Wednesday 2 December 2015

Truly, Madly, Deeply 10, 11

BAB 10


“TADI tengahari sayang makan apa?”
Arissa hanya menggeleng kepala. Bibirnya terkunci rapat. Responsnya itu menghairankan Adrian. Sungguh dia bingung melihat sikap aneh isterinya itu. Diam seribu bahasa. Sedari tadi, Adrian langsung tidak dipedulikan. Sengaja dia datang ke kelas Arissa kerana terlalu rindukan isterinya. Hanya mereka berdua di situ. Classmates Arissa yang lain masih belum sampai. Kelas Arissa yang seterusnya hanya akan bermula dalam masa lagi lima belas minit. Semua jadual Arissa dah melekat dalam kepala Adrian. Kadang-kadang bila Arissa lupa jadual dia, Adrianlah yang tolong ingatkan.
“Tak makan? Kenapa? Saja nak cari penyakit?”
Kali ini Arissa tak memberikan respons. Macam mana nak makan kalau selera pun tak ada. Laju tangannya menekan-nekan papan kekunci laptop itu. Berpura-pura sibuk dek kerana malas hendak melayan Adrian. Hatinya masih sakit gara-gara kejadian di perpustakaan tadi. Masih terbayang-bayang kegedikan gadis bernama Yasmeen. Itu baru dekat library, kalau dekat luar entah apa-apa lagi yang dia buat agaknya!! Melampau sungguh! Omelnya dalam hati.
“Kenapa ni, sayang? Dari tadi you buat tak tahu je dengan I. I ada buat salah ke?” Adrian bertambah hairan. Isteri aku ni moody betul, aku ada salah cakap atau angin kus-kus dia dah datang? Atau Arissa marah sebab aku tak jawab fon dia tadi? Hatinya berteka-teki. Adrian kesal. Kalau dia tak tertidur tadi, tentu saja Arissa takkan jadi begini.
“Relaksnya you lepak kat sini. Tak ada kelas? Ke you ponteng kelas?” Arissa membalas soalan dengan soalan yang berbaur sindiran. Tak tengok muka Adrian sikit pun.
“Mana ada! Kelas dibatalkan. I duduk kat library je dari tadi, buat kerja.” Balas Adrian. Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja. Dekat perpustakaan tadi pun dia bukannya boleh fokus sangat. Nasib baiklah discussion group tak lama. Selesai kerja, terus dia ke sini.
“Kerja? Kerja apa?” sengaja Arissa mengajukan pertanyaan yang dia sudah tahu jawapannya.
“Siapkan group assignment dengan Izwan, Sara, Yasmeen.”
“Yasmeen pun ada? Tak cakap pun satu group dengan dia?” Arissa bertambah bengang. Padanlah minah gedik tu ada dekat situ tadi. Dia satu group dengan laki aku rupanya!! Arissa menggerutu dalam hati.
“Baru tadi je buat group sebenarnya. Bukan I yang nak, Sir Yaakob tu yang pilihkan. Dia tak bagi kita orang pilih sendiri.” jelas Adrian sungguh-sungguh. Dari nada percakapan Arissa, Adrian merasakan ada sesuatu yang menganggu emosi gadis di hadapannya itu. Sayang aku ni cemburukan Yasmeen ke? Takkan hanya kerana perkara sekecil itu pun dia sakit hati?
Arissa mengetap gigi. Meluap-luap marahnya. Panas hati pasal kejadian tadi masih belum hilang, ditambah pula dengan hal lain. Seronoklah si gedik tu sekumpulan dengan laki aku. Hari-hari dapat jumpa Adrian, dapat sembang dengan mamat tu. Ggrrrr.. sakitnya hati!!!
Adrian baru perasan yang bajunya berbau wangi. Dahinya berkerut sedikit. Pelik. Dari mana pula datang minyak wangi ni? Minyak wangi perempuan pula tu. Dia mencium bajunya berkali-kali. Baru dia ingat masa dekat library tadi, dia tertidur. Sebaik terjaga, tengok-tengok baju sejuk Yasmeen ada dekat dia. Kata Yasmeen, dia tak sampai hati melihat Adrian yang kesejukan. Memang perpustakaan tu sejuk yang amat, sebab itulah Adrian pun mudah terlelap.
“Apasal baju I bau perfume perempuan? Ini mesti sebab sweater si Yasmeen ni,” terpacul ayat itu di bibir Adrian. Pantas dia menekup mulut. Dia sudah terlepas cakap. Masaklah kau, Adrian!
Berubah riak wajah Arissa. Darahnya sudah berdesup naik ke kepala. Panas pipinya menahan marah.
“Errr.. mak.. maksud I.. se.. sebenarnya.. tadi.. dia…”
“Dia selimutkan you dengan sweater dia?” Arissa memintas percakapan Adrian yang tersekat-sekat.
Mata Adrian membulat. Degupan jantungnya semakin kencang.
“Macam mana you tahu?”
“I was there. I saw everything.”
“You ada kat situ? Bila?”
“Lepas kelas tadi I cari you dekat kafe, Shahrul cakap you dekat library. I pergilah. Dapatlah tengok ‘wayang’ percuma. Romantik jugak si Yasmeen tu rupanya, kan?” tutur Arissa sinis.
Adrian menundukkan wajah. Baru dia mengerti apa sebabnya Arissa bersikap acuh tak acuh tadi.
“Sayang, kalau you dah tengok semua tu maknanya you nampaklah I tidur. Maknanya I tak sedar apa-apa. Kalau I sedar, tak ada maknanya I nak biar dia buat macam tu,”
Adrian berjeda.
“I tertidur masa tunggu Izwan dengan Sara. Tak sangkalah pulak si Yasmeen tu nak selimutkan I. I pun terkejut bangun-bangun je ada sweater dia dekat I. Dia kata takut I sejuk.”
“Wow, caringnya dia!!! Meluat!!” Arissa julingkan mata ke atas. Menyampah!
“Janganlah marah. Kalau I tahu dia nak buat macam tu, awal-awal lagi I dah lari.” Balas Adrian. Dia mahu Arissa tahu yang dia juga tidak senang dengan perbuatan Yasmeen itu.
Arissa melemparkan pandangan ke luar tingkap kelas. Langit cerah berubah mendung. Sayup-sayup bunyi guruh kedengaran dari atas sana. Mungkin bumi Shah Alam akan ditimpa hujan sekejap lagi.
“Perempuan tu syok dekat you.” Luah Arissa setelah dia membisu sejenak. Nadanya sedikit kendur. Wajahnya juga tidak lagi seserius tadi.
“Hah?? Yasmeen sukakan I? Merepek je sayang.” Adrian menggelengkan kepala, menafikan. Takkanlah hanya dengan selimutkan aku itu bermaksud dia sukakan aku. Karut! Gumam Adrian dalam hati.
“I tak merepek. Lepas apa yang I nampak tadi, I dah tak sedap hati. I boleh baca hati dia.”
“You tengah marah, mulalah fikir yang bukan-bukan. Dia kan dah tahu I boyfriend you. Takkanlah dia sukakan I pulak. Melambak lagi yang single dekat MSU ni.”
Arissa menggeleng, menyangkal kata-kata suaminya itu. Adrian salah. Kalau semua orang nak cari yang bujang, dunia ini pasti akan lebih aman. Takkan timbullah isu rampas-merampas.
“I tak tahu kenapa I jadi macam ni. Tiba-tiba je I jadi takut. I tak sedap hati, sayang. I rasa macam ada benda yang tak elok akan jadi kat kita.” Arissa bernada bimbang. Fikirannya benar-benar terganggu.
“Astaghfirullah hal azim. Sayang, sayang. Kenapa sampai ke situ perginya? Suka sangat fikir yang negatif. Istighfar banyak-banyak. Ingat Allah. Yang pentingnya doa. Minta dengan Allah supaya tak ada benda buruk berlaku.”
“I tahu, tapi macam mana kalau instinct I betul? Macam mana kalau Yasmeen memang sukakan you?”
“Dia kena terimalah orang yang dia suka ni cintakan orang lain. Dah kahwin dah pun.” Ujar Adrian dengan nada yang agak kuat.
“Syhhh.. perlahanlah sikit suara you tu. Nanti orang dengar.”
Adrian ketawa. “Biarlah satu dunia tahu. Lagi bagus. Barulah tak ada siapa kacau kita.”
Arissa senyum pahit. Betul ke orang takkan ganggu walaupun dah tahu status kami? Entah-entah makin banyak gangguan adalah. Wajah Adrian direnung lama. Lelaki ini adalah segala-galanya buat Arissa. Dengan Adrian dia bahagia. Tiada Adrian, tiada sinarlah hidupnya.
“Sayang, boleh you janji satu benda dengan I?” soal Arissa lembut.
Adrian mengangguk. “Apa dia?”
“Lepas habis assignment tu nanti, you jangan dekat dengan dia lagi. Boleh?”
“I janji.” Adrian tersenyum lebar. Jam tangannya dikerling sesaat.
“I pergi dulu, sayang. Jumpa lepas kelas nanti. Cium I sikit.” Adrian menyuakan pipinya kepada Arissa.
“Jangan nak mengada-ngada.” Perlahan Arissa menolak Adrian jauh darinya.
“Eleehh.. bukan ada orang pun kat sini.” Adrian tak putus asa. Wajahnya didekatkan lagi dengan wajah Arissa.
Tiba-tiba pintu kelas diketuk dari luar. Dua-dua menggelabah. Itu adalah isyarat ‘line tak clear’ dari Hanif.
“Cepat la bro!!” Hanif yang disuruh jaga pintu, melaung dari luar kelas. Kawan punya pasal, dia layankan saja.
“Alaa.. potong stim betul!” cebik Adrian. Baru nak manja-manja dengan bini sikit dah ada yang mengacau.
Arissa ketawa mengekek-ngekek. Nasib baik Hanif panggil. Kalau tidak gerenti dia kena paksa dengan Adrian tadi. Kerjanya yang tergendala sebentar tadi disambung semula. Adrian bangkit dari kerusi. Beg sandangnya digalas sebelah bahu.
“Sayang..”
Arissa yang tekun menyiapkan kerja, mengangkat pandangan. Tak semena-mena…
Chupp!! Pipi Arissa dikucup sekali.
Arissa terpempan. Wajahnya membahang, dadanya pula berdebar-debar. Ketawa Adrian melihat wajah isterinya yang sudah merona merah. Malulah tu!! Arissa mendengus geram. Satu jelingan tajam diberikan pada Adrian, membuatkan lelaki itu semakin galak ketawa. Dia memang suka cari pasal dengan Arissa.
“Jangan marah, sayang. I love you!” jerit Adrian dan terus berlalu. Puas hati dia. Minta cium macam minta duit sejuta. Punya susah nak bagi. Sudahnya, terpaksalah guna taktik kotor.
Arissa meraba-raba pipi kirinya. Masih terasa hangatnya ciuman itu tadi. Nasib baiklah tak ada sesiapa di situ. Hanif pun kat luar. Kalau Hanif nampak, malulah dia! Adrian memang nakal. Semakin menjadi-jadi nakalnya sekarang. Tahulah dah nikah. Naik geram juga Arissa. Namun, dalam geram ada bahagia. Dapat ciuman percuma dari suami. Tanpa sedar, dia tersenyum sendiri.


 TELEFON di atas meja tulisnya bergetar, menandakan ada mesej yang baru masuk. Cepat-cepat dia buka. Mesej dari Adrian.

 Sayang, I baru sampai rumah. Nak tidur kejap. Mengantuk gila. I ambik you kat rumah lepas Maghrib nanti. Love you.

Timbul sedikit rasa iri hati pada Adrian. Seronoklah Ian dah habis kelas, siap boleh balik rumah nak membuta. Sedangkan dia pula masih di kampus, menahan mata yang kian berat demi menyiapkan tugasan yang diberi. Mesej suaminya itu segera dibalas.

Okey, sayang. Jumpa malam nanti. I love you too.

Handphone disimpan semula ke dalam beg. Arissa menguap kecil. Matanya pula ditenyeh-tenyeh perlahan. Sudahlah dekat luar tu hujan lebat, ditambah pula dengan suhu penghawa dingin di perpustakaan yang mencucuk ke tulang hitam, membuatkan matanya semakin layu. Kalau kat rumah ni, dah lama dia berbungkus dengan selimut.
“Beb, malam ni kita keluar, nak? Dah lama tak outing.” cadang Deena.
“Boleh jugak. Pergi Sunway Pyramid la. Aku nak makan Snowflake,” celah Sofea.
“Kau nak join, Arissa?” Deena memandang Arissa yang hanya membisu sedari tadi.
“Sorry, girls. Kalau boleh memang aku nak pergi tapi aku ada hal dengan Ian malam ni. Makcik Ian ajak dinner kat rumah dia, jadi aku kena pergilah.” Beritahu Arissa. Sejak dari minggu lepas lagi Auntie Fiza pesan yang mereka wajib datang. Kalau tak pergi, takut merajuk pula ibu saudara Adrian yang sudah lama menjanda sejak lima tahun yang lepas. Arissa mengerti isi hati wanita itu. Hafiza sebenarnya kesepian. Cuma mereka saja yang boleh mengisi kekosongan di hatinya. Sudah nasib dia begitu. Tak ada suami, tak ada anak. Kaya tapi tak bahagia. Pun begitu, Hafiza tetap tabah mengharunginya.
“Lupa pulak orang dah bersuami. Dah susah nak keluar dengan kita.” Deena bersuara lagi. Semenjak Arissa dah kahwin, sudah jarang benar mereka dapat luangkan masa bersama-sama. Nasib baiklah ada si Sofea. Setidak-tidaknya, ada juga teman nak ajak ke mana-mana.
Sofea tersengih, mengangguk-anggukkan kepala. Setuju dengan Deena.
“Alaaa.. janganlah cakap macam tu. Hujung minggu ni kalau aku tak sibuk kita outing sama-sama. ok?” balas Arissa yang sedikit rasa bersalah kerana terpaksa menghampakan permintaan sahabatnya itu.
“Janji?” Sofea sudah senyum lebar. Memandang Arissa penuh mengharap.
Arissa mengangkat tangan kanannya tegak. “Janji!”
Sofea dan Deena tersengih melihat reaksi Arissa. Sofea tiba-tiba bangkit dari kerusi. Dia perlu segera ke tandas. Sejuk sangat sampai nak terkucil.
“Beb, tolong jaga beg aku. Aku nak pergi toilet kejap. Tak tahan sangat dah ni!”
Arissa angguk. Geli hatinya melihat Sofea yang laju berlari keluar dari perpustakaan. Deena pula hanya menggeleng-gelengkan kepala. Macam-macam kerenah Sofea ni.
Selang lima minit kemudian, Sofea muncul semula.
“Arissa, aku ada hot news nak beritahu kau!” Dengan nada berbisik tetapi teruja, Sofea memberitahu. Dia terus melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan dengan Deena.
“Apa dia?” Arissa sudah tidak sabar ingin tahu.
Deena juga sudah mula memasang telinga. Bila masuk bab bergosip, laju je nak join sekali. Sebab itulah mereka boleh jadi kawan baik. Sekepala. Perempuanlah katakan.
“Tadi masa aku pergi toilet, Yasmeen masuk. Dia cakap telefon dengan siapa entah.”
“Itu je kau nak beritahu? Hot news la sangat!” sindir Deena, membuatkan Arissa ketawa mengekek-ngekek.
“Bagi aku habis cakap dulu boleh?" Sofea menjeling Deena geram. Dia tak habis cakap lagi, sibuk nak mencelah.
“Ooo.. ada lagi ke? Ok, sorry. Teruskan.”
Sofea melihat ke kiri dan kanan. Yakin tidak ada sesiapa di situ, dia kembali bersuara.
“Aku dengar Yasmeen cakap...”


TELEFON bimbitnya berdering. Melihat nama si pemanggil, Adrian terus lari keluar menuju ke halaman, berdiri tidak jauh dari kolam.
“Apa lagi yang you nak, Krisya? Langsung tak boleh tengok orang senang, kan?” tanpa salam, Adrian terus menyembur Krisya dengan suara yang tertahan-tahan. Sempat dia menoleh ke belakang.  Melalui sliding door, dia lihat Arissa sedang rancak berbual dengan makciknya. Sebenarnya dia takut Arissa terdengar perbualannya itu.
“Please don’t get mad. Sebenarnya I sunyi sangat. I perlukan teman untuk berbicara.” luah Krisya dengan nada sayu yang dibuat-buat.
“Buat apa cari I? Tak ada faedah pun. Pergilah cari sugar daddy kat luar sana. Dia orang tu bukan saja boleh hilangkan bosan you, duit pun boleh bagi. Untuk kesenangan you jugak.”
“Sampai hati you cakap macam tu, Ian..”
Adrian senyum sinis. Dia tahu itu cuma taktik kotor Krisya untuk meraih simpati. Sikit pun tak rasa bersalah kerana menyindir Krisya tadi. Dia tahu Krisya jenis hati kering. Soundlah macam mana pun, sikit pun dia tak terkesan.
“I ingatkan bila I dah kahwin tak adalah you kacau I lagi. Ini tidak, makin menjadi-jadi!”
“Tak mudah I nak lupakan you. Makin lama makin kuat ingatan I pada you,”
Adrian tergeleng-geleng sendiri. Lama dia membisu. Saat ini baru dia sedar yang kisah hidupnya tak ubah macam cerita dalam novel. Bila dia sudah mula bahagia dengan yang lain, muncul kekasih lama untuk menagih cinta yang sudah lama mati. Perlahan Adrian menapak ke gazebo yang terletak hanya beberapa langkah darinya.
“I harap you sudi bagi I satu lagi peluang untuk I menebus segala dosa I pada you. Please, Ian. I tak boleh hidup tanpa you.” sambung Krisya. Langsung tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan berputus asa.
“Peluang untuk apa? Peluang untuk you sakitkan hati I lagi?!”
“Tak. You salah. I dah sedar kesilapan I dan I janji I takkan ulanginya lagi.”
“Kalau you fikir I akan penuhi semua kehendak you, you silap. I bukan lagi Adrian yang you kenal, Krisya. Ian yang dulu dah tak ada, dia dah mati!!” bentak Adrian dan talian segera diputuskan.
Dasar perempuan gila! Adrian menjerit dalam hati. Tangannya menumbuk tiang gazebo sekali, melepaskan geram. Dari luar rumah, telinganya menangkap bunyi gelak ketawa Auntie Fiza, abang dan kakak iparnya. Suara Abang Afnan yang paling kuat. Semua tengah seronok layan ulangan Maharaja Lawak Mega. Adrian bingkas bangun. Dia tidak mahu berlama di situ kerana bimbang Arissa mengesyaki apa-apa nanti.
Sebaik saja dia memusingkan tubuhnya, matanya tertancap ke wajah Arissa yang entah bila masa tercegat di belakangnya.
“Sayang, terkejut I. Bila masa you ada kat sini?” Adrian yang sedikit terperanjat, mengurut-urut dada. Kus semangat! Dia tak sedar Arissa ada dekat situ. Agaknya Arissa dengar ke tadi?
“You cakap dengan siapa tadi?” tanya Arissa perlahan.
“Tadi? Err.. kawan..” Adrian berbohong. Dia tunduk menekur lantai. Tak berani ingin menatap wajah Arissa saat ini.
“Maksud you Krisya?”
Adrian menelan air liur. Terasa kesat. Habislah aku!! Macam mana dia tahu?
“I dengar you sebut-sebut nama dia tadi. Kenapa, Ian? Kenapa mesti you tipu I? Kenapa?!” bentak Arissa, seakan dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran suaminya. Sungguhlah dia kecewa. Sangkanya lelaki itu akan berlaku jujur dengannya, namun ternyata dia silap. Adrian sudah pandai berbohong!
Arissa dah tak peduli kalau ada sesiapa yang dengar pertengkaran mereka. Biar semua tahu perangai Adrian yang sebenar. Dia tidak pasti apa yang dibualkan, namun yang dia pasti memang Krisyalah dalam telefon tadi. Orang kalau dah berbohong, itu bermakna ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Itulah yang menyebabkan Arissa teramat marah dan sakit hati. Mungkinkah masih ada sesuatu di antara mereka?
“I.. I cuma..”
“Tergamak you buat I macam ni..” hampa nada Arissa, sehampa hatinya. Sudahlah moodnya tak berapa baik setelah mendengar cerita yang diberitahu oleh Sofea petang tadi. Kata Sofea, dia dengar Yasmeen mengaku pada seseorang, yang dia sudah lama menaruh hati pada Adrian. Mendidih darah Arissa dibuatnya. Instinctnya sangat tepat!! Apa yang dia risaukan sudah jadi kenyataan.
Wajah Adrian ditenung beberapa saat, sebelum dia ingin melangkah masuk ke rumah semula. Namun langkahnya terhenti bila tangannya tiba-tiba ditarik Adrian yang cuba menghalangnya.
“Sayang, dengar dulu penjelasan I.” Adrian berdiri betul-betul di depan Arissa ketika ini. Sungguh dia kesal kerana bertindak sedemikian rupa. Kalaulah tadi dia berterus-terang, tentu Arissa takkan bersedih hati.
Laju Arissa menggeleng. Tidak ada apa-apa yang perlu Adrian jelaskan lagi. Semuanya dah terlambat.
“I kecewa dengan you, Ian.” lirih suara Arissa. Hanya itu saja yang mampu diungkapkan dan dia terus berlalu pergi.


***********************************************


BAB 11


“KHUSYUKNYA dia baca buku. Boleh join?”
Arissa mengangkat muka. Tak sampai sesaat wajah itu dipandang, dia kembali fokus pada buku nota di tangan. Tanpa menanti respons dari Arissa, insan yang menegur itu terus duduk di sebelahnya. Arissa buat tak endah. Masa aku tengah tak ada mood inilah dia datang mengacau. Omel Arissa dalam hati.
“Kenapa awak sorang je kat sini? Mana kawan awak yang lagi dua orang tu?” soal Zarif ramah.  Pelik bila dia tengok cuma Arissa seorang di ruangan U-Plaza ini. Tempat lepak student sementara tunggu kelas bermula. Namun ketika ini suasananya agak lengang sedikit. Mungkin ramai yang dah keluar makan tengahari.
“Pergi Tesco kejap.” acuh tak acuh Arissa menjawab.
“Ooo.. awak dah makan?”
“Belum. Kenapa?”
“Baguslah. Bolehlah kita makan sekali.” ujar Zarif, benar-benar berharap agar permintaannya tidak dikecewakan. Seboleh-bolehnya dia ingin mendekati gadis itu. Ya, dia tahu Arissa tidak mudah untuk didekati, namun itu bukanlah penghalang. Sekeras-keras hati Arissa, dia tetap perempuan. Kalau kasi ayat baikkk punya gerenti sekejap saja dah cair. Heh!! Ini Zariflah. Jejaka terhangat di pasaran. Perempuan bodoh saja yang berani reject aku. Hatinya memuji-muji diri sendiri.
Makan sekali? Siapa entah nak makan dengan dia? Tak boleh jadi ni. Aku kena cari alasan supaya buaya darat ni takkan boleh paksa aku makan dengan dia. Kata-kata itu bergema di dalam hatinya. Ligat kepala otaknya mencari alasan kukuh. Tiba-tiba...
“Sayang, jom lunch.” suara macho itu menyapa halwa telinganya.
Arissa berkalih pandang ke arah suara itu. Kemunculan Adrian benar-benar melegakan Arissa, walaupun dia sebenarnya tidak ada hati ingin bertemu mata dengan suaminya itu buat masa ini. Namun, dia sudah tidak ada pilihan lain. Memang dia masih marahkan Adrian, tapi dia lebih rela begitu daripada keluar dengan jantan kasanova tu. Great!! This is just great!! Adrian tiba tepat pada masa. Senyum Zarif pudar. Alamakkkk... boyfriend dia dah datang pulak!!
“Sorry, Zarif. Saya tak dapat join awak makan. Saya nak lunch dengan Ian.” Arissa segera menyimpan buku nota ke dalam beg. Mahu cepat-cepat beredar kerana dia sudah tidak sanggup terus berlama di situ.
“It’s okay. Saya faham. Lain kali ajelah nampaknya.” balas Zarif sedikit hampa. Gagal lagi rancangan aku!
Adrian melirik sekilas ke arah Zarif sebelum dia memandang ke tempat lain dengan wajah serius. Cukup benci melihat playboy itu yang sentiasa menganggu isterinya. Nasib baik dia datang cepat. Ada hati nak ajak Arissa makan pulak. Dah puas hidup agaknya mangkuk tingkat ni!
Pasangan suami isteri itu berjalan beriringan menuju ke parking lot. Arissa cuma diam tanpa bicara. Sesekali Adrian menoleh ke arah Arissa yang kelihatan seakan tidak berminat untuk bercakap dengannya. Adrian dapat rasa yang isterinya itu masih marahkan dia tentang kejadian malam tadi.
“Mamat tu ajak you lunch ke?” Adrian mencetus keheningan di antara mereka.
Arissa cuma mengangguk. Macam ada berlian dalam mulut, langsung tak bercakap.
“Berani betul. Nasib baik I cepat datang, kalau tak..” Adrian tidak menghabiskan ayatnya.
Kata-kata Adrian dibiarkan sepi tanpa reaksi. Arissa tahu apa yang Adrian rasa. Sebelum ini pun dah banyak kali lelaki itu meluahkan rasa tidak senangnya dengan sikap Zarif. Apa lagi bila Zarif cuba menggoda isteri dia pula. Siapa yang suka?
“Sayang nak makan dekat mana?” soal Adrian sewaktu kereta sudah meluncur keluar dari perkarangan kampus.
“Entah.”
Sepatah saja jawapan di bibir Arissa, itu sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya. Orang tengah moody tu jadi jangan cuba cari pasal, Ian! Adrian mengeluh berat.
“You bukannya nak keluar sangat dengan I, kan? Saja cari alasan nak lari dari si Zarif tu, betul tak?” tebak Adrian.
Arissa bungkam. Tekaan Adrian mengena. Memang betul dia cuma gunakan peluang itu untuk menjauhkan diri dari Zarif. Hatinya jadi sakit setiap kali mengenangkan peristiwa itu. Adrian sanggup membohonginya, itu yang buat dia kecewa. Adrian tak pernah belajar dari kesilapan. Dulu pun hubungan mereka hampir musnah kerana sebab yang sama. Sudah lupakah Adrian tentang kejadian itu? Tak serik-serik! Janji taknak buat, tapi buat juga! Kalau dah namanya lelaki, hanya tahu menabur janji. Besar sangat ke permintaan kami, wahai lelaki? Bukan intan permata yang kami mahu, yang kami mahukan hanyalah sebuah kejujuran. Itu pun terlalu sukar untuk ditunaikan.
Dengan wajah serius, Arissa melemparkan pandangan ke luar tingkap. Adrian mengerling Arissa dengan ekor mata. Layanan dingin dari isterinya itu amat-amat menyeksa jiwa. Rindunya dia nak tengok Arissa senyum dan ketawa. Selama mereka berkahwin, ini pertama kali mereka bergaduh.
Proton Satria GTi yang pernah menjadi milik abangnya Adrian satu ketika dulu dipecut laju menuju ke McDonald's Seksyen 2. Sengaja Adrian pilih tempat yang agak jauh dari MSU. Dalam keadaan sekarang, hanya sedikit privasi yang mereka perlukan. Dia hanya mahu berdua dengan Arissa tanpa ada yang menganggu.
Di McDonald's, Arissa memilih untuk duduk di luar memandangkan tempat duduk di dalam sudah penuh. Dekat luar lengang sikit. Maklumlah, angin tak berapa nak baik. Dia malas nak bersesak dekat tempat crowded. Adrian yang sememangnya sudah faham dengan perangai isterinya hanya menurut. Dia sendiri pun jenis yang cepat rimas.
“You duduk dulu, biar I pergi beli makanan. You nak apa?” tanya Adrian.
“Milo ais.”
“Minum je? Makan?”
Arissa geleng. Tak rasa nak makan apa-apa. Malas nak banyak soal, Adrian terus masuk dan beratur. Nasib baik queue dah tak panjang, jadi tak perlu tunggu lama untuk isi perut yang sudah berkeroncong.
Beberapa minit kemudian, Adrian datang ke meja dengan dulang yang ada dua air, dua burger dan sekotak nugget. Sos cili pun bukan main banyak lagi dia ambil. Kegemaran dialah katakan. Adrian sudah menggigit burgernya sedikit. Arissa pula cuma minum air. Nugget dengan burger tak dijamahnya langsung. Adrian menggeleng perlahan. Pantang gaduh sikit, mulalah mogok lapar. Aduhai, isteriku. Janganlah seksa suamimu begini. Ujarnya dalam hati.
“Bukak mulut.” suruh Adrian sambil menyuakan sekeping nugget ke mulut isterinya.
“Kan I dah cakap I taknak makan.”
“Kena makan. I taknak you sakit.” Adrian berkeras.
“You ingat you boleh pujuk I dengan tunjuk caring macam ni?” penuh serius wajah Arissa. Nugget di tangan Adrian diambil lalu diletak ke dalam kotaknya semula.
Berubah riak wajah Adrian. Seketika, dia membisu. Terbantut selera makannya. Milo ais disedut sedikit untuk membasahkan tekak.
“Tolonglah, sayang. I taknak bergaduh dengan you.”
“I nak tanya you, apa lagi yang you sorokkan dari I? Mesti sebelum ni pun you dengan dia kerap berhubung, kan? I je yang tak tahu.” akhirnya Arissa meluahkan juga apa yang dipendamkan sejak dari malam tadi. Balik dari rumah Auntie Fiza, terus dia matikan telefon, tak mahu diganggu.
“Dia je yang cari I, tapi I tak pernah layan pun.”
Arissa tersenyum sinis. “Masa yang kita dekat butik ZARA tu pun you cakap fon dengan dia? Bukan orang tersalah nombor?”
Pertanyaan itu hanya disambut dengan anggukan lemah dari Adrian. Arissa mengetap gigi. Makinlah dia geram. Rupa-rupanya dah banyak kali dia tertipu, tapi disebabkan rasa percayanya terhadap Adrian, dia langsung tak syak apa-apa. Akhirnya, Tuhan tunjukkan kebenaran.
“I tak boleh terimalah semua ni. Suami I tak jujur langsung dengan I. You tahu itu benda yang paling I benci, tapi you buat jugak. Sengaja nak sakitkan hati I.”
“Demi Allah itu bukan niat I. I mengaku I salah sebab tak pernah berterus-terang dengan you, tapi sumpah I tak pernah contact dia. Dia je yang kerap cari I.”
“Baru sekarang you nak berterus-terang.”
“I takut you marah, sebab tu I tak pernah cakap.”
Arissa ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Alasan apa dia bagi ni? Macam budak-budak!! Bencinya aku dengar!
“Kenapa nak takut kalau betul you tak bersalah? Lainlah kalau you ada hubungan sulit dengan dia.” lancar mulut Arissa menyindir suaminya. Berani kerana benar, takut kerana salah. Adrian tak perlu takutkan apa-apa kalau betul dia tak ada apa-apa dengan Krisya.
“Tak. Demi Allah tak, sayang. Percayalah.” ujar Adrian sungguh-sungguh. Tak sanggup lagi nak dengar segala macam tuduhan keluar dari bibir itu.
“Dulu you pernah cakap, dalam perhubungan harus ada kejujuran. Sekarang you sendiri yang tak jujur. Kalau itu pun you tak mampu lakukan, macam mana kita nak bertahan?” saat ini mata Arissa merenung jauh ke dalam anak mata Adrian.
“I cuma nak jaga perasaan you, sebab I tahu you langsung tak boleh dengar nama dia. Maafkan I, sayang. I fikir tindakan I ni betul, rupa-rupanya I dah tersilap langkah.”
“I akan lebih terseksa kalau you tak berlaku jujur dengan I, Ian. Ingat tu.”


NADA dering Payphone berbunyi kuat, meminta segera diangkat. Cepat-cepat Adrian mengambil telefonnya dalam poket seluar. Jai. Adrian menghela nafas lega. Nasib baik bukan Krisya. Sejak kejadian malam tu, dia betul-betul serik. Dia sudah tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan gadis itu lagi.
“Bro, jadi tak join kita orang lepak Ahad ni?”
“Tak. Malas.” jawab Adrian yang sedang bersandar pada keretanya. Jam tangan dijeling sekilas. Sudah 10 minit dia menunggu isterinya di tempat parkir itu, namun bayang Arissa tetap tidak kelihatan.
“Laa.. asal pulak?” soal Jai.
“Kalau korang berkumpul jawabnya si Krisya pun ada sekali. Aku taknak.” serta-merta peristiwa malam reunion mereka menerjah ke ingatan. Disebabkan hal itu, dia bergaduh besar dengan Arissa. Adrian takut kalau dia terkena lagi kali ni. Kata nak lepak dengan member-member, tup-tup minah psiko tu ada jugak. Adrian tak sanggup!
“Tolong sikit eh? Aku belum gila lagi nak ajak minah tu. Lainlah kalau aku ni Azmeer. Join jelah, bro. Sejak akhir-akhir ni susah sangat nak jumpa kau.”
Azmeer. Dengar nama itu saja sudah cukup menyakitkan hati Adrian. Adrian senyum sinis. Sehingga ke saat ini dia masih belum melupakan tindakan bodoh Azmeer. Disebabkan kejadian itu, mereka jadi renggang. Azmeer juga tidak dijemput hadir ke majlis pernikahannya.
“Tengoklah macam mana. Aku tak janji. Apa-apa hal nanti aku call.”
“Okey. Chow!”
Adrian melihat jam sekali lagi. Satu keluhan halus dilepaskan. Manalah sayang aku ni? Takkan dia lupa kut? Ke tak habis merajuk lagi? Soalnya dalam hati. Tadi sewaktu di McDonald's, puas Adrian memujuk, memohon kemaafan dari isterinya itu, namun Arissa tetap juga buat tak endah. Mungkin dia masih marah. Sabarlah hati.
Aplikasi Whatsapp dibuka dan terus diklik pada nama My Sayang, nama manja yang dikhaskan untuk Arissa. Last seen Arissa sejam lepas. Ish! Busy sangat ke sampai langsung tak tengok Whatsapp? Soal Adrian dalam hati. Laju jari-jemarinya menaip mesej.


Sayang kat mana? Cepatlah turun. I tunggu dekat parking.

Sekejap saja dah double tick, bermakna mesej itu sudah diterima namun masih belum dibaca. Adrian mundar-mandir di situ. Resah. Dia benar-benar resah. Kalau Arissa tak datang jugak, masaklah dia! Macam mana ni? Apa yang patut dia buat? Adrian sudah mati akal.
“Ian!”
Adrian tersentak. Pantas dia menoleh ke arah gadis yang sedang berjalan ke arahnya. Mampus aku! Minah gedik dah datang! Adrian sudah mula menggelabah. Menggelabah kerana dia tahu dia takkan dapat larikan diri dari Yasmeen lagi. Tadi masa dalam kelas, Yasmeen tiba-tiba cakap nak tumpang balik. Cepat-cepat dia mesej Arissa dan harap sangat Arissa boleh selamatkan dia dari perempuan gedik ini. Masalahnya, batang hidung Arissa masih juga belum kelihatan. Kenapalah wife aku ni tak datang lagi? Dia sengaja ke nak biarkan aku dengan Yasmeen? Dia suka ke perempuan gedik ni kacau suami dia?
“Hai, Yasmeen..” Adrian senyum. Senyuman yang dibuat-buat.
“I ingatkan you dah tinggalkan I tadi.” rengek Yasmeen dengan nada manja bercampur gedik. Tadi dia panik gila sebab tak jumpa Adrian. Walhal tadi lelaki itu sudah setuju nak tumpangkan dia balik. Sangkanya Adrian akan menolak tapi tidak. Seronok sungguh dia. Bukan senang nak dapat peluang sebegini. Harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Hah? Aaa.. tak.. I.. err..”
“You ni tiba-tiba je jadi gagap. Jomlah cepat! Nanti jalan jam pulak,” gesa Yasmeen.
Adrian menggaru-garu kepala yang tak gatal. Dia buntu. Tak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Dia sudah tidak ada pilihan lain. Nampak gaya terpaksalah dia tumpangkan Yasmeen juga.
Adrian sudah ingin membuka pintu bila dia dipanggil seseorang.
“Sayang!”
Lebar senyuman Adrian melihat Arissa ketika itu. Alhamdulillah, datang pun! Dia menarik nafas lega. Matanya melirik ke arah Yasmeen. Tidak ada lagi senyuman di wajahnya. Ternyata dia kurang senang Arissa yang tiba-tiba muncul, merosakkan rancangannya untuk berdua-duaan dengan Adrian.
“Sorry I lambat, ada discussion sikit dengan kawan-kawan tadi.” jelas Arissa seraya tersenyum nipis. Tali beg sandang di bahunya dibetulkan.
“It’s okay. Masuklah cepat.”
“Yasmeen pun tumpang kita?” kening Arissa terjungkit sebelah. Dia mengerling Yasmeen dengan hujung mata. Sengaja buat-buat tanya walhal semuanya sudah Adrian ceritakan. Satu senyuman plastik dilemparkan ke arah Yasmeen yang berdiri kaku di sisi kereta, persis patung tidak bernyawa.
“Ha’ah. I.. I tak bawak kereta.. hari ni.” jawab Yasmeen tersekat-sekat. Wajahnya ditundukkan sedikit. Kurang asam betul! Sia-sia je semua rancangan aku. Baru ingat nak berkepit dengan mamat handsome ni, alih-alih datang pulak perempuan ni. Kacau!
“Ooo.. masuklah. You tak kisah duduk kat belakang, kan?” soal Arissa sekadar ambil hati. Bukan ikhlas pun tanya. Memang sepatutnya dia yang duduk di depan, bukan Yasmeen!
Yasmeen tersenyum paksa. “Yup, it’s okay. I don’t mind.”
Arissa angguk dan terus masuk kereta. Sewaktu dia hendak pakai tali pinggang keledar, sempat dia kerling Adrian. Lelaki itu tidak berkata apa-apa, hanya mengemam bibir menahan tawa.


BERKERUT dahi Arissa memandang suaminya yang tiba-tiba ketawa sendiri, seakan ada sesuatu yang begitu mencuit hati. Entah apa yang lucu sangat entah? Nak kata dia buat lawak, tak pun. Nak kata DJ radio kelakar pun tidak.
“What’s so funny?”
“Takde apa. I cuma teringat pasal tadi. Kelakar.” jawab Adrian dengan tawa yang masih bersisa.
“Pasal Yasmeen?”
Tanpa memandang Arissa, Adrian mengangguk. Perhatiannya ditumpukan sepenuhnya pada jalan raya.
“Dia tu kalau you tak ada bukan main gedik lagi, tapi tadi bila you ada je terus jadi baik. Dah macam robot pun ada. Sepatah ditanya sepatah dijawab. Ha ha ha ha!” semakin galak Adrian ketawa. Geli hati mengenangkan kejadian tadi. Depan Arissa pijak semut pun tak mati minah tu tapi belakang Arissa terus jadi ulat bulu.
“Gelak la gelak!! Yasmeen tu pun sama, sejenis betina murahan. Gedik kacau hak orang!” Arissa sudah mencuka.
Alamak, garangnya orang sebelah aku ni! Getus Adrian dalam hati. Tawanya sudah mati. Tak berani nak ketawa lebih-lebih, takut kena karate dengan Arissa yang kelihatan begitu serius.
“I tak fahamlah kenapa dunia ni dipenuhi perempuan gila? Kurang kasih sayang agaknya! Baik kekasih orang, tunang orang, suami orang, semua dia nak sapu! Dah takde jantan lain ke nak kejar?”
“Dah, dah! Calm down, sayang. Bawak mengucap. Istighfar banyak-banyak. Takut nanti dapat dosa kering je.” Adrian cuba meredakan kemarahan isterinya. Dia tahu apa yang menyebabkan Arissa begitu marah. Semuanya sudah diceritakan kepadanya. Baru dia tahu yang Yasmeen dalam diam meminatinya.
“I sakit hati! Tau tak?”
“I tahu. Tapi bukan perempuan je macam tu, lelaki pun sama. Macam si Zarif tulah.”
“Zarif?”
“Ya. I pantang betul kalau nampak dia dekat dengan you. I tak suka cara dia pandang you, cara dia bercakap dengan you. I tak suka.”
“Tadi tu dia yang datang tiba-tiba. I buat hal sendiri je.”
“I tahu, sayang. Lepas ni jangan dekat dengan dia lagi. Tau?”
“Yelah, sayangku.”
Adrian senyum sampai ke telinga. Sungguh, dia rindu sangat nak dengar Arissa panggil dia sayang.
“Dah tak marah I ke?” Sesekali Adrian melirik ke arah isterinya.
“Tak sangat. Sikit-sikit je.”
“Alaa.. janganlah marah-marah lagi. You tak kesian dekat encik suami you ni ke?”
“Marah tandanya sayang, cemburu juga tandanya sayang. Kalau I tak sayang, tak adanya I nak cemburu, marah-marah bagai. You buatlah apa pun, I tak ambil peduli. Faham?”
“Faham, sayang.” balas Adrian. Stereng kereta dikawal dengan sebelah tangan, sebelah lagi meraih tangan Arissa lalu digenggam erat.
Arissa hanya tersenyum dengan tingkah suaminya itu. Dia mengemaskan genggamannya. Semakin meleret senyumnya bila Adrian mengucup tangannya lama. Arissa hanya membiarkan. Hilang terus stress bila dapat bermanja-manja dengan suami.
“Lepas ni you beritahu yang sebenar jelah dekat Yasmeen.” ujar Arissa tiba-tiba.
“Beritahu apa?” kening Adrian terjungkit.
“Yang kita ni dah kahwin.”
“You pasti ke ni, sayang? Kata taknak orang lain tahu.”
“Kalau dah macam ni keadaannya, lebih baik dia tahu. I taknak dia kacau you lagi.” Arissa nekad. Dia sudah tidak mahu berselindung. Ada baiknya Yasmeen tahu, mungkin lepas ini dia takkan berani kacau Adrian lagi.
“Kalau macam tu, Zarif pun kena tahu. I akan pastikan yang buaya darat tu takkan dekat dengan you lagi. Titik.”
Arissa angguk faham. Nafas dihela perlahan. Cuak dia memikirkan apa reaksi Yasmeen dan Zarif setelah mengetahui perkara sebenar. Harapnya mereka akan menjauhkan diri dan takkan ganggu kami lagi. Bisik Arissa dalam hati.

No comments:

Post a Comment