Tuesday 31 May 2016

Truly, Madly, Deeply 13

“HAI, kut ya pun bergaduh dengan isteri, muka tu janganlah serius sangat. Cuba senyum sikit.” tegur Haniff sebelum menyedut iced lemon tea. Dari tadi dia tengok muka Adrian serius saja. Sikit pun tak senyum. Dah tahu apa puncanya Adrian jadi begitu, sebab itulah dia tak tanya. Kalau tanya jugak memang ada yang makan buah penumbuk!

“Aku tengah stressed ni! Takde mood nak senyum.” balas Adrian sebal. Mashed potato yang baru dimakan sedikit ditolak ketepi. Bergaduh dengan isteri punya hal, selera makan pun hilang.

“Chill la, bro. Dia tengah marah tu. Sabarlah. Esok-esok lusa dia okey punya. Give her some space.”

“Dah empat hari dah. Berapa banyak space lagi yang dia nak?” bertambah masam muka Adrian. Dia bersandar ke kerusi, menyilang tangan ke dada. Pandangannya dilemparkan ke arah orang yang beratur panjang di kaunter. Kentucky Fried Chicken di pusat membeli-belah Mid Valley itu memang sentiasa penuh. Tempat duduk pun susah nak dapat.

Adrian mengeluh berat. Sungguh fikirannya berkecamuk beberapa hari ni. Masalah dia dengan Arissa masih belum selesai. Takkan selesai selagi Arissa tak mahu jumpa dia. Menyesal juga Adrian sebab tak dengar cakap isterinya hari tu. Namun semuanya sudah terlambat. Disebabkan itu Arissa langsung tak menghubunginya. Bila Adrian ajak jumpa pun beribu alasan dia beri. Di kampus pun, Arissa langsung tak pedulikan dia. Itu yang membuatkan Adrian semakin tak keruan. Kalau dia dah merajuk teruk macam tu, jawabnya ini memang dah kes parahlah.

“Yang kau pun satu hal. Dah tahu Arissa tak suka, siapa suruh kau beriya sangat back up minah tu?”

“Aku bukan back up. Aku cuma taknak Arissa bertindak terburu-buru. Cuba kau fikir, kalau memang Yasmeen tak salah, apa pulak Sir Yaakob kata nanti? Aku taknaklah dia ingat kami sengaja nak tuduh Yasmeen yang bukan-bukan. Kalau ada bukti tu lain cerita.”

Haniff diam sejenak. Sedikit sebanyak dia setuju dengan Adrian, tapi dalam masa yang sama dia rasa tak sedap hati. Tak tahu kenapa namun sebaik saja dia dapat tahu apa yang terjadi, Haniff merasakan yang ini semua hanya tipu helah Yasmeen.

“Something is fishy la, bro.”

“Apa yang fishy?” dahi Adrian berkerut.

“Yasmeen tu la. Dengan kau dia cakap lain, dengan Arissa dia cakap lain. Kau tak rasa apa-apa yang pelik ke? Entah-entah dia memang sengaja nak kenakan korang berdua.”

“Entahlah. Aku dah tak boleh nak fikir dah. Serabut gila!” Adrian memicit-micit kepalanya yang sedikit berdenyut. Migrain dah datang.

Kali ini Haniff sudah tidak berkata apa-apa. Tak mahu buat Adrian jadi lagi kusut. Tiba-tiba matanya terpandang dua orang gadis yang baru masuk ke situ. Matanya sedikit membulat, seakan tidak percaya dengan apa yang dia lihat.

“Bro, tu bukan ke..” Haniff tidak menghabiskan ayatnya. Jarinya dituding ke arah dua gadis yang sedang beratur di kaunter.

Adrian pantas berpaling ke arah mereka. Seperti Haniff, dia juga terkejut. Saat itu dia diterjah dengan seribu satu pertanyaan.





TIBA di kampus, Adrian terus ke perpustakaan. Dia nak jumpa Yasmeen. Dan dia tahu waktu-waktu begini Yasmeen pasti ada di sana. Sangkaannya tepat bila dia lihat Yasmeen dan beberapa orang lagi rakan sekelasnya rancak berbincang sesuatu.

“Hai, Yasmeen. Sibuk ke? Boleh kita cakap sekejap?” soal Adrian dengan nada perlahan, namun jelas di telinga mereka. Ada hal mustahak yang dia nak tanya Yasmeen dan dia dah tak boleh tunggu lagi.

Yasmeen senyum seraya mengangguk perlahan. “Boleh. Nak cakap apa?”

“Kita cakap dekat lainlah. Kat sini tak sesuai.”

Tanpa banyak soal, Yasmeen hanya menurut. Bukan main lebar senyumnya saat dia menurut Adrian keluar dari perpustakaan. Dia paling suka kalau dapat jumpa Adrian. Kalau boleh setiap saat dia mahu Adrian ada di depan mata. Apa dia peduli dengan status lelaki itu yang sudah bergelar suami orang? Adrian lelaki. Masih ada tiga tempat kosong. Bagi Yasmeen, dia tak kisah hidup bermadu asalkan Adrian jadi miliknya itu sudah cukup.

“Ada hal apa ni, Ian? Macam hal serius je ni.” ujar Yasmeen sedikit resah. Adrian bawak dia sampai ke kafe. Nampaknya dia betul-betul tak mahu diganggu.

Adrian senyap. Sengaja membiarkan Yasmeen ternanti-nanti respons darinya. Dia pilih tempat duduk yang agak jauh dari orang lain. Yasmeen duduk di kerusi kosong setentang dengan Adrian.

“Tak.. err.. macam ni.. sebenarnya, I..” Adrian tak tahu dari mana patut dia mulakan. Tercari-cari ayat yang sesuai sebelum diluahkannya. Kejadian di KFC sebentar tadi membuatkan dia sedikit bingung. Gara-gara ternampak Yasmeen keluar dengan Krisya, bermacam soalan bermain di fikiran. Adrian tertanya-tanya macam mana Yasmeen boleh kenal Krisya. Itulah sebabnya dia nak sangat jumpa Yasmeen.

“You ni boleh tak jangan buat I suspens? Cakap sepatah-sepatah. Sakit jantung I.” Yasmeen ketawa, cuba menghilangkan resah. Entah apa yang Adrian nak cakap agaknya?

Adrian senyum pahit. “Sorry. I cuma nak tahu macam mana you boleh kenal Krisya.”

Yasmeen menelan liur tatkala mendengar nama itu. Terus dia pandang ke tempat lain, takut nak tengok mata lelaki di hadapannya. Macam mana Adrian tahu? Dia nampak aku dengan Krisya ke tadi? Yasmeen dah mula menggelabah.

“Krisya? What.. what are you talking about? Krisya who?” Yasmeen tergagap-gagap, pura-pura tidak mengerti. Dia tersenyum nipis, cuba berlagak tenang agar tampak cool di mata Adrian.

“You tak kenal Krisya? Tadi I nampak you dengan dia dekat KFC Mid Valley. Ke I salah orang?” soal Adrian pelik walaupun dia yakin dia tak salah pandang. Memang betul orang yang dia nampak tadi ialah Yasmeen dan Krisya. Adrian dapat rasa Yasmeen sengaja tak mengaku. Kelakuan aneh Yasmeen menguatkan lagi rasa curiga di hati Adrian. Minah ni nampak menggelabah semacam je. Cakap pun gagap. Kenapa? Ada sesuatu ke yang dia sembunyikan dari aku? Soalnya dalam hati.

“Oooohh.. err.. tadi tu? Krisya? Kenapa you tanya? You.. you kenal dia? Wait a minute. Kalau you ada kat sana, kenapa I tak nampak you?” Yasmeen cuba tukar topik. Memang dia pelik pun. Macam mana Adrian boleh tahu dia dan Krisya ada di sana sedangkan dia langsung tak nampak Adrian. Atau Adrian upah spy untuk intip dia?

“Masa tu you baru nak beli makanan. I dengan Haniff dah nak balik tapi ternampak you. Terkejut tengok you dengan Krisya. Dia tu satu sekolah dengan I dulu. You dah lama ke kenal dia?”

Teragak-agak Yasmeen hendak mengangguk. Sikit pun dia tak tengok muka Adrian. Itulah gayanya orang menipu. Yasmeen dah mula rasa sejuk kaki dan tangan. Sumpah dia cuak!

“A’ah. Kami berjiran sebenarnya.” bohong Yasmeen. Krisya bukan jiran dia. Dia hanya kenal Krisya sejak beberapa bulan yang dulu.

“Oh, I see. Takpelah kalau macam tu. Saja je nak tahu. Sorrylah kalau I dah kacau you. I balik dulu.” Adrian sudah bangkit. Walaupun dia masih tak puas hati dengan penjelasan Yasmeen, tapi ada baiknya dia cepat pergi. Bimbang pula kalau Arissa nampak mereka, tak pasal-pasal timbul lagi satu masalah.

“Ian, tunggu.”

Adrian yang baru hendak beredar, berpaling. “Ada apa, Meen?”

“I.. I pun ada hal nak cakap dengan you.” Yasmeen masih tidak berganjak dari tempat duduknya.

“Hal apa?” Adrian duduk semula.

“Sebelum tu janji dulu yang you takkan marah I.”

“Ok. I janji. Apa dia?” Adrian rasa suspens semacam. Tak sabar nak tahu apa yang Yasmeen nak cakapkan.

Yasmeen menundukkan wajah. Lama dia membisu, seakan keberatan. Namun dia sedar, dia harus berlaku jujur dengan Adrian. Memang betul ada sesuatu yang dirahsiakan dari pengetahuan Adrian selama ini. Dan kini sudah tiba masanya untuk dia mengakui segala-galanya.







TERKEJUT sungguh Krisya. Dia betul-betul tidak menyangka yang hari ini Adrian akan mengajaknya berjumpa, setelah sekian lama mereka tidak saling berhubung. Ya, sudah lama benar Krisya menyepi. Usahkan telefon, mesej pun tidak. Sedar yang Adrian memang dah tak sayangkan dia lagi. Jadi, tak gunalah dia terus mengharap. Menjauhkan diri itu lebih baik. Masuk waktu lunch, terus Krisya ke Starbucks. Dah janji nak jumpa Adrian di sana.

“I nak ucapkan tahniah dekat you, sebab dah berjaya rosakkan relationship I dengan Arissa.” sindir Adrian seraya memandang Krisya tajam. Kalau tak memikirkan yang mereka sekarang di tempat awam, dah lama Krisya kena tengking.

Krisya tercengang. Kurang mengerti dengan kata-kata lelaki itu.

“What? What did I do?”

“Buat-buat tanya pulak. Hentikanlah lakonan you tu, Krisya. I dah tahu semua agenda you. Yasmeen dah ceritakan segala-galanya pada I.” ujar Adrian dengan suara yang tertahan-tahan. Meluap-luap marahnya. Pedih mata tengok wajah selamba Krisya. Dah dia buat macam-macam, boleh pulak tayang muka selamba tu. Hisshhh!! Geramnya aku!

Ya, semuanya sudah diceritakan oleh Yasmeen, dari awal sampai akhir. Sakitnya hati Adrian hanya Allah saja yang tahu. Yasmeen mengaku ini semua adalah rancangan mereka berdua. Krisya upah dia untuk terus menganggu Adrian dan Arissa. Yasmeen pula sanggup lakukan itu semua hanya kerana wang. Dan juga kerana ingin merampas Adrian dari Arissa. Disogok dengan sejumlah wang yang besar, Yasmeen terus setuju. Tanpa rasa bersalah, dia nekad ingin menghancurkan kebahagiaan insan yang tidak berdosa.

Dan akhirnya Yasmeen mengaku dia sengaja padam assignment mereka. Itu pun salah satu dari agenda Krisya juga. Barulah Adrian sedar yang Arissa bercakap benar. Kesalnya dia Tuhan saja yang tahu kerana tidak mempercayai isteri sendiri.

“Yas.. Yasmeen?” Krisya sedikit terperanjat sebaik mendengar nama itu. Entah macam mana Adrian boleh tahu yang dia kenal Yasmeen. Apa yang Yasmeen dah cakap dengan Adrian? Patutlah dari tadi Ian macam nak marah sangat dengan aku. Mesti ini semua gara-gara Yasmeen. Apalah yang minah tu dah cakap dekat Ian agaknya? Bisik Krisya dalam hati.

“Ya. Yasmeen. Jangan kata yang you tak kenal dia pulak.”

Krisya yang sedikit ketakutan hanya menunduk. Lama dia begitu. Tak berani nak lihat wajah Adrian yang cukup bengis. Belum pernah dia tengok Adrian seserius itu. Nampak gaya Adrian betul-betul marah.

“I betul-betul tak sangka you sanggup upah dia untuk hancurkan rumahtangga I. How could you?!” tanpa sengaja Adrian ternaikkan suara, sekali gus menarik perhatian beberapa orang pelanggan yang ada di situ. Tapi Adrian langsung tak peduli. Dia terlalu bengang dengan Krisya, sampaikan dah tak boleh nak kawal emosinya sendiri.

“Whoa, whoa! Nanti dulu, Ian. Sebelum you pergi lebih jauh, dengar dulu penjelasan I.” Krisya cuba tenangkan Adrian.

“Tak payah. Semuanya dah cukup jelas, terang lagi bersuluh. You ni memang busuk hati! I tahu you memang nak tengok I dengan Arissa bercerai-berai. Baru puas hati you.”

Krisya menghela nafas panjang. “Ya, I mengaku semuanya berpunca dari I. Salah I sebab terlalu pentingkan diri, sampai langsung tak fikirkan soal hati dan perasaan orang lain. Tapi itu dulu. Sekarang I dah insaf. I dah taknak porak-perandakan rumahtangga orang.”

Adrian senyum sinis. “Insaf? Dah terlambat, Krisya. Sekarang hubungan I dengan Arissa dah makin teruk, dah tak sama macam dulu! Seronoklah you! Memang itu yang you nak, kan.”

Laju Krisya menggeleng, menafikan kata-kata Adrian.

“Itu semua Yasmeen yang punya rancangan. I dah suruh dia berhenti tapi dia yang degil. Dia kata dia nak jugak dapatkan you tak kira apa cara sekalipun.”

“Maksud you?”

“Sebelum ni I cuma suruh dia berlakon je sukakan you, tapi tak sangka pulak dia betul-betul ada hati dekat you. Itu yang dia sanggup buat kerja gila ni.”

Adrian terdiam. Bingung dia dibuatnya. Cerita versi Yasmeen lain, cerita versi Krisya lain. Yang mana satu patut dia percaya? Macam mana kalau apa yang Krisya cakap itu betul, adakah ini bermakna Yasmeen sudah membohonginya? Mungkin juga Yasmeen sengaja putar belit cerita sebab nak tutup kesalahannya itu.

“Tak semudah tu I nak percayakan cakap you, Krisya. Entah-entah you sengaja reka cerita.” Adrian melepaskan keluhan berat. Dia benar-benar kebingungan. Adrian memicit-micit kepalanya yang mula terasa sakit. Sejak dua hari lepas migrainnya tak hilang-hilang, malah semakin menjadi-jadi. Pantang banyak fikir saja, mesti kepalanya terasa macam nak meletup. Berkerut dahinya menahan sakit.

Krisya mengeluh. Sebenarnya dia sudah dapat mengagak pastinya Adrian tidak akan mempercayainya. Tak semudah itu. Tapi dia tak boleh salahkan Adrian. Dengan apa yang sudah terjadi sebelum ini, mana mungkin Adrian mahu percayakan dia. Kalau dia di tempat Adrian pun, tak mungkin dia akan percaya begitu saja.

“Ini buktinya. Semua ada dalam Whatsapp ni. Bacalah. You nak percaya atau tidak, terpulang.” Terus Krisya menghulurkan telefonnya ke arah Adrian. Nasib baiklah dia simpan semua mesejnya dengan Yasmeen. Setidak-tidaknya itu boleh dijadikan sebagai bahan bukti.




Aku tak kira. Aku tetap nak teruskan plan kita. Kalau kau taknak itu kau punya pasal tapi duit aku jangan lupa bayar. Kalau tak aku akan bocorkan semua rahsia kita!



Mata Adrian membuntang. Mengucap panjang dia sebaik mesej itu habis dibaca. Tapi, betul ke ini semua Yasmeen yang hantar?

“Entah-entah mesej ni pun you suruh dia reka. Who knows?” ujar Adrian dengan nada curiga. Bukan senang dia nak percayakan semua cerita Krisya. Krisya pun dua kali lima saja perangainya dengan Yasmeen.

“Demi Allah, Ian. Ini bukan rekaan. Kalau you suruh I junjung Al-Quran pun I sanggup.” ujar Krisya tenang dan bersahaja.

Adrian terus membisu. Reaksi Krisya jelas menunjukkan yang dirinya benar-benar tidak salah. Namun, sukar bagi Adrian ingin mempercayainya. Dengan gadis licik macam Krisya dan Yasmeen, dia harus lebih berhati-hati.