Friday 2 October 2015

Truly, Madly, Deeply 3,4

BAB 3


ADRIAN tak boleh tidur langsung malam tadi. Arissa mintak putus tiba-tiba. Fikirannya berkecamuk. Apa pula kesalahan dia kali ni sampaikan Arissa bertindak sedemikian rupa. Makin sakit kepalanya bila Arissa gagal dihubungi. Kalau macam ni sampai ke sudah masalah takkan selesai.


“Sofea!!” jerit Adrian tatkala terlihat kelibat Sofea, kawanbaik Arissa merangkap teman sekelasnya juga.


Sofea tak menoleh. Menonong saja jalan ke tempat parkir. Tak dengar mungkin. Adrian berlari anak menuruni anak tangga, mendapatkan Sofea yang semakin jauh darinya.


“Sofea, tunggu!!” sekuat hati Adrian menjerit.


Langkah Sofea terhenti bila terdengar namanya dipanggil. Dia menoleh ke belakang.


“Laa, Ian! Aku ingat siapalah jerit nama aku tadi. Ada apa ni?”


“Aku sebenarnya tunggu Arissa. Apasal kau sorang je? Mana Arissa?" soal Adrian sedikit mengah. Semput!


“Arissa kat rumahlah. Kenapa?”


“Dia tak datang kelas hari ni?”


“Kita orang punya kelas dibatalkan. Aku datang ni sebab ada hal yang nak diuruskan,”


Adrian sedikit hampa. Punyalah dia berharap dapat jumpa tuan puteri tu hari ni, alih-alih dia tak ada. Nasib badan.


“Alang-alang dah jumpa kau ni bolehlah aku tanya something.” kata Adrian.


“Apa benda? Macam hal serius je.”


“Memang serius. Aku dengan Arissa bergaduh teruk. Semalam tiba-tiba je dia mintak putus. Yang aku peliknya sebelum tu dia mesej aku ajak jumpa. Sebab tulah aku tanya ni, manalah tahu dia ada cakap apa-apa dekat kau.”


“Putus?!” membuntang mata Sofea. “Sumpah aku tak tahu apa-apa pasal ni. Tapi sebelum ni adalah dia cakap dia stress dengan kau. Itu ajelah. Aku pun tak beranilah nak banyak tanya, takut dia serabut.”


“Aku call dia beratus kali pun tak jawab. Sakit kepala aku fikir. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba mintak putus,”


“Dia tengah marah tu agaknya. Kau sabarlah. Bagi dia cool down dulu.”


“Kalau dia ada beritahu kau apa-apa, kau cakap kat aku tau? Kau je yang selalu dengan dia. Kau kena tolong aku, Sofea.”


“Insya-Allah. Aku cuba.”


“Ok, thanks.”






"IAN ada kat luar tu. Dia nak jumpa Echa." beritahu Puan Zulaikha lembut.


"Suruh dia balik. Orang taknak jumpa." Arissa beriak selamba.


Puan Zulaikha yang berdiri dekat pintu, mendekati anaknya yang membatu di meja komputer. Mata saja yang tertumpu pada komputer, tapi kepala asyik ingatkan hal lain. Puan Zulaikha mengeluh. Pening juga memikirkan hal Arissa dan Ian ni. Baru couple dah 24 jam bergaduh, kalau dah kahwin entah apa jadi agaknya.


"Tapi Ian cakap dia ada hal mustahak nak cakap dengan Echa. Pergilah jumpa kejap,"


Arissa mencebik. Dia sebenarnya dah tak ada hati nak jumpa Adrian. Tahu sangatlah Arissa tujuan Adrian ke sini. Nak memujuklah, apa lagi? Puan Zulaikha sudah turun ke bawah. Arissa pula masih tidak berkutik walau sedikit. Telefon bimbit di tepi laptop dicapai. Nama Adrian dicari.


"Hello, sayang.."


"You datang buat apa? I dah cakap I taknak tengok muka you lagi, kan? Susah sangat ke nak faham?!" kasar nada Arissa.


Adrian mengeluh perlahan. "Ada benda yang kita kena selesaikan. I takkan boleh duduk diam selagi I tak jumpa you. Keluarlah kejap."


"I taknak."


"Fine. Kalau you taknak tak apa, I tetap akan tunggu. Sampai you keluar."


"Suka hati youlah nak buat apa pun, Ian. Asalkan you bahagia." balas Arissa dan talian segera dimatikan. Biarkan dia. Aku tak suruh dia tunggu. Dia yang nak sangat. Aku peduli apa? Kalau aku kata taknak, taknaklah!


Sudah hampir dua jam. Adrian masih sabar menanti. Arissa buat tak endah. Siap boleh lepak dekat ruang tamu, tengok Running Man sambil makan kuaci. Nama saja tengok cerita kelakar, tapi muka ketat semacam. Encik Kamarul menggeleng perlahan, hairan dengan sikap anak daranya itu. Orang dekat luar tu agaknya punggung dah naik kematu tunggu dia, dia boleh pula buat tak tahu. Keras kepala sungguh.


"Kesian pulak abah tengok si Ian tu. Berjam-jam dalam kereta. Sungguh-sungguh nak jumpa buah hati." Encik Kamarul cuba memujuk.


"Lantak dialah, abah. Bukan orang suruh, dia yang rela hati nak tunggu. Padanlah muka." Arissa senyum sinis. Sikit pun tak menunjukkan riak bersalah di wajahnya. Memang Arissa tak kisah pun. Kalau tanya dia, dia dah tak ada hati nak berdepan dengan Adrian.


"Abah bukan apa, takut jadi apa-apa dekat anak orang. Dari pagi tadi sampai dah nak masuk tengahari dia kat situ. Entah-entah sebutir nasi pun tak masuk perut dia lagi. Dibuatnya Ian pengsan ke, Echa jugak yang susah."


Lama Arissa membisu. Dia tak terfikir langsung pasal tu.


"Abah sengaja nak buat orang rasa bersalah, kan?"


"Takdelah. Abah cakap je. Kalau Echa betul-betul dah tak peduli pasal dia, tak payahlah jumpa."


Akhirnya Arissa mengalah juga. Encik Kamarul tersenyum. Berjaya juga dia lembutkan hati Arissa. Lepas pakai tudung, terus Arissa keluar. Perlahan-lahan dia melangkah ke kereta Adrian. Dari jauh dia nampak Adrian macam tengah khusyuk dengan telefon.


Tuk! Tuk! Tingkap kereta diketuk.


Adrian tersentak. Bukan main lebar senyumnya tatkala melihat Arissa tercegat di situ. Segera cermin tingkap dibuka.


"Keluar pun. Susahnya nak jumpa tuan puteri yang seorang ni."


"Nak cakap apa? Cakap cepat. Orang banyak kerja nak buat." ujar Arissa dengan wajah serius. Mata bundarnya sedikit mengecil, menahan silau. Panas membahang cuaca hari ni. Duduk kat luar tu sekejap pun dah rasa nak pitam.


"Cakap kat dalam keretalah. Panas ni."


Arissa hanya menurut. Cepat-cepat masuk sebab dia sendiri pun sebenarnya dah tak tahan panas. Puteri lilinlah katakan.


"Apa benda yang mustahak sangat nak jumpa I ni?" satu soalan yang Arissa sudah boleh agak jawapannya.


Adrian tak terus jawab. Seketika, dia ralit merenung wajah itu. Serius. Garang. Namun masih kelihatan ayu di matanya. Arissa saja yang tak sudi nak tengok dia lagi. Dari tadi asyik pandang depan saja. Adrian tersenyum pahit. Sakitnya rasa bila orang yang kita sayang tak endahkan kita. Sungguh, dia amat merindui gadis itu. Datang ke sini pun sebab nak pujuk Arissa dan dia perlu tahu apa sebabnya Arissa tiba-tiba minta putus malam tu.


"First of all, I mintak maaf pasal Krisya. Sumpah I tak tahu pun dia ada dekat reunion tu. Dan I mengaku memang salah I sebab tak jujur dengan you. Terpulanglah you nak percaya atau tidak, tapi I memang tak ada apa-apa dengan dia. Kalau you fikir I sengaja nak curang dengan you, you silap."


Adrian jeda.


"Yang kedua, I nak tanya you kenapa malam tu you tiba-tiba mintak putus sedangkan sebelum tu you mesej I elok je. Itu yang I tak faham. Apa benda yang I dah buat sampai you sanggup putuskan hubungan kita? Besar sangat ke kesalahan I sampai you tergamak seksa I macam ni?"


"Memang pun! Kesalahan you tu memang tak boleh dimaafkan!"


"Then tell me. Jangan membisu macam ni. I merayu dekat you bagi I peluang untuk tebus semua kesalahan I pada you. I nak jernihkan keadaan dan I akan buat apa saja untuk you, asalkan you tak tinggalkan I. I taknak putus, Arissa. You tahu betapa I cintakan you."


"Krisya."


"Krisya? Kan I dah jelaskan semuanya pada you. I tak ada apa-apa dengan dia. Azmeer tak cakap dia nak datang malam tu,"


"Mulanya I memang nak percayakan you, tapi bila dah nampak dengan mata sendiri baru I sedar yang you tak macam apa yang I fikirkan. I ingat you lain dari yang lain, rupa-rupanya you sama saja dengan jantan-jantan dekat luar sana."


Berkerut dahi Adrian. Dia tak faham langsung apa yang Arissa maksudkan.


"Apa yang you nampak? I buat apa?!"


"I nampak you berdua dengan dia dekat kedai mamak. Malam yang I call you ajak you jumpa. Ingat lagi?"


Adrian terkedu. Pasal tu rupanya...


"Ini semua salah faham je, sayang. Percayakan I. I tak curang dengan you!"


Tak curang konon! Dasar penipu!! Ada je alasan dia untuk perdayakan aku! Bentak Arissa dalam hati.


"I call banyak kali you tak jawab. Kenapa? Taknak diganggu?" saat ini mata Arissa tajam menikam tepat ke mata Adrian. Memang Arissa tak boleh lupa kejadian malam itu. Ketika itu dia benar-benar perlukan Adrian. Perlukan teman untuk mendengar. Stress kena marah dengan lecturer dan dimalukan depan kawan-kawan itu satu hal. Ada boyfriend pun menyakitkan hati. Dia tertekan!


Adrian pantas menggeleng. "Sebenarnya I tertinggal fon dalam kereta. Trust me, sayang. I tak macam apa yang you fikirkan. Sikit pun tak terlintas di hati I untuk menduakan you. I tak plan pun nak jumpa dia malam tu. Dia yang tiba-tiba muncul. I sendiri pun terkejut."


"Tak payah jelaskan apa-apa lagi. Semuanya dah berakhir." tutur Arissa sayu. Bergetar suaranya menahan sebak di dada. Macam tak percaya semua ini terjadi. Apakan daya, manusia hanya mampu merancang, Allah jualah yang menentukan. Mungkin dah bukan jodoh kami. Redha sajalah.


"No!! I taknak putus. I takkan lepaskan you macam tu saja, Arissa. I perlukan you!"


"I dah penat nak hadap semua ni. I mintak maaf. Jangan cari I lagi." Arissa tak endahkan rayuan Adrian.


Arissa sudah ingin membuka pintu namun Adrian menghalang.


"Sayang, jangan buat I macam ni.." rayu Adrian tak putus asa. Dia benar-benar cintakan Arissa. Bukan ini yang dia mahu. Tak pernah terlintas di fikiran yang hubungan mereka akan berakhir begini.


"I taknak jumpa you dah. Taknak ada apa-apa kaitan dengan you lagi. Tolonglah. Jangan ganggu I lagi." Itu kata-kata terakhir yang dilontarkan Arissa sebelum dia melangkah masuk, membiarkan Adrian sendiri.


Adrian sudah kehilangan kata-kata. Dia hanya mampu melihat Arissa yang kian jauh dengan pandangan sayu. Antara percaya dan tidak, cerita cinta mereka tamat di sini.






"BEB, kau okey ke tak ni?" soal Sofea sambil merenung wajah sahabatnya. Tetap nampak sugul walau gadis itu berlagak ceria. Memang itulah Arissa. Jenis yang tak suka tunjukkan kesedihannya pada orang lain.


Arissa mencebik rimas. Masuk yang ini dah seratus kali Sofea tanya. Aku ni nampak teruk sangat ke lepas putus cinta? Soalnya dalam hati.


"Aku okey. Berapa kali nak cakap? Aku OK. Faham?"


"Takdelah. Aku bukan apa, risau tengok kau ni. Nampak je happy, tapi dalam hati kau Tuhan saja tahu,"


Arissa memaksa bibirnya tersenyum. Memang betul cakap Sofea. Di luar dia nampak gembira, tapi dalam hati tak siapa tahu.


"Alaa.. baru-baru lagi. Biasalah tu. Esok lusa dia okeylah." sampuk Deena. Laptop ditutup dan terus masukkan semua buku dalam beg. Perut dah lapar. Tak sabar nak makan. Dalam dewan kuliah tu cuma tinggal mereka bertiga saja. Orang lain dah lama angkat kaki.


"Haa.. betul cakap Deena tu. Jangan risaulah. Insya-Allah aku tak apa-apa. Baru putus cinta je, bukan kena cerai."


"Aku setuju. Kita orang perempuan ni tak boleh tunjuk lemah sangat dekat lelaki. Sedih macam mana pun kena tabahkan hati. Lagipun kumbang bukan seekor. Kalau Adrian tak hargai kau, melambak lagi lelaki lain kat luar sana yang lebih baik dari dia." tambah Deena panjang lebar. Deena pun nasibnya sama saja dengan Arissa. Dia lagi teruk sebenarnya. Tiga kali putus cinta. Lepas tu dia serik. Sampai sekarang single dan masih belum bersedia untuk bercinta lagi.


Arissa cuma mengangguk, mengiakan kata-kata Deena. Putus cinta tak bermaksud dunia ini sudah berakhir. Walau apa pun yang terjadi, hidup perlu diteruskan. Ini dugaan kecil saja. Orang lain kat luar sana tu ramai lagi yang diuji dengan bermacam ujian. Arissa redha dengan ketetapan Tuhan. Buat masa sekarang, dia mahu tumpukan perhatian pada pelajaran saja. Soal cinta itu nombor dua.


Sewaktu mereka hendak ke kafe, Adrian muncul entah dari mana. Arissa nampak tapi dia buat tak hirau. Laju dia berjalan, sikit pun tak pedulikan Adrian yang sedang mengekori dari belakang.


Sabarlah hati. Ini pun salah satu ujian juga. Susah bercinta dengan budak satu kampus. Bila dah putus, pergi mana-mana pun tetap jumpa.


"Arissa.." Adrian semakin menghampiri. Empat hari dia menyepi, berperang dengan perasaan. Dia ingat dia kuat, tapi sebenarnya tidak. Cuba nak jauhkan diri dari Arissa tetapi semakin kuat pula rasa sayang dan rindunya terhadap gadis itu.


"Beb, Ian panggil tu. Pergilah." suruh Sofea.


"Malas. Aku taknak jumpa dia dah." balas Arissa selamba.


"Alaa.. pergi ajelah jumpa kejap. Kalau tak dia ikut kita sampai ke kafe. Kau nak?" ujar Sofea lagi. Sebenarnya dia pun kesiankan Adrian. Sofea dapat rasa apa yang terjadi pada Arissa dan Adrian hanyalah kerana satu salah faham. Tak mungkin Adrian sanggup curang dengan Arissa.


Tak ada respons dari Arissa. Namun melihat air muka gadis itu, Sofea tahu Arissa taknak. Tapi apa boleh buat? Adrian tu yang langsung tak reti nak give up.


"Kita orang pergi dulu. Jumpa kat sana nanti. Bye, beb." Sofea menarik tangan Deena, meninggalkan Arissa berdua dengan Adrian di situ.


Arissa mengetap gigi. Geram dengan Sofea dan Deena. Tergamak korang tinggalkan aku kat sini. Dengan Ian pulak tu!! Kawanbaik apa macam ni? Hatinya menggerutu.


"Sayang, I need to talk to you."


Sayang? Panas telinga Arissa mendengarnya. Dalam keadaan macam ni pun Adrian masih nak bersayang-sayang lagi. Benci!


"You nak apa lagi ni? Kita dah bincang semuanya hari tu. Apa lagi yang you tak puas hati?"


"I takkan mengalah, Arissa. I nak buktikan pada you yang I betul-betul perlukan you. I nak kita happy macam dulu,"


"Entahlah, Ian. I dah serik." kata Arissa sambil memandang ke arah lain. Dia memang dah tak boleh nak tengok muka Adrian lagi.


Adrian menunduk hampa. Kenapa dia saja yang beria cuba pertahankan hubungan ini? Kenapa begitu mudah Arissa mengalah?


"You tak kesiankan I ke, Arissa? Langsung taknak bagi I peluang."


"Enough is enough, Ian. I taknak cakap apa-apa dah pasal ni. Dahlah, I dah lambat ni. Lepas ni ada kelas lagi. I pergi dulu."


Sudahnya Adrian terpaksa biarkan Arissa pergi. Gadis itu semakin jauh dari pandangan. Adrian mengeluh berat. Macam mana nak lembutkan hati dia yang keras tu? Lantas dia teringatkan Hanif. Yes!! Hanif! Dia saja yang boleh Adrian harapkan sekarang. Adrian tersenyum lebar. Semoga semuanya berjalan lancar nanti.





_____________________________________________





BAB 4

TAMAT kelas jam 11 pagi, Arissa terus ke perpustakaan untuk menyiapkan assignment. Seorang tanpa teman. Ketika ini ada seseorang yang sedang menghampirinya tapi Arissa langsung tak sedar. Khusyuk sangat buat kerja.


“Hai, sorang je?”


Dengar suara saja Arissa dah tahu siapa. Sikit pun dia tidak pandang pada insan yang sudah duduk di depannya.


“Taklah, berlima. Tak nampak ke?” selamba jawapan Arissa. Seselamba wajahnya. Tanya soalan bodoh, aku bagilah jawapan bodoh.


Adrian menahan tawa. Rasa menyesal pun ada sebab bagi soalan macam tu. Nak beramah mesra pun agak-agaklah. Sudahlah orang tu sekarang ni tak ubah macam singa. Pantang silap sikit terus kena. Tapi tak kisahlah kalau dia marah pun, asalkan dia masih sudi bercakap dengan aku itu sudah cukup.


“You dah makan?” tanya Adrian.


Arissa menggeleng. Matanya masih tertumpu pada skrin komputer riba.


“Jom pergi kafe. I lapar.”


“Lapar pergilah makan. Buat apa ajak I?” balas Arissa dingin.


“I nak makan dengan you.”


“You ajaklah Krisya. Habis cerita.”


Adrian tergamam. Kena lagi aku!


“Sayang, I..”


Arissa berdecit geram. “You boleh tak berhenti panggil I sayang? I bukan girlfriend you lagi, tau?”


“I cuma..”


“Tolonglah, Ian! Kenapa susah sangat you nak faham? I mintak you jangan kacau I lagi. Itu pun susah sangat ke you nak buat?”


“Memang susah pun. I’ve tried so hard but I just can’t. I’m sorry.” Sungguh-sungguh Adrian meluahkan. Kalaulah dia boleh padamkan terus nama Arissa di hatinya, tentu saja dia lakukannya. Namun hakikatnya tidak semudah itu.


Arissa sengaja buat tak dengar apa yang Adrian cakap. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Malas nak layan. Samsung milik Arissa dalam poket seluarnya bergetar. Panggilan dari Puan Zulaikha.


“Hello. Ya, mama. Ada apa?” soal Arissa sopan.


“Echa masih dekat kampus? Pukul berapa balik?”


“Yup, masih kat kampus. Nak siapkan kerja sikit lepas itu Echa balik. Kenapa, mama?” jawab Arissa. Adrian kat depan dia buat macam halimunan.


“Saja mama nak tahu Echa balik bila sebab Kita ada tetamu dari jauh kat rumah ni. Lutfi baru sampai tadi.”


Dengar nama Lutfi terus Arissa senyum. Happy bukan main. Tiba-tiba rasa tak sabar nak jumpa dia. Dah lama sangat dia tak tengok Lutfi. Kali terakhir jumpa masa mereka sekeluarga beraya di Perak, rumah nenek Arissa.


“Apa dia? Abang Lutfi datang rumah? Ok, ok. Kalau macam tu Echa balik sekarang. Mama suruh dia tunggu. Echa nak jumpa dia.”


“Iyelah. Drive safely.” pesan Puan Zulaikha.


“Ok, mama. Apa-apa nanti Echa call. Bye.”


Semua buku dan alat tulisnya dimasukkan ke dalam beg, termasuk laptop. Dia nak cepat balik. Tak sabar nak tengok macam mana Lutfi yang sekarang, setelah hampir tiga tahun tak bersua. Rindu jugalah dia dekat Lutfi.


“Nak pergi mana?” soal Adrian terpinga-pinga. Sebenarnya dia tak puas lagi nak berbual dengan Arissa. Dalam hati dia tertanya-tanya siapa Lutfi? Kenapa Arissa nampak seronok sangat bila dengar nama tu?


“Balik.”


“Buat apa nak balik awal sangat? Banyak masa lagi ni.”


“I ada hal.”


“Nak jumpa Abang Lutfi?”


Arissa diam tak jawab apa-apa. Dah tahu lagi mau tanya. Mengada-ngada! Hatinya mengomel.


“Bukan main excited you nak jumpa dia. Siapa Lutfi tu?” Adrian tak puas hati selagi tak dapat jawapan. Entah kenapa hatinya jadi tak tenteram. Cemburu? Ya, dia cemburu!


“Calon menantu mama untuk satu-satunya anak kesayangan dia nilah.” Jawab Arissa sambil tersenyum bermakna. Siap berkemas, dia terus pergi. Malas nak berlama di situ.


Jawapan Arissa menambahkan resah di hati Adrian. Siapa pula lelaki yang cuba nak rampas Arissa dari aku? Melihat senyum Arissa tadi, Adrian tahu pasti saja Lutfi itu seseorang yang begitu istimewa di hati Arissa.


Tiba-tiba dia teringatkan Hanif. Kawannya itu sudah dua hari balik kampung sebab ayahnya sedang uzur. Akan balik semula ke Shah Alam dalam masa tiga hari lagi. Kalau Hanif ada di sini, pasti saja dia dan Arissa sudah berbaik semula. Nampak gaya terpaksalah Adrian bersabar. Cuma satu yang dia nak tahu, nanti bila Arissa dah tahu perkara yang sebenar, adakah Arissa akan terima dia semula atau sebaliknya?






“IAN.” Panggil Arissa. Terkejut sungguh dia dengan kehadiran Adrian yang tak disangka-sangka.


“You.. you buat apa kat sini?” tanya Arissa tersekat-sekat.


Adrian yang bersandar di kereta, tersenyum bersahaja. Memang sengaja tak beritahu nak datang. Kalau dia cakap, awal-awal lagi Arissa larang. Matanya melirik ke arah Porsche Cayenne berwarna putih yang diparkir tidak jauh dari rumah Arissa. Kereta Lutfi agaknya. Tebak Adrian dalam hati.


“I nak ajak you keluar.”


“Tak boleh. I ada hal ni. I tak boleh keluar dengan you.”


“Hal apa? Keluar kejap pun tak boleh?” Adrian hampa. Punyalah berharap dapat keluar dengan dia, dia pulak ada hal. Sabarlah hati.


Saat itu jugalah muncul lelaki tinggi lampai dan berkulit kuning langsat menghampiri mereka berdua. Adrian memandangnya dari atas ke bawah. Boleh tahan segak dan bergaya. Pasti ini Lutfi. Mereka saling bertukar senyuman.


“Siapa ni, Echa?” tanya Lutfi seraya berjabat tangan dengan Adrian.


“Err.. kawan. Ian.. err.. kenalkan.. ini Lutfi. Abang Lutfi, ini Ian.”


Berubah riak wajah Adrian. Arissa dipandang lama. Kawan?


“Kenapa tak ajak dia masuk?”


“Dia datang kejap je. Dah nak balik dah. Lagipun kita kan nak keluar ni.”


Adrian yang hanya mendengar, tersenyum kelat. Faham sangat makna tersirat di sebalik kata-kata Arissa. Dia nak aku cepat-cepat pergilah tu. Tergamaknya Arissa buat aku macam ni.


“Oh, okey. Abang tunggu Echa dalam kereta.”


“Okey, abang. Kejap. Five minutes.”


Lutfi angguk dan terus masuk ke perut kereta. Adrian meraup wajahnya perlahan-lahan.


“Jadi you nak keluar dating dengan dia? I menganggu la ni?” soal Adrian sinis.


Arissa menundukkan wajah. Tak berani nak pandang Adrian.


“You serius dengan dia?” Adrian menyoal lagi. Rasa cemburu di hati sudah tidak terbendung lagi. Baru putus dia dah ada kekasih baru. Kenapalah Arissa tergamak menyeksa dia begini?


“Kalau ya kenapa? Sekurang-kurangnya dia tahu hargai I dan dia jauh lebih baik dari you.” Balas Arissa tanpa ada niat untuk berterus-terang.


Sebenarnya, Lutfi bukan kekasih dia, tapi dia adalah seseorang yang amat rapat dengan Arissa sejak mereka berjiran ketika Arissa sekeluarga menetap di Perak 10 tahun dulu. Lutfi sudah dia anggap seperti abang sendiri dan tidak lebih dari itu. Namun entah mengapa, Arissa memilih untuk berbohong. Sengaja mahu menyakiti hati Adrian, lebih-lebih lagi bila dia lihat Adrian seakan cemburu dengan Lutfi. Biar Adrian ingat Lutfi itu kekasihnya, kalau itu saja cara untuk menjauhkan Adrian darinya.


Adrian menunduk, diam seribu bahasa. Hatinya terasa pedih bagai ditusuk sembilu. Tajam sungguh kata-kata gadis di hadapannya itu.


“Belum apa-apa dah dapat pengganti. Sampai hati you.”


“You tu apa kurangnya? Kita masih couple pun you dah cari lain. Kejam.” Sembur Arissa dengan suara yang tertahan-tahan. Berombak-ombak dadanya menahan marah. Kalau tak ada sesiapa kat sini, dah lama dia tampar Adrian. Biar Adrian sedar yang semua ini berpunca dari kesilapannya sendiri. Angin yang bertiup lembut juga tidak mampu melenyapkan api kemarahannya ketika ini.


Laju Adrian menggeleng, menafikan tuduhan Arissa.


“Kalau betul I curang, kalau betul I tak kisahkan you, I takkan ada kat sini sekarang, Arissa. You menangislah air mata darah sekalipun, I takkan peduli. Buat apa I pujuk you kalau I cuma nak main-mainkan you?”


“Lelaki. Banyak taktik. Sebab itu perempuan bodoh macam I mudah tertipu.” Arissa tersenyum sinis.


Terdiam lagi Adrian. Apa saja yang Arissa cakap, dia diam saja. Lebih baik begitu. Kalau dia pun naik melenting sama, nanti lagi teruk bergaduh. Lama Adrian membisu. Dia tak mahu bergaduh dengan Arissa kerana itu bukanlah tujuannya ke sini. Niatnya baik, mahu berdamai. Tapi Arissa layan dia tak ubah macam musuh. Arissa memang dah bencikan dia.


“You baliklah, Ian. I malaslah nak bertekak dengan you. Serabut! Biarkan I hidup dengan aman dan damai. Tolonglah! Read my lips. I taknak jumpa you lagi. Titik.” Tegas Arissa.


Arissa terus berjalan ke kereta Lutfi tanpa menoleh lagi. Adrian panggil pun dia buat tak tahu. Dia memang dah bosan nak melayan kerenah Adrian. Harapnya Adrian takkan kacau dia lagi.






MATI terus mood Adrian setelah melihat gambar yang diterimanya melalui Whatsapp sebentar tadi. Arissa tengah makan dengan Lutfi dekat Jibby & Co. Tempat kegemaran Arissa. Classmatenya Farhan yang curi-curi ambil gambar tu dan tunjuk pada dia. Fikirannya benar-benar terganggu. Tak tahu nak kata apa. Sakit hati dan sakit mata. Giginya diketap kuat. Kalau ikutkan hati, memang dah lama dia belasah Lutfi tapi kalau dia buat jugak tentu Arissa akan lebih membencinya nanti.


“Eh, tu Arissa ke? Dia dengan siapa tu?” Hanif di sebelah, tengok sama. Baru dia tahu kenapa Adrian tiba-tiba badmood. Walhal tadi Adrian bukan main semangat lagi ajak Hanif lepak kedai mamak. Nak tengok bola katanya. Sudahnya masalah lain pula yang timbul.


“Boyfriend baru.”


“Aik? Cepatnya?” Hanif tercengang. Baru seminggu clash, dah dapat orang baru? Boleh tahan hebat si Arissa ni.


“Orang cantik, sekali petik sepuluh yang datang. Jadi perhatian lelaki. Baik pulak tu. Siapa yang taknak?” jawab Adrian separa bengang. Bola di skrin layar lebar tidak lagi menarik perhatian. Nasi goreng kampung yang dipesan pun tak habis. Dah tak lalu nak makan.


“Baru jadi boyfriend je, belum lagi jadi suami. Ada peluang lagi nak dapatkan Arissa balik. Jangan mengalah, bro.”


“Aku serik, bro. Aku serik.”


“Jangan sedihlah. Nanti biar aku cakap dengan Arissa sendiri. Biar dia tahu yang kau sebenarnya tak bersalah.” Hanif menepuk-nepuk bahu Adrian. Dalam masa seminggu saja dah macam-macam hal yang menimpa Adrian. Kesian dia. Hanif harap bila dia sudah bersemuka dengan Arissa nanti, masalah mereka selesai. Semoga Arissa dan Adrian bersatu kembali.


“Tak payahlah.”


“Laa.. hari tu kau yang nak sangat aku jadi saksi kau, alih-alih tak jadi pulak. Kenapa? Dah putus asa nak dapatkan dia balik?”


Adrian berpeluk tubuh dengan matanya tertumpu pada layar lebar di depan. Soalan Hanif tidak dijawab. Sebenarnya dia masih mengharapkan Arissa, tetapi setiap kali dia teringat kata-kata Arissa tempoh hari, Adrian kecewa. Kecewa bila Arissa sudah mula membanding-bandingkan dia dengan Lutfi. Lutfi jauh lebih baik darinya. Kalau dah Arissa sendiri yang kata begitu, apa lagi yang boleh Adrian harapkan? Hari tu pun Arissa kenalkan dia pada Lutfi sebagai kawan. Itu pun lagi satu hal. Sedih hati Adrian bukannya Arissa tahu.


“Dia dah bahagia dengan orang lain, manalah dia nak pandang aku lagi? Tunjuklah bukti apa pun, dia takkan balik pada aku semula.”


Hanif yang sedang menyedut teh tarik aisnya menggeleng perlahan. Dia tak setuju dengan Adrian. Kata sayang tapi belum apa-apa dah surrender.


“Belum cuba belum tahu. Bagilah aku cakap dengan dia dulu. Dia percaya atau tidak terpulang, setidak-tidaknya kita dah cuba. Effort tu yang penting.”


Adrian senyum hambar. Mujurlah ada Hanif. Dia memang sahabat yang baik. Selalunya pun kalau ada apa-apa masalah, Haniflah tempat dia mengadu, selain abang dan ibu saudaranya. Kalau orang tuanya masih hidup, mesti Adrian takkan rasa down macam ni.


“Terima kasihlah sebab kau nak tolong aku tapi aku rasa semua tu dah tak penting. Aku sedar diri, bro. Aku tak layak untuk dia.” Luah Adrian sayu.

2 comments:

  1. Best2.. harap2 sambungan lagi best.. kesian Adrian..

    ReplyDelete
  2. cepat2 update ye..x sabar nak tunggu next entry..

    ReplyDelete