Saturday, 10 October 2015

Truly, Madly, Deeply 5, 6

BAB 5


FIKIRANNYA menerawang jauh terkenangkan seseorang. Adrian. Sudah berapa hari lelaki itu menyepikan diri. Kalau dulu setiap saat dia cari Arissa tapi sekarang tidak lagi. Mungkin saja dia sudah jemu. Huh! Buat apalah fikirkan dia, Arissa. Buat sakit hati je! Baguslah kalau Adrian dah tak cari kau. Itu bermakna kau tak perlu hadap dia lagi lepas ni. Suara hatinya bergema.

“Hari ni balik pukul berapa?”

Pertanyaan Lutfi mematikan lamunan Arissa. Hari ini Lutfi rela hati nak hantar dia ke kampus sebab kereta kesayangannya tiba-tiba ‘sakit’. Tak tahu apa puncanya. Dari jauh Arissa sudah nampak Stadium Shah Alam, menandakan mereka sudah tidak jauh dari MSU.

“Sepatutnya kelas sampai pukul 2 je. Tapi lepas tu mungkin ada nak buat group discussion sikit. Kenapa?”

“Saja tanya. Mana tahu kalau kebetulan dengan abang, abang pergi ambik.”

Arissa senyum. “Tak payahlah. Echa taknak susahkan abang. Abang tolong hantar ni pun dah cukup dah. Balik nanti Echa tumpang kawan je.”

“Susah apanya? Naik kereta je. Bukan abang kena dukung Echa,” seloroh Lutfi disusuli ketawa kecil.

Arissa tergelak sama. Pagi-pagi dah buat orang ketawa. Itulah Lutfi yang dia kenal sejak dari dulu.

“Echa sebenarnya taknak ganggu jadual abang. Echa tahu abang tak lama kat sini. Abang pun mesti nak luangkan masa yang ada dengan Kak Maira sementara abang kat KL kan?” sempat lagi Arissa mengusik. Tahu yang lelaki di sebelahnya itu sekarang tengah angau dengan gadis dari Kelantan, kini menetap di Kuala Lumpur. Comey-lotey orangnya!

“Memandai je. Tak adalah. Dia sibuk hari ni. Tak sempat jumpa abang.”

“Eleeehh.. lepas office hour nanti keluarlah. Takkan kerja sampai malam kut?”

“Pandailah dia usik abang. Makin lama anak Auntie Ika dengan Uncle Kamarul ni makin nakal! Echa tu apa cerita pulak? Adrian tu siapa? Boyfriend, ya?”

Senyum Arissa mati mendengar nama itu. Dia diam sejenak. Buat-buat tengok cermin betulkan tudung. Seboleh-bolehnya dia cuba elak dari bercakap mengenai Adrian, tapi Lutfi dari hari tu lagi cuba korek rahsia.

“Abang ni.. kan Echa dah cakap dia kawan Echa.”

Lutfi menjuih bibir. Jawapan sama yang Arissa beri tempoh hari. Kawan? Arissa memang tak pandai menipu. Dia lebih dulu makan garam dari Arissa.

“Kawan apa kalau sebut pasal dia je pun muka dah ketat semacam. Ini mesti kawan istimewa ni.” Lutfi menyerkap jarang. Dah lama dia perhati, setiap kali sebut pasal Adrian mesti Arissa jadi badmood.

Arissa terdiam. Tak tahu apa nak dikata. Sedar tak sedar, mereka sudah dekat dengan MSU.

“Abang berhenti kat sini jelah. Tak payah masuk dalam. Echa jalan kaki je.” Sengaja Arissa suruh Lutfi berhenti di tepi jalan. Dia tak mahu dilihat sesiapa. Nanti tak pasal-pasal kawan dia yang dua orang tu buat gosip pula. Arissa dapat boyfriend kaya. Naik Porsche pulak tu. Dia tak sanggup nak melayan kerenah mereka.

“Serius ke ni? Tak jauh ke?”

“Taklah. Echa dah biasa.”

Signal ke kiri diberi. Perlahan-lahan kereta diberhentikan.

“Ok. I’ll see you later. Kalau Echa perlukan apa-apa, call abang,”

“Ok. Thank you, abang. Hati-hati di jalan raya.” Pesan Echa setelah turun dari kereta. Cepat-cepat dia pakai kad matrik di lehernya. Kalau tak nanti kena soal dengan pak guard pula.

Lutfi mengangguk. Sebaik Porsche putih itu menyusur pergi, Arissa segera menapak masuk ke dalam bangunan yang tersergam indah. Ketika itu dia rasa seperti ada yang memerhati. Matanya melilau ke sekeliling namun tidak ada sesiapa pun di situ. Relaks, Arissa. Tak ada orang pun yang nampak kau. Mungkin itu cuma perasaan kau saja. Ujarnya dalam hati.



“ARISSA, busy tak? Jom pergi lepak kat kafe.” Ajak Hanif.

“Kau demam ke? Tak pernah-pernah ajak aku lepak.” Balas Arissa sedikit hairan.

Hanif tersengih menampakkan gigi. “Alaa.. hari ni mood aku baik. Rasa nak belanja orang makan. Kau patut bersyukur sebab aku pilih kau.”

“Serius ni?”

“Demi Allah! Tak baik tipu. Berdosa.” Ujar Hanif bersungguh-sungguh. Berharap sangat Arissa takkan menolak pelawaannya.

“Alhamdulillah rezeki akulah maknanya. Tapi aku tak boleh lama sebab lepas ni aku ada group discussion.”

“Laa.. jangan risaulah. Nak pergi makan aje, bukan kena basuh pinggan.”

Arissa ketawa. Memandangkan tidak ada apa-apa yang hendak dibuat, mereka terus ke kafe. Ada baiknya makan awal-awal jadi tak perlulah mereka beratur panjang bila dah masuk waktu lunch nanti. Kafe pun taklah penuh sangat.

Masa makan, Hanif terus menjelaskan tentang Krisya dan Adrian. Ya, itulah niatnya yang sebenar. Lama Hanif tunggu peluang nak berdua dengan Arissa, hanya untuk memberitahu apa yang sebenarnya terjadi. Walaupun Adrian dah berputus asa tapi Hanif tetap nak teruskan niat sucinya ini kerana dia tak sanggup melihat kawanbaik sendiri bersedih hati. Adrian yang sekarang dah lain sangat-sangat. Dulunya dia seorang yang periang, berubah menjadi pemuram dan pendiam.

“Macam itulah ceritanya.” kata Hanif setelah selesai menceritakan segala-galanya. Dari A sampai Z.

Kelu lidah Arissa untuk berkata-kata. Masih terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh Hanif tadi. Gelas plastik yang berisi milo ais dipegang kemas.

“Entahlah, Hanif. Susah aku nak percaya.”

“Up to you. Yang aku tahu, apa yang aku cerita tadi semuanya kisah benar dan bukan rekaan semata-mata. Kau nak percaya atau tidak itu hak kau.”

Seketika, Hanif membisu. Dia dah agak mesti Arissa takkan percaya dengan ceritanya. Hanif tahu dia tak boleh buat apa-apa. Setidak-tidaknya dia sudah buat apa yang perlu. Dia cuma nak tolong Adrian, nak lihat kawannya itu tersenyum semula.

“Krisya datang tiba-tiba. Aku sendiri pun terkejut. Silap akulah sebab biarkan dia dengan Krisya kat situ. Kalau aku ada sekali mungkin korang takkan bergaduh besar macam ni,” sambung Hanif kemudiannya.

Ariana menghela nafas berat. Semuanya sudah jelas. Barulah dia faham sekarang. Ian tak bersalah langsung. Dia yang suka sangat tuduh melulu. Arissa dihimpit rasa bersalah. Dia perlu jumpa Adrian. Ingin memohon maaf kerana telah melukai hatinya. Apa yang aku dah buat ni? Macam-macam aku cakap dekat dia. Ian, maafkan I! Itulah, Arissa. Lain kali sebelum cakap apa-apa, fikir dulu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

“Mana Ian?”

“Entah. Dari tadi aku tak nampak dia pun. Call pun tak jawab.” Cepat-cepat Hanif keluarkan fon dari poket seluarnya. Tadi Hanif ada hantar mesej tapi Adrian langsung tak balas.

“Apa-apa pun terima kasih untuk semuanya, Hanif. Kesian Ian. Aku layan dia teruk sangat. Menyesal pulak sebab buat dia macam tu.”

Hanif tersenyum lega. Reaksi gadis itu menunjukkan yang dia sudah boleh menerima Adrian semula. Senang hati Hanif melihatnya.

“Aku cuma nak yang terbaik untuk kawan-kawan aku. Tak sukalah tengok korang bermasam muka macam ni. Korang pasangan ideal. Bagai pinang dibelah dua. Sayanglah kalau sebab benda kecik je terus clash. Benda boleh diselesaikan dengan cara baik.”

Arissa tersenyum nipis. Tersentuh hatinya dengar pengakuan jujur dari Hanif.

“Thank you, Hanif. Thank you so much.”

“You are most welcome.”

Senyuman tidak lekang di bibir Arissa. Timbul rasa teruja untuk bertemu Adrian dengan segera.



SAMSUNG di tangan ditenung lama. Arissa tak tahu sama ada nak mesej Adrian atau terus telefon. Dia dalam dilema. Takut pula dia nak cakap dengan Adrian. Takut kalau Adrian dah tak mahu jumpa dia lagi. Apa yang patut dia buat kalau ianya benar-benar terjadi?

“Oi, cik kak! Berapa lama lagi kau nak tenung handphone tu? Sikit lagi nak tembus.” Sindir Sofea. Sejak tadi dia perhatikan saja kelakuan sahabatnya itu. Kata nak buat group discussion, tapi satu kerja pun tak jalan.

Deena ketawa mengekek-ngekek. Geli hati dengar ayat Sofea. Handphone tembus? Sengal minah ni.

“Korang ni memang tak sah kalau tak sakat aku.” Arissa menjeling tajam. Orang tengah serabut kepala ni dia buat lawak pulak.

“Sejak bila pulak sensitif sangat sampai tak boleh bergurau langsung ni? Deena, cuba kau cek ini betul ke tidak kawan kita?” balas Sofea lagi, mengusik.

Ketawa lagi Deena. Terhinjut-hinjut bahunya. Kelakar sangat ke lawak si Sofea tu? Arissa merengus.

“Call jelah dia kalau dah tak tahan rindu. Ini asyik tenung fon tu dapat apa? Buat penat mata je,” Deena pula bersuara. Dah tahu sangat apa yang menyebabkan Arissa berkelakuan aneh petang ini.

Setuju dengan cadangan Deena, Arissa terus mendail nombor Adrian. Fon dilekapkan telinga. Malangnya..

“Harap maaf. Kredit anda tidak mencukupi. Sila tambah nilai untuk membuat panggilan.”

“Alamak, masalah betullah! Kredit habis!” Arissa sudah mencuka. Macam mana dia boleh tak perasan baki kreditnya dah habis? Menyesalnya tak top up banyak-banyak.

Serentak Deena dan Sofea menepuk dahi.

“Takpelah. Aku call dia karang sikitlah. Aku nak pergi jumpa Miss Ernie kejap. Nanti aku datang balik.” Beritahu Arissa sebaik melihat jam di tangan. Dah pukul 2.30. Dia harus ke pejabat pensyarah muda itu kerana ada hal yang hendak diuruskan.

Deena dan Sofea mengangguk kecil. Arissa berlari anak masuk ke dalam lif yang hampir tertutup. Kalau naik tangga lambat sangat. Dia nak cepat sampai kerana tak mahu membiarkan pensyarahnya ternanti-nanti. Lif berhenti di tingkat dua. Saat pintu terbuka, Arissa terkejut melihat insan yang berdiri betul-betul di depan lif itu.

Adrian!!

Laju degupan jantung Arissa. Berdebar-debar. Lama dia perhati Adrian yang masih ralit dengan telefon bimbitnya. Tak sedar lif sampai.

“Ian..”

Adrian tersentak mendengar suara yang menyeru namanya. Adrian mengangkat pandangan. Menyedari yang Arissa ada di depannya, Adrian terasa dirinya seperti sedang bermimpi. Sudah lama dia tidak nampak gadis itu. Betul ke Arissa ada depan aku sekarang atau aku yang kuat berkhayal? Aku tengah mimpi ke ni? Soalnya dalam hati. Adrian sedar itu bukanlah sekadar fantasi.

“You taknak masuk ke?” soal Arissa, cuba berlagak tenang walhal dia sudah resah ditenung oleh Adrian begitu.

Adrian tersedar dari lamunan panjang. Terasa kesal dengan tindakan sendiri. Kau tak patut pandang dia macam tu, Ian. Tak patut. Dia bukan hak kau lagi. Hatinya berbisik. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke dalam lif. Butang bernombor 5 ditekan. Lif mula bergerak naik. Pelik. Lif yang selalunya penuh dengan student, kosong. Hanya mereka berdua di situ.

Ketika di dalam lif, masing-masing tak bercakap. Seolah-olah tidak saling mengenali. Bukan Arissa taknak tegur, tapi entah kenapa lidahnya tiba-tiba jadi kelu sedangkan tadi bukan main semangat dia nak jumpa Adrian. Tapi bila lelaki itu ada di depan mata, berat mulut pula dia nak bercakap. Adrian pula sengaja mendiamkan diri. Baginya sudah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan. Semuanya sudah berakhir. Lagipun inilah apa yang Arissa mahu. Mulai saat ini, dia takkan ganggu hidup Arissa lagi. Adrian teringat peristiwa pagi tadi di mana dia ternampak Arissa turun dari kereta mewah milik Lutfi. Ternyata Arissa sudah bahagia dengannya. Nak ke mana-mana pun, Lutfi hantarkan.

Arissa terasa agak janggal bila Adrian langsung tak menyapa. Rasa macam duduk sebelah orang asing pula. Adrian yang berdiri agak jauh darinya, dikerling dengan hujung mata. Hairan. Adrian sikit pun tak endahkan dia. Buat dia rasa dirinya tak wujud di situ. Kenapa?

Adrian buat-buat ralit tengok fon. Sesekali matanya melirik ke arah nombor yang tertera pada dinding lif. Haihh.. kenapalah lambat sangat nak sampai? Lif ni rosak ke apa?

TINGG!! Lif berhenti di tingkat lima. Sampai jugak akhirnya! Jerit Adrian dalam hati. Dengan wajah bersahaja, Adrian pantas meluru keluar tanpa berkata apa-apa. Sikit pun dia tak pandang Arissa. Terpinga-pinga Arissa dibuatnya. Kenapa Adrian tiba-tiba berubah? Buat dia macam tak wujud sedangkan sebelum ini tak kira macam mana teruk layanannya, Adrian tetap sabar dengannya. Tapi sekarang dia sudah lain. Arissa dapat rasa Adrian terasa hati dengan dia. Memang patutlah. Tengoklah apa yang dia dah buat dekat Adrian. Logiklah kalau Adrian taknak cakap dengan dia lagi. Arissa melepaskan keluhan berat. Ian, you marah I? You dah bencikan I? I tahu salah I. Maafkan I, Ian…



_____________________________________________________




BAB 6


“NASIB baiklah Arissa ada tadi, kalau tak sampai sekarang pun auntie tak balik-balik lagi agaknya.” Beritahu Hafiza sebaik keluar dari dapur. Tadi masa di shopping complex, keretanya rosak tiba-tiba. Mujur terserempak dengan Arissa. Arissalah yang tumpangkan dia balik tadi. Tiga biji cawan dan sepiring kek batik diletak atas meja. Perlahan-lahan air teh O dituang.

Arissa ralit melihat ikan dalam akuarium besar. Tak menyampuk walau sepatah. Sedari tadi gadis itu diam saja. Hafiza perasan semua tu. Adrian dengan Arissa tak bertegur pun. Duduk pun jauh-jauh. Dah tahu apa sebabnya jadi begitu. Dia pun malaslah nak banyak tanya.

“Itulah, Ian dah cakap banyak kali dah. Beli kereta baru terus lagi senang.” Balas Adrian. Alat kawalan jauh Astro atas meja kopi dicapai. Sungguh dia tak menyangka yang dia akan bertemu Arissa di rumah ibu saudaranya hari ini.

“Alaa.. kereta tu elok lagi, nak tukar buat apa? Membazir duit je.”

“Elok apa kalau dalam sebulan 2-3 kali masuk workshop.”

“Tengoklah macam mana. Buat masa ni auntie tak tahu nak beli kereta apa. Arissa, meh duduk sini. Kita minum sekali.” Pelawa Hafiza.­

“Terima kasih, Auntie Fiza. Maaflah sebab dah menyusahkan auntie pulak,” ujar Arissa berbahasa. Dia segera ke meja makan. Sebenarnya dia taknak singgah pun, tapi Hafiza yang beria ajak masuk. Memang Arissa sangat rapat dengan ibu saudara Adrian sejak dari dulu lagi.

“Tak ada susahnyalah. Benda dah ada auntie hidang je. Lagipun bukan selalu. Arissa tu sekarang dah jarang sangat nak datang rumah auntie ni. Sibuk sangat ke dekat kolej tu?”

Tak sempat Arissa jawab, Adrian pula yang mencelah.

“Dia sibuk dengan pakwe baru. Mana ada masa nak jumpa auntie dah…!”

Hafiza menjegilkan mata ke arah Adrian yang matanya masih pada kaca televisyen. Cukup bersahaja wajah anak saudaranya itu. Hafiza kurang senang dengan sikap Adrian. Melihat perubahan pada riak wajah Arissa, dia tahu kata-kata Adrian sudah menyinggung hati gadis itu. Arissa diam tak bersuara. Agak pedas sindiran lelaki itu, tetapi itulah yang memang patut Arissa terima. Dulu dia sakitkan hati Adrian, sekarang giliran dia pula. What you give you get back. Adil, bukan?

“Maaf, auntie. Sebenarnya saya tak sibuk pun. Cuma saya segan. Lepas tu taknaklah kacau auntie selalu.” Kata Arissa sebelum menyuap kuih kegemarannya ke mulut. Kek batik yang dibuat sendiri oleh Hafiza. Air tangan bekas tukang masak di hotel bertaraf lima bintang ini sememangnya terbaik.

“Kacau apa pulak? Auntie lagi suka kalau Arissa selalu datang sebab auntie kat rumah ni pun sorang-sorang je. Kalau Arissa ada, taklah auntie bosan. Ada jugak kawan nak bersembang. Tak payah segan-segan. Macamlah Arissa tak biasa dengan auntie.” Tutur Hafiza mesra. Ketika dia mula-mula jumpa Arissa, dia dah berkenan. Arissa budak baik. Sesuai sangat kalau jadi isteri Adrian. Sayangnya dah putus. Nak buat macam mana kalau dah tak ada jodoh.

Arissa tersenyum nipis. Teh O yang sudah suam, disisip sikit-sikit. Jam tangannya dikerling sesaat.

“Auntie, saya nak mintak diri dulu.” Pamit Arissa sopan.

“Laa.. cepatnya. Duduklah lama sikit kut ya pun.”

Arissa senyum. Kalau boleh memang nak duduk lama lagi, tapi dia teringat yang dia ada hal dengan ibunya. Kalau lambat nanti kena marah.

“Orang nak pergi jumpa boyfriend la tu, auntie. Faham-faham ajelah.” Sekali lagi Adrian menyindir. Tak habis lagi nak sakitkan hati Arissa.

“E’eh budak ni. Auntie cakap dengan Arissalah.” Hafiza bernada serius. Adrian dijeling tajam. Apa kenalah budak ni? Makin menjadi-jadi pulak. Getusnya dalam hati.

Terkedu Arissa. Tak habis lepas geram lagi Adrian ni rupanya. Sabar, Arissa. Istighfar. Ian tak salah apa-apa. Dalam soal ini, kau yang salah. Biar Ian lepas geram sepuas hatinya. Mana tahu bila dia dah lega, dia okeylah. Hatinya memujuk.

“Saya ada hal sikit dengan mama. Dah janji nak balik sebelum Zohor.” Beritahu Arissa seraya tersenyum kelat. Sikap Adrian membuatkan dia sudah tidak sanggup untuk berada di situ lebih lama lagi. Ada baiknya dia balik sekarang juga.

“Kalau macam tu takpelah. Nanti senang-senang Arissa datanglah lagi. Berseri-seri rumah ni bila Arissa ada.”

“Insya-Allah, auntie. Kalau ada masa saya singgah. Terima kasih untuk kek batik tu. Sedap.”

“Tak ada apalah, Arissa. Auntie yang patut berterima kasih sebab Arissa tolong hantarkan auntie balik. Arissa bawak kereta elok-elok, ya? Kirim salam dekat mama.”

Hafiza menghantar Arissa ke pintu. Arissa meraih tangan wanita itu lalu dikucup hormat. Sempat dia kerling ke arah Adrian yang tak berganjak dari tempat duduknya. Sikit pun pedulikan Arissa. Agaknya dia lagi suka aku nak balik. Getus Arissa dalam hati.

“Perkara kecik je tu, auntie. Insya-Allah nanti saya sampaikan salam pada mama. Saya balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Beberapa langkah menuju ke kereta, Arissa terdengar namanya dipanggil.

“Arissa!”

Dan hatinya jadi berdebar-debar tak terkata. Langkahnya terhenti. Adrian panggil? Mungkinkah ada sesuatu yang hendak dia beritahu? Perlahan-lahan Arissa menoleh, melemparkan senyuman ke arah lelaki itu.

“What is it?”

“You tertinggal fon.” Adrian terus hulur fon ke tangan Arissa.

“Oh.. ok. Thank you.” Ucap Arissa sedikit hampa. Adrian panggil sebab nak bagi telefon je. Bukan nak cakap apa-apa pun. Perasan betul aku ni. Arissa mengutuk diri sendiri.

Adrian angguk tanpa ada senyuman di bibirnya. Dia dah nak masuk tetapi Arissa tiba-tiba saja memanggil. Apa lagilah yang dia nak agaknya? Suara hati Adrian menyoal.

“Ian,”

Dengan wajah serius, Adrian berpaling.

“Ada apa?”

Arissa menelan liur. Gerun melihat wajah tegang lelaki itu. Namun dia harus beranikan diri untuk berdepan dengannya.

“Alang-alang dah jumpa you ni, I ingat nak cakap dengan you kejap.” Perlahan suara Arissa.

“Nak cakap apa?”

“I.. I sebenarnya,..” Arissa tergagap-gagap.

“Sebenarnya apa?” Adrian dah tak sabar nak tahu apa yang hendak diluahkan Arissa. Suspens.

Arissa menundukkan pandangan. Takut nak tengok muka Adrian yang saat ini berdiri betul-betul di hadapannya. Dia menarik nafas panjang. Mengumpul kekuatan diri untuk meluahkan apa yang terpendam di hati.

“I.. I cuma nak mintak maaf. Untuk segala-galanya. I sedar I dah banyak sangat buat silap dekat you.”

Saat ini Adrian mengalihkan pandangannya ke lain. Susah dia nak percaya. Arissa mintak maaf? Dia sekadar membisu.

“My words hurt you. I’m so sorry. I really am.” Sambung Arissa, memecah keheningan antara mereka.

“Benda dah jadi. Tak payah ungkit hal yang dah lepas.”

“I tahu you marah. You berhak. I cuma harap satu hari nanti you boleh maafkan semua kesalahan I pada you.”

“I tak pernah simpan dendam pada you dan I dah maafkan you. Let’s just forget about it. Antara kita semuanya dah berakhir. Mulai sekarang kita ikut haluan masing-masing.”

Hampir saja Arissa menitiskan air matanya setelah mendengar kata-kata Adrian. Bukan itu yang dia mahu. Sebenarnya niat Arissa nak pujuk Adrian dan berbaik semula, tetapi reaksi Adrian pula menunjukkan yang sebaliknya. Ternyata lelaki itu sudah berputus asa.

“I dah tak ada apa-apa nak cakap dengan you. I masuk dulu.” Pamit Adrian. Perlahan dia memusingkan tubuhnya, meluru masuk ke dalam rumah. Langsung tidak menoleh.

Mata Arissa berkaca. Sakit dadanya menahan sebak. Terlalu sebak sehingga tak mampu untuk berkata-kata lagi.



ARISSA sabar menanti di tepi tangga, tidak jauh dari kelas Adrian. Plastik di tangan dipegang kemas. Baru balik dari kafe. Sempat dia bungkuskan makanan untuk Adrian bila Hanif beritahu yang kawannya itu tak turun kafe pun tengahari tadi. Sibuk siapkan kerja katanya. Dia risau. Adrian kalau dah sibuk dengan kerja, rela tak makan jawabnya.

“Ian!! Ada orang nak jumpa!!” suara Nazim bergema. Cuma lima orang yang ada di dalam kelas itu, tapi kecohnya macam pasar ikan. Ini study group ke konsert? Bising sungguh!

Selang beberapa saat, Adrian muncul. Melangkah perlahan mendekati Arissa.

“You sibuk ke?”

“Boleh tahan. Kenapa?”

“Maaf sebab menganggu. I cuma nak bagi ni kat you. Hanif cakap you tak makan pun lunch tadi.” Arissa menghulurkan bungkusan itu ke tangan Adrian.

Pandangan Adrian jatuh ke arah plastik oren yang berisi polisterin dan bungkusan air. Serta-merta aroma lazat menusuk ke hidungnya.

“Tak payahlah. Kawan I dah belikan roti coklat tadi. I dah kenyang.” Ujar Adrian tanpa mengambilnya.

“Kalau macam tu nasi ni you simpan. Manalah tahu kejap lagi lapar balik. Lagipun I ambil lauk favourite you. Rugi kalau tak makan.” Arissa taknak mengalah. Dia tahu Adrian pasti akan menolak tapi dia pun tak sanggup nak biar Adrian lapar. Setakat makan roti mana cukup.

Akhirnya Adrian ambil juga walau sedikit keberatan. Tak baik tolak rezeki. Ada sesuatu yang menghairankan Adrian. Arissa nampak lain. Baik betul mood dia hari ini. Ada apa-apa ke ni?

“Tiba-tiba je you baik sangat, ambil berat pasal I. Kenapa?”

Arissa senyum nipis. “Salah ke I buat macam tu?”

Adrian senyap. Tak tahu apa yang patut dia jawab.

“I nak berdamai dengan you. Nak kita macam dulu semula. Itu je.” Luah Arissa setelah sekian lama memendam rasa.

Adrian melopong. Antara percaya dan tidak. Adakah dia sedang bermimpi?

“I tak salah dengar ke ni? Habis si Lutfi tu apa cerita? Ke dia dah tinggalkan you itu sebablah you beria sangat nak balik dekat I semula?”

“Jujur I cakap yang kami tak ada apa-apa hubungan pun. Hari tu I sengaja tipu you sebab masa tu I tengah sakit hati sangat dengan you. Dia cuma kawan dan tak lebih dari tu.”

“You tak menyesal pilih I? Yelah, I ni mana ada apa-apa. Kalau nak dibandingkan dengan Lutfi, macam langit dengan bumi. Dia jauh lebih baik dari I. Dahlah kaya, handsome pulak tu. Tak macam I. Banyak kekurangan, tak sempurna macam dia.” Adrian bernada sinis. Kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Arissa terhadapnya tempoh hari, masih segar di ingatan. Itulah yang paling menghiris hati.

Arissa terdiam sejenak. Nampaknya Adrian memulangkan paku buah keras. Arissa akui kesilapannya. Itulah benda paling kejam yang pernah dia buat pada Adrian tetapi dia tidak pernah memaksudkannya. Bila tengah marah, yang tak patut diungkit pun terkeluar sama. Sekarang nak menyesal pun dah tak guna. Kecewa juga dia setelah mendengar kata-kata Adrian, menunjukkan lelaki itu menganggap dirinya sama seperti Krisya, gadis yang tegar meninggalkannya kerana harta!

“Jadi selama ni you rasa I ni mata duitan? Macam Krisya?”

Bibir Adrian terkunci rapat. Tak terjawab pertanyaan itu. Arissa mengeluh hampa. Kebisuan Adrian menjawab segalanya. Memang tepat sangkaan Arissa. Adrian melabelkan dirinya sebagai perempuan materialistik!

“Jangan sesekali you samakan I dengan dia. I cintakan you seadanya dan itu tak akan pernah berubah. Tapi andai kata you memang dah tak boleh terima I lagi, I terima dengan hati yang terbuka. I hormat apa saja keputusan you. Maaflah sebab I dah bazirkan masa you. Jangan risau. Lepas ni I takkan ganggu you lagi.” Tutur Arissa dengan nada pilu. Air mata sudah bertakung di kelopak mata. Tanpa menanti respons dari Adrian, dia pantas berlalu pergi.



“BEB, kita orang nak pergi Pavilion lepas ni. Nak ikut?” ajak Deena, berjalan seiring dengan Arissa. Memandangkan kelas habis awal, dapatlah mereka ke KL sekejap. Dah lama tak jalan-jalan. Duduk kat Shah Alam ni asyik hadap buku. Nak muntah dibuatnya. Buku pun dah naik mual hadap muka mereka selalu.

“Pavilion? Nak buat apa?” tanya Arissa.

“Entah. Rasa-rasa macam nak sental periuk kat sana.” Sofea pula mencelah.

Geram dengan lawak hambar Sofea, Arissa menolak kepala sahabatnya itu perlahan. Deena sudah terbahak-bahak ketawa.

“Oi! Apa main kepala ni? Pantang tok nenek moyang aku tau! Habis keluar ilmu aku.” Sofea membalas semula dengan memukul bahu Arissa pula. Kepalanya digosok-gosok perlahan dengan bibir yang sedikit memuncung.

Arissa ketawa mengekek. “Pantang tok nenek moyang aku bila aku tanya betul-betul orang jawab main-main.”

“Habis kau tanya soalan sengal macam tu siapa suruh? Pergi shopping mall nak buat apa lagi? Shopping la! Takkan main basikal kut?”

“Mana la tahu korang pergi nak cuci mata cari calon suami kat sana. Korang kan kemaruk nak berlaki!” Arissa tersenyum mengejek, memandang Sofea dan Deena bersilih ganti. Teringat yang dulu kawan-kawannya itu pernah kata nak kahwin muda. Bukan main miang lagi.

“Hekk engkau! Aku nak cari kasut la! Nak beli Melissa.” Balas Sofea.

Arissa tergeleng-geleng sendiri. Si Sofea ni memang gila shopping. Hampir setiap minggu mesti ada benda yang dia nak beli. Hari tu baju, hari ini kasut. Esok lusa entah apa pula agaknya? Lepas itu dia bising duit cepat habis. Walhal sendiri yang boros tak sedar.

“Korang pergilah. Aku malas. Nak balik tidur. Malam tadi aku tak boleh tidur. Ini pun mata dah rasa rabak semacam.” Kata Arissa. Sebab malam tadi langsung tak boleh tidur, kepala serabut fikirkan masalahnya dengan Adrian. Dalam kelas tadi nyaris terlelap, mujur Miss Ernie tak perasan.

“Haa yelah! Kalau macam tu kami pergi dululah. See you tomorrow.” Ujar Deena.

“Bye. Have fun!”

Sofea dan Deena sudah beredar. Tinggallah Arissa sendiri. Sewaktu dia hendak turun, dia terpandang akan susuk tubuh lelaki yang amat dikenalinya, duduk di atas tangga. Adrian! Apa dia buat dekat situ? Cepat-cepat Arissa memusingkan tubuhnya ke lain. Dia taknak tengok muka Adrian buat masa sekarang. Tak ada pilihan lain, dia terpaksa turun ikut tangga yang lagi satu, terletak agak jauh dari situ.

Dekat tangga lagi satu itu pula ada Zarif, pelajar senior yang suka menganggu Arissa, semenjak dari hari pertama gadis itu menjejakkan kakinya ke sini. Kelihatan Zarif begitu leka dengan telefon Blackberrynya. Tersengih-sengih, tergelak-gelak. Entah apa yang dia buat. Sebenarnya Zarif cukup terkenal di kampus ini. Ramai pelajar wanita yang tergila-gilakan dia, walaupun sudah tahu yang Zarif ini sebenarnya playboy. Arissa mendengus. Kononnya nak lari dari Adrian, tapi jumpa Zarif pula. Apa boleh buat? Dah tak ada tangga lain, terpaksalah dia lalu situ juga. Kalau tak guna tangga, takkan nak terjun? Karut! Alaa.. buat selamba sudah, Arissa. Tak payah pedulikan buaya darat tu. Ujarnya dalam hati.

“Hai, Arissa!” Zarif menegur.

Arissa tersenyum kelat.

“Hai, Zarif. Tak balik lagi?” Arissa buat-buat ramah. Walhal dia paling malas nak layan Zarif.

“Belum. Saya tunggu awak.”

“Saya? Buat apa?”

“Nak ajak dating.”

Kening Arissa terjungkit sebelah. Ulat bulu dah naik daun. Jaga-jaga, Arissa!

“Awak ni demam ke? Dah makan ubat?” Arissa berseloroh.

“Kita serius dia main-main pulak.”

Arissa sengih. Serius? Playboy macam dia tahu serius ke?

“Saya main-main sebab ingat awak pun main-main. Sorry. Saya nak balik dah ni.” Cepat saja Arissa nak melarikan diri. Memang taklah dia nak keluar dengan Zarif.

“Buat apa balik awal-awal? Jomlah keluar. Jangan cakap ada orang jealous sebab setahu saya awak dengan Ian dah putus dah. Maknanya sekarang awak tengah single jadi bolehlah keluar dengan saya, kan?”

Arissa terkedu seketika. Dia hairan macam mana Zarif boleh tahu yang dia dan Adrian sudah berpisah? Siapa pula yang memandai sebarkan gosip? Ada paparazi ke dekat sini? Bahaya betul!

Tiba-tiba..

“Siapa kata kita orang dah putus?”

Muncul seseorang dari belakang. Arissa terperanjat. Tanpa melihat ke arah empunya suara itu pun dia sudah tahu siapa.

“Satu kampus ni tahu korang dah ‘bercerai’!” balas Zarif.

“Jangan dengar gosip murahan tu. Kita orang okey la. Gaduh sikit-sikit tu biasalah. Lumrah bercinta namanya. Kan, sayang?” Adrian berdiri di sebelah Arissa. Memandang gadis itu dengan senyuman lebar di bibir.

Lambat-lambat Arissa mengangguk, tersenyum paksa. Sebenarnya dia masih terkejut. Tak sangka pula Adrian akan muncul di saat-saat sebegini. Dia keliru adakah Adrian memaksudkan apa yang dikatakan tadi atau itu hanyalah lakonan semata-mata.

“Oklah. Aku nak bawak girlfriend aku balik. See you, Zarif!”

Adrian pantas mengajak Arissa pergi. Arissa hanya menurut.

“Apa yang you cuba buat ni, Ian?” soal Arissa sebaik mereka tiba di tempat parkir.

“Apa? I cuma nak selamatkan you dari ‘buaya’ tu. Tu aje.”

“Oh, itu aje? Fine. Terima kasihlah sebab dah tolong I. Oklah. I nak balik.” Ujar Arissa dengan nada kecewa. Dia ingat Adrian betul-betul dah okey, rupa-rupanya..

“Why so serious? Marah sebab I kacau you dengan dia tadi? You sukalah dia kacau you?”

“Biarlah dia kacau I pun. I dah single. Dah tak ada boyfriend pun. Siapa pun yang nak berkawan dengan I, tak ada masalah. Tak ada siapa boleh halang.” Lancang mulut Arissa membalas.

Adrian tertawa sinis. “Habis yang depan you ni apa? Tunggul kayu?”

“Kalau you cuma nak main-mainkan perasaan I, terima kasih ajelah.”

“I tak kata macam tu pun. I sakit mata tengok mamat playboy tu kacau hak I. Sebab tu I buat macam tu.”

“Hak you? I hak you?” berkerut dahi Arissa. Masih tidak mengerti. Adrian sengaja nak kenakan dia atau Adrian serius tentang ini?

“Yelah. Takkan hak Lutfi kot?” sempat lagi Adrian menyindir disusuli ketawa kecil.

“You!!” Arissa sudah mencuka. Bahu Adrian ditampar kuat.

Makin galak Adrian ketawa. “Sorry, sayang. Gurau je.”

Wajah Arissa merona merah apabila mendengar panggilan manja itu. Yakinlah Arissa yang Adrian tak ada niat untuk mempermainkannya.

“Lain kali kalau Zarif kacau you lagi, report kat I. Biar I belasah dia cukup-cukup.” Adrian menayang wajah serius. Tadi bila nampak Zarif bersembang dengan Arissa, hatinya tak tenang. Pantang nampak Zarif kacau Arissa. Dia tahu sangatlah perangai jantan macam Zarif tu. Dasar playboy, semua awek pun dia nak sapu!

“Tak payah report kat you, I dulu yang karate dia.”

“Amboi, garangnya! Awek siapalah yang ganas sangat ni ek? Mesti boyfriend dia hari-hari kena belasah, kan?”

“Bencilah you ni.” Lembut nada Arissa. Wajah Adrian dijeling manja.

Adrian ketawa lagi. “Eh? Macam tu benci? Manja semacam bunyinya. Kalau benci nadanya macam tu, bila sayang tak tahulah kan? Cair terus I agaknya.”

Arissa tergelak sama. Dah lama tak rasa happy macam ni. Barulah terasa lapang fikirannya. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

“Masuk kereta cepat.” Arah Adrian.

Cepat-cepat Arissa mengeluarkan anak kunci keretanya dari dalam beg. Dahinya berkerut melihat kereta yang dicat maroon methalic itu. Eh? Bila masa kereta aku cat baru? Baru dia perasan, itu kereta Adrian!!

“Ini kereta you. Kereta I kat sana tu!” Arissa menunjuk ke arah keretaya yang diparkir jauh di hujung sana.

“Tahu. Tapi I nak ajak you pergi minum dulu. Kejap lagi kita ambik kereta you.”

“Pergi minum? Err…” Arissa mengerling jam tangannya sekilas. Alaaa.. baru ingat nak balik tidur!

“Jangan kata tak boleh. Masuk cepat.” Adrian mendesak. Dia tahu sangatlah Arissa mesti akan cari alasan nak terus balik.

Arissa akur akhirnya. Tadi je rasa taknak tapi dia sendiri pun excited sebenarnya. Tak apalah kalau tak dapat tidur pun asalkan dapat lepaskan rindu pada encik boyfie itu dah cukup!

4 comments:

  1. so sweet...bersatu jgk Ian dgn Arissa. x sabar nak tunggu next entry..

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe thank u sbb sudi baca dan komen. :)

      Delete
  2. Okay sweet. Next please. Hari2 tunggu new entry. Kalau tak comment tu means saya jd silent reader ye hihi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. :) terima kasih krn sudi baca dan komen.

      Delete