaan kami.” Tegas Adrian sebelum meninggalkan Krisya terkulat-kulat di situ.

Krisya mengetap bibir. Adrian dan Arissa sudah pergi. Argghhhh!! Bodohnya kau, Krisya!! Kau memang bodoh!! Disebabkan kebodohan kau, Adrian makin bencikan kau! Sudahlah, Krisya. Mengalah saja. Terimalah hakikat yang kau sudah kehilangan Adrian. Dia sudah tidak mencintai kau lagi!




“SAYANG, can I ask you something?” soal Arissa dengan nada manja.

Adrian sudah tersengih. Cair bila Arissa buat suara macam tu. Cair macam aiskrim kelapa Sangkaya ni. Lepas saja keluar dari Avenue K tadi, dia terus ajak Arissa pergi Kelana Jaya. Sampai hajat nak rasa aiskrim yang menjadi sebutan. Sedap sungguh. Patutlah ramai orang suka!

“Boleh, sayang. Apa dia?”

“I tengok you relaks je jumpa Krisya tadi. Tak ada rasa apa-apa ke dalam hati tu?” Sengaja Arissa ingin menguji. Sejak tadi, Adrian nampak relaks. Seolah-olah tak ada apa yang berlaku.

“Rasa? Rasa apa?”

“Rasalah. Takkan langsung tak rasa apa-apa? Selalunya orang kalau lepas jumpa bekas kekasih, dia akan teringat balik kisah lama. Tak pasal-pasal jiwa kacau. Macam tulah maksud I.”

Adrian ketawa mengekek. Arissa sudah memuncung sedepa. Orang serius dia ketawa pulak.

“Langsung tak. Kisah lama ke, kisah baru ke, langsung tak ada dalam kepala I.”

“Betul? Sumpah? Demi Allah?”

“Demi Allah, sayang. Cuma rasa lain tu adalah.”

Mata Arissa membulat. Jantungnya berdegup laju. Adakah apa yang dia takutkan jadi kenyataan? Dia takut Adrian akan jatuh cinta semula pada Krisya. Tidak!! Aku tak mahu ianya terjadi!

“Rasa apa?? Baik you cakap dengan I.”

“Rasa nak bunuh dia dengan Azmeer. Boleh?” seloroh Adrian disusuli ketawa kecil. Bunyi macam bergurau, tapi kalaulah membunuh tu tak berdosa, dah lama dia buat. Dia nak ajar Krisya dengan Azmeer cukup-cukup.

“Eeeee.. you ni!! I serius lah!” Arissa mencubit bahu Adrian sekuat hati. Tak cukup dengan itu, bahu Adrian ditumbuk berkali-kali. Betul-betul nak lepaskan geram.

Dahi Adrian sudah berkerut kesakitan. Baru nak usik sikit dah kena dengan dia. Ganas betul si cantik manis ni. Pantas dia menggosok-gosok bahunya yang dah selalu sangat jadi mangsa Arissa. Lengan baju-T berkolar yang dipakainya diselak, nak tengok takut ada kesan lebam tapi nasib baik tak! Pheww!

“Sayang, sayang. You ingat I masih ada perasaan cinta pada Krisya? Tak, sayang. Hati I cuma ada you je sekarang. Titik.” Jujur Adrian meluahkan. Matanya ke mata Arissa.

Arissa merenung wajah Adrian, tertanya-tanya sejauh mana kebenaran kata-kata lelaki itu. Bukan Arissa tak yakin, namun selepas bermacam dugaan yang menimpa, itu yang menyebabkan Arissa lebih berhati-hati.

“Sayang, kita kahwin.” Luah Adrian serius, setelah dilihatnya Arissa seakan sukar untuk mempercayai apa yang dia katakan tadi.

Arissa ketawa. Kata-kata itu dianggap hanya satu gurauan. Tak mungkin Adrian serius. Mereka masih mentah. Masih terlalu awal untuk memikirkan hal-hal seperti itu.

“You ni masa dengan Krisya tadi pun buat joke pasal tu je.” Tutur Arissa dengan tawa yang masih bersisa.

“You nampak I ketawa tak?” Adrian masih serius. Lebih serius berbanding tadi.

Tawa Arissa mati. Adrian dipandang lama. Baru sedar yang Adrian sebenarnya tidak bergurau.

“Sayang, you.. you serius?” soal Arissa ingin kepastian.

“I serius.”

Arissa tergamam.



PUAN Zulaikha berjalan ke bilik Arissa. Pintu bilik dikuak sedikit. Arissa tekun menulis sesuatu di meja komputer, sampaikan langsung tak sedar ibunya ada di situ.

Tuk! Tuk! Pintu diketuk.

Arissa tersentak. Dia menoleh ke arah Puan Zulaikha yang sudah lama tercegat di muka pintu. Arissa tersengih.

“Masuklah, mama.”

“Echa dah siap senaraikan tetamu?” soal Puan Zulaikha seraya menghampiri Arissa yang duduk di kerusi beroda berwarna pink.

“Belum. Sikit je lagi.”

Puan Zulaikha mencapai buku nota empat segi atas meja itu. Dua-tiga helai muka surat sudah penuh dengan senarai nama tetamu yang ingin dijemput ke majlis pernikahan Arissa dan Adrian nanti. Sanak-saudara dan kenalan rapat. Mulanya Puan Zulaikha terkejut juga bila Arissa memberitahu tentang hasrat Adrian itu. Dalam masa seminggu saja keputusan dibuat. Arissa dan Adrian mendapat restu dari kedua belah pihak.

“Dah nak jadi isteri orang dah anak mama.” Puan Zulaikha duduk di bucu katil. Berhampiran dengan Arissa.

Dari meja komputer, Arissa beralih tempat duduk di sebelah Puan Zulaikha. Arissa nampak mata ibunya sudah berkaca. Dia juga sebak tak terkata.

“Alaa.. mama janganlah nangis. Nanti orang pun nangis jugak.” Arissa memeluk pinggang Puan Zulaikha erat. Kepalanya diletak ke bahu wanita itu.

“Walaupun orang dah bersuami, orang tetap akan jadi anak kemanjaan mama dan ayah sampai bila-bila.” Pujuk Arissa sambil menggosok belakang Puan Zulaikha.

Puan Zulaikha sudah tidak dapat menahan air mata yang kian laju membasahi pipi. Siapa sangka anak tunggalnya ini akan menamatkan zaman bujangnya di usia muda. Tetapi Puan Zulaikha tidak membantah kerana dia yakin ini yang sudah tertulis buat anaknya. Andai sudah sampai jodoh mereka, dia terima dengan hati yang terbuka.

“Mama nak tanya lagi sekali, Echa betul-betul dah bersedia nak ada suami? Nanti bila dah habis belajar, Echa kena ikut suami Echa dah. Tak boleh berkepit dengan mama dan abah lagi.”

“Orang ni nampak je manja, tapi fikiran dah matang sebenarnya. Orang dah bersedia. Mama jangan risau. Insya-Allah semuanya akan okey.” Arissa senyum meleret. Jelas dia begitu bahagia. Semuanya bagaikan mimpi. Dia dan Adrian akan dinikahkan pada cuti semester nanti. Bermakna tinggal lagi dua bulan setengah menjelang detik penuh bersejarah itu.

“Alhamdulillah, senang hati mama mendengarnya.”

“Tak sangka jodoh orang sampai secepat ini. Kan, mama?” luah Arissa. Sungguh, sehingga ke saat ini dia masih tak percaya yang dirinya bakal bergelar isteri. Berita baik ini juga sudah sampai ke pengetahuan dua orang sahabatnya. Deena dan Sofea. Mula-mula mereka tak percaya. Lepas dah bercakap sendiri dengan Puan Zulaikha, baru dia orang percaya. Mereka tumpang gembira untuk Arissa dan Adrian.

“Itu semua perancangan Allah. Mungkin inilah yang terbaik untuk Echa dan Ian. Mama dan abah doakan kebahagiaan kamu kekal sampai ke syurga.” Puan Zulaikha mengusap-usap kepala Arissa penuh kasih.

Arissa semakin terharu mendengar doa indah itu dari wanita bergelar ibu. Air matanya mengalir tiada henti. “Amin. Terima kasih, mama. Orang sayang mama dengan abah dunia dan akhirat.” Luah Arissa sebelum pipi Puan Zulaikha dikucup lembut.


 ****
jgn lupa tinggalkan komen ya? tq!

2 comments:

  1. pls.. nak lagi...nak taw life after married dorg ape jadi..

    ReplyDelete