Tuesday 19 January 2016

Truly, Madly, Deeply 12


“SAYANG, assignment you dah siap, kan? Malam ni kita keluar, nak?” luah Arissa. Sudah lama tak dating dengan suami tersayang dek kerana terlalu sibuk dengan tugasan yang diberi. Tapi semalam Adrian kata semuanya sudah beres.
Adrian melepaskan keluhan kecil. “Maaf, sayang tapi I tak boleh pergi mana-mana. I kena buat balik assignment tu,”
“Buat balik? Maksud you?”
“Yasmeen cakap kerja yang dia dah save tu hilang, itu yang I tengah geram sangat ni!” gerutu Adrian bengang. Sakit kepalanya fikir macam mana nak berdepan dengan Sir Yaakob nanti. Apa alasan yang patut diberikan? Dibuatnya pensyarah muda itu tak kasi muka, haru-birulah jawabnya!
“Hah?! Macam mana boleh hilang? Yasmeen terpadam?”
“Entahlah, I pun pelik macam mana file tu boleh lesap macam tu je.”
“Lain kali back uplah, baru selamat.”
“Awal-awal I dah suruh tapi tak adanya dia nak dengar cakap orang, main ikut kepala dia je. Degil! Sakit hati I tengok muka selamba dia, macam tak ada apa yang jadi.” luah Adrian lagi. Terbayang-bayang reaksi Yasmeen sewaktu di dalam kelas tadi. Relaks dan bersahaja. Sikit pun tak nampak risau. Dia suka ke jadi macam ni?
“Sabar, sayang. Benda dah nak jadi nak buat macam mana?” lembut tangan Arissa mengusap-usap bahu suaminya tapi tak lama. Takut ada yang ternampak pulak nanti.
Adrian menyilang tangan ke badan. Kalau ikutkan hati mahu saja dia sekeh kepala Yasmeen tu, tapi tak adillah nak salahkan dia. Lainlah kalau dia sengaja.
“I dah cukup sabar dah ni, kalau tak si Yasmeen tu dah lama kena maki. Sudahlah tugasan tu nak kena hantar esok. Stressed betul!” marah Adrian masih bersisa. Sesiapa saja yang mengalaminya pasti faham apa yang dia rasa. Siang malam perah otak menghadap assignment tu. Ada masanya sampai tak cukup tidur nak siapkan kerja, alih-alih lesap entah ke mana.
“Lepas ni you jumpalah Sir Yaakob, terangkan apa sebenarnya yang jadi. I yakin dia akan faham. Minta dia bagi masa untuk korang buat semula.”
“Memang I kena pergi jumpa dia. I harap dia tak kisah, kalau tidak habislah kita orang.”

SUDAH hampir sejam Arissa menghabiskan masanya di kafe tanpa ditemani sesiapa. Deena dan Sofea sudah pulang sebaik kelas tamat. Milo ais disedut suku gelas dengan mata yang merenung jauh ke luar kafe. Entah apa yang dia tengok dia sendiri pun tak pasti. Kepala ingat benda lain sejak dari tadi. Arissa bersandar malas ke kerusi. Satu keluhan berat dilepaskan. Fikirannya benar-benar kusut. Bertambah kusut tatkala teringatkan perbualan dia dengan Deena sewaktu di dalam kelas tadi. Masih terngiang-ngiang komen Deena setelah dia menceritakan apa yang terjadi kepada suaminya.
“Kau sure ke assignment dia orang hilang?”
Arissa mengerut dahi. “Apa maksud kau? Dah Ian cakap macam tu maknanya yalah tu. Takkan Ian nak tipu.”
“Aku tak kata Ian tipu, tapi si Yasmeen tu! Dia tu boleh dipercayai ke? If you know what I mean.” Deena tersenyum sinis. Bukan niatnya hendak brainwash Arissa, cuma dia tak mahu Arissa percayakan si Yasmeen bulat-bulat. Semenjak dia tahu Yasmeen sukakan Adrian, membuatkan dia rasa meluat dan menyampah dengan gadis itu.
“Tolong jangan kata kau rasa dia sengaja hilangkan assignment tu.”
“Kalau aku kata ya, macam mana?”
“Apa motif dia buat macam tu?”
Deena menepuk dahi. Boleh tahan lampi juga kawan aku ni. Sabar ajelah! Lampi tu apa? Lampi tu maksudnya lambat pick up! Hehehe!
“Ish, kau ni!! Aku mati-mati ingat kau dah boleh baca fikiran aku. Motif dia dah tentulah nak cari peluang untuk dekat dengan suami kau lagi. Itu saja caranya yang dia boleh guna untuk lebih kerap jumpa Adrian. Faham?”
Dan itulah yang merunsingkan Arissa. Masuk akal juga apa yang dikatakan oleh Deena tu. Orang macam Yasmeen tu jenis psiko, samalah macam Krisya. Dua-dua sama. Orang macam mereka tu jenis yang sanggup berbuat apa saja demi kepentingan diri. Kalau Krisya dengan Yasmeen ni kawan, gerenti boleh jadi BFF sebab mereka sekepala!
“Hai, Arissa. Ian mana?”
Suara itu melenyapkan lamunan panjang Arissa. Arissa mendongak. Matanya tertumpu ke arah wajah yang menegur. Yasmeen berdiri di depannya dengan senyuman nipis di bibir. Huh! Panjang umur dia!
“Hah? Ian? Dia.. balik kut?” balas Arissa teragak-agak seakan tidak pasti.
“Kut? Suami sendiri pun you main kut-kut?” kening Yasmeen terjungkit. Isteri jenis apa perempuan ni sampaikan langsung tak ambil tahu pasal suami? Macam manalah Adrian boleh tersangkut dekat minah ni? Semenjak dia dapat tahu yang Arissa dan Ian sudah bernikah, dia rasa kecewa yang amat sangat. Peluang untuk dia memiliki Adrian sudah tertutup.
“I tak pasti sebab I belum contact dia lagi. Dia pun tak ada mesej apa-apa. Kenapa?” Arissa tak puas hati mengapa Yasmeen beriya benar tanya pasal Adrian. Hatinya terasa kurang enak. Lama matanya merenung wajah Yasmeen yang masih berdiri. Langsung tak pelawa duduk. Biarkan. Dia tak ingin nak duduk semeja dengan Yasmeen.
“I ada hal nak kena bincang dengan dia,”
“Pasal assignment you yang hilang tu?”
“A’ah. Macam mana you tahu? Ian cakap?”
Arissa angguk dengan pandangan yang dihalakan ke lain.
“Benda tu hilang atau sengaja dihilangkan?” Arissa mengajukan soalan yang berbaur sindiran.
“Excuse me? I tak faham maksud you.”
Berkerut dahi Yasmeen tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Arissa.
“You sengaja padam assignment tu?” Arissa mempamerkan riak serius. Dia sudah tidak peduli jika soalannya itu mengundang kemarahan Yasmeen. Yang dia mahu hanyalah kepastian.
“Apa hal pulak I nak kena buat macam tu?! Benda penting macam tu I nak delete? Memang taklah!” nada Yasmeen meninggi secara tiba-tiba. Berubah air mukanya tatkala diajukan soalan sebegitu.
Reaksi Yasmeen membuatkan Arissa berasa hairan. Kenapa perlu naik angin tiba-tiba kalau betul dia tak buat? Ini melenting tak tentu pasal, memang sahlah ada yang tak kena.
“Relakslah! I cuma tanya je, tak perlu marah-marah.”
“Siapa yang tak bengang kalau tiba-tiba kena tuduh macam tu?!” mencerlang mata Yasmeen memandang Arissa.
“Itu cuma andaian I saja. Maaf kalau I salah.” ujar Arissa dengan riak selamba. Milo ais disedut sampai habis tanpa mempedulikan Yasmeen yang sudah merah padam wajahnya.
Tegang wajah Yasmeen. Langsung tidak menunjukkan tanda yang dia akan beredar pergi. Dia menyilangkan tangan ke badan. Wajah Arissa direnung tajam. Jelas dia tak puas hati dengan gadis itu.
“Well, guess what? Andaian you tu tepat sekali. Tak ada sikit pun yang salah. Memang I sengaja padam, jadi bolehlah I luangkan masa dengan Ian selalu.” akhirnya Yasmeen mengaku. Ya, memang itulah agendanya. Bila dia diletakkan satu kumpulan dengan Adrian oleh Sir Yaakob, dialah manusia yang paling teruja dan gembira. Siapa yang tak suka bila dapat bekerjasama dengan insan yang sudah lama diminati? Itulah peluangnya. Dia nak Adrian selalu ada di depan mata.
Arissa tersenyum sinis. “Tapi kenapa mesti Ian? You tahu dia suami I.”
“Sebab I sukakan dia. So?” Yasmeen semakin berani. Apa yang ada dalam hatinya, terluah juga dengan niat hanya ingin membakar hati Arissa.
Arissa cuma diam walau dalam hatinya Allah saja yang tahu. Mendidih hatinya mendengar pengakuan jujur Yasmeen tetapi dia masih boleh berlagak tenang. Jadi memang betullah apa yang diandaikan oleh Deena. Semua yang terjadi sudah dirancang. Yasmeen dengan Krisya dua kali lima saja. Licik!
Yasmeen sedikit hairan bila dilihatnya Arissa tampak bersahaja seolah-olah apa yang diluahkannya tadi tidak sedikit pun meninggalkan kesan. Pelik. Kenapa Arissa selamba sangat bila tahu aku sukakan suami dia? Dia tak marah? Tak cemburu? Kalau perempuan lain mesti dah mengamuk macam orang gila. Yasmeen menggerutu dalam hati.
“Baguslah you dah tahu niat I. Tak perlu I berselindung lagi. Kalau you nak beritahu Ian pun tak apa, tapi I tak rasa dia akan percayakan you.” sambung Yasmeen.
“I isteri dia. Dah tentu dia percaya.” tutur Arissa penuh yakin.
“We’ll see. Good luck!” balas Yasmeen dengan nada yang agak menjengkelkan sebelum berlalu pergi.
Arissa mengetap bibir. Yasmeen yang sudah melangkah jauh dijeling tajam. Baru dia tahu macam mana perangai Yasmeen yang sebenar. Perempuan itu sudah mula menunjukkan belang. Fine. Aku akan pastikan hal ini akan sampai ke pengetahuan Ian dan Sir Yaakob. Masa tu baru dia tahu langit itu tinggi ke rendah.


“YOU tak payah pergi buat assignment dengan perempuan tu.” luah Arissa serius sambil berdiri berpeluk tubuh, menghadap ke tasik. Sebaik Adrian habis kelas, terus diajak Adrian berjumpa di Taman Tasik Shah Alam.
“Apa dia, sayang? Ulang sekali lagi?” mata Adrian sedikit terbeliak seraya meluru ke arah Arissa yang berdiri membelakanginya. Sungguh dia terkejut mendengar permintaan Arissa yang di luar jangkaan. Isteri aku ni kenapa pelik sangat hari ni? Mintak yang bukan-bukan je. Ke aku yang salah dengar?
“I kata you tak payah pergi buat assignment dengan Yasmeen. Dengar tak?”
Adrian menggaru-garu kepala yang tak gatal. “Tapi kenapa?”
“Jangan tanya kenapa. Dengar cakap I. You jangan pergi jumpa dia. Titik.” Tegas Arissa sekali gus mematikan ayat.
“Kalau I tak pergi, macam mana kerja nak siap? Kalau tak nanti kena marah pulak. Sir Yaakob dah tolerate dengan kami ni pun cukup baik dah.”
Arissa mengeluh kecil. Agak susah juga dia mahu menceritakan hal yang sebenar pada Adrian tetapi suaminya berhak tahu. Dan dia sedar keputusan yang diambil ini sangat tinggi risikonya. Sudah tentu Adrianlah yang teruk menanggung. Tapi bila difikirkan balik, takkan jadi apa-apa masalah kalau Sir Yaakob tahu perkara yang sebenar. Silap haribulan, Yasmeenlah yang kena. Baru padan muka dia!
“Perempuan tu sengaja padam assignment tu!” akhirnya Arissa membuka mulut.
“Hah?! Sengaja padam? Maksud you?” sekali lagi Adrian terkejut besar. Matanya yang bulat terbuntang luas.
“Dia dah mengaku semuanya dekat I. Dia sengaja hilangkan sebab dia nak selalu dekat dengan you!”
Adrian bungkam seketika. Masih terkejut dan tidak percaya.
“Jadi memang betullah apa yang Yasmeen cakap tadi. I ingat dia reka cerita.”
“Dia mengadu dekat you?! Dia cakap apa?” kesabaran Arissa kian menipis. Sudahlah dia kacau suami aku, pandai pulak nak mengadu! Betina miang! Macam takde jantan lain kau nak kacau!
“Dia kata you tuduh dia yang bukan-bukan. Yasmeen cakap dia mengaku pun sebab cuma nak test you tapi sebenarnya dia saja nak bergurau, nak tengok apa reaksi you. Assignment tu betul-betul hilang, bukan dia sengaja padam.” cerita Adrian. Mulanya tadi bila Yasmeen mengadu pasal ni, dia tak percaya kerana sangkanya Yasmeen sengaja nak memburukkan Arissa. Sekarang dia tak tahu cakap siapa yang nak didengar. Yasmeen atau Arissa? Aduh! Pening kepala dibuatnya!
Arissa melopong. Sungguh dia tidak menyangka Yasmeen akan bertindak sedemikian. Patutlah kalau Adrian langsung tak percayakan dia.
“Bergurau kepala hotak dia! Dari cara dia bercakap I tahu dia serius! Dia sengaja putar belit cerita! You tak tahu dia siap mengaku yang dia sukakan you!”
Sekali lagi Adrian membisu, tidak memberikan sebarang respons pun. Arissa yakin yang suaminya masih juga tak percayakan dia. Bertambah tertekan Arissa dibuatnya. Macam mana dia nak tewaskan Yasmeen kalau Adrian sendiri pun tak berpihak kepadanya?
“Ian, tolonglah percayakan I. Perempuan tu tak ada bezanya dengan Krisya! Dua-dua psiko! Ada baiknya you jumpa Sir Yaakob, beritahu apa sebenarnya yang terjadi. Biar dia ambil tindakan.”
Adrian ambil masa untuk berfikir sejenak mengenai cadangan Arissa.
“Okeylah, katakanlah I beritahu Sir Yaakob, apa bukti I? Kalau Yasmeen tak mengaku macam mana?”
Saat ini Arissa cuma diam. Kata-kata Adrian ada betulnya juga. Kalau Yasmeen tak mengaku dan Sir Yaakob percayakan dia, habislah! Perempuan tu bukannya boleh dipercayai pun. Orang macam dia tu penuh dengan tipu helah. Pandai berlakon pulak tu. Silap-silap, Sir Yaakob sendiri boleh terpedaya dengan dia.
“I rasa you ni paranoid sangatlah, sayang. Ikutkan sangat rasa cemburu tu. Takkanlah dia sanggup nak delete benda sepenting itu hanya disebabkan I? Yasmeen tu memang suka menyakat orang. I kan sekelas dengan dia, I tahu sangatlah. You tak tengok dia punya menggelabah bila assignment hilang. Sebab itulah I tak rasa dia sengaja buat hal.”
Sakit hati Arissa mendengar ayat yang keluar dari bibir Adrian. Kenapa dengan suami aku ni? Kenapa beriya sangat nak backing betina gedik tu? Jangan-jangan Yasmeen dah mandrem dia tak? Ish! Apa yang aku merepek ni? Minta dijauhkan benda-benda macam tu.
“Jadi you lagi percayakan classmate you dari isteri you sendiri?”
Adrian menunduk. Tidak ada jawapan untuk pertanyaan itu. Kebisuannya membuatkan Arissa sedikit tersinggung. Sangkanya Adrian akan mempercayainya, rupa-rupanya tidak. Terbayang-bayang Yasmeen tersenyum mengejek ke arahnya. Arissa ketap bibir. Seronoklah betina tu kalau tahu yang Adrian back up dia dan tak percayakan aku.
“Jangan-jangan you pun ada hati dekat Yasmeen, sebab tulah you nafikan semuanya. You takut tak berpeluang untuk dekat dengan dia lagi, betul tak?” tebak Arissa penuh beremosi. Kalau dia salah, kenapa Adrian tak jawab masa dia tanya tadi? Nampak sangatlah memang Adrian lebih percayakan si gedik tu dari dia. Dan itulah yang paling menyakitkan.
“Astaghfirullah hal azim. Sayang, sayang. You sedar tak apa yang you cakapkan ni? Cuba bawak mengucap, ingat Allah. Jangan terlalu ikutkan emosi.” balas Adrian. Sebenarnya dia sendiri dah bingung. Kalau betullah Yasmeen buat macam apa yang Arissa kata, dia sendiri yang akan heret Yasmeen bersemuka dengan Sir Yaakob. Namun dalam masa yang sama dia bimbang Arissa sudah tersilap langkah. Dia tahu Arissa terlalu marah dan sakit hati dengan Yasmeen sampaikan langsung tak boleh berfikir dengan baik.
“Fine. I takkan cakap apa-apa lagi. Dah jelas yang you tetap takkan percayakan I. You pergilah dekat Yasmeen, buatlah apa saja yang you nak. Kalau itu yang membahagiakan you, I takkan halang.” ujar Arissa dengan nada lirih. Tak semena-mena dadanya terasa sebak. Tanpa sedar, air mata sudah bergenang di kelopak mata. Sungguh dia kecewa dengan Adrian.
Melihat manik-manik jernih yang mengalir di pipi Arissa membuatkan Adrian terkedu. Dia sudah dihimpit rasa bersalah. Bukan niat dia ingin melukai hati Arissa, jauh sekali membuat dia menitiskan air mata. Arissa sudah ingin beredar namun tangannya tiba-tiba saja ditarik Adrian yang cuba menghalangnya pergi. Arissa merentap tangannya kasar. Esak tangisnya kian kedengaran, menandakan hatinya sudah hancur luluh. Tanpa memandang Adrian, dia terus berlari anak ke kereta. Saat ini dia cuma mahu pergi secepat mungkin, tidak mahu dekat dengan Adrian lagi.



________________________________________


sorry sebab lama sangat pending TMD ni. saya sibuk fokus pada OhMyExHusband sekarang ni. yup, manuskrip tu dah berapa kali kena edit, sebab tulah makan masa nak siap. Sebenarnya saya terpaksa ubah sedikit jalan ceritanya supaya tidak terlalu kliche dan bosan. Doakan saya berjaya. Harapnya publisher yg saya nak hantar nanti berkenanlah dgn cerita saya ni. Insya-Allah. Amin! Oh ya, tinggal lagi beberapa bab utk TMD. No worries, lepas TMD saya akan sambung STILL MARRIED pulak. Dan kalau manuskrip saya ni diterima, saya akan update. Saya kena post balik bab-bab yang saya dah ubah semula, sebab dah tak sama dengan yang dulu. thank u sebab masih sabar dengan saya walaupun selalu lambat update blog. Jangan risau, walaupun saya sibuk sy tetap akan update cerita kat sini. Maaf sangat-sangat ya? Thank u all. Hugs and kisses! :)
p/s : jgn lupa tinggalkan komen. thank u.

1 comment:

  1. Ngape Arissa tak rakam pengakuan yasmeen?

    ReplyDelete