Sunday 15 March 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 17

SEWAKTU aku tiba di hospital tadi, tok pa baru sedar dari pengsan. Masa tu Ashman yang temankan tok pa sementara papa dan mama keluar makan. Terkejut juga bila tengok dia ada di sini sedangkan dia sepatutnya berada di Perak. Baru tadi dapat tahu dari mama yang Ashman tak jadi ke sana atas sebab-sebab tertentu.

Sempat aku melirik ke arah Jepp di sofa tidak jauh dari katil tok pa, leka berbalas mesej dengan kawan sekelas kami. Cuma kami bertiga saja di sini. Ashman Aidil dah lesap entah ke mana. Bagus jugaklah mamat tu tak ada. Ada pun buat sakit hati saja. Sudahlah masa kami sampai tadi, semacam saja dia pandang aku dengan Jepp. Macam tak puas hati. Kenapa entah?

“Tok pa nak apa-apa? Lapar tak?” soalku sambil duduk di birai katil. Memandang lembut ke wajah tok pa yang pucat dan lesu. Untuk beberapa hari tok pa akan berehat di sini, di bilik rawatan yang bertaraf presidential suite room. Lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan. Ada dapur, TV, ruang makan dan ruang tamu. Tak rasa macam dekat hospital tapi macam duduk hotel lima bintang!

“Tok pa haus. Nak air kosong je.” lemah dan perlahan sekali suara tok pa, namun masih jelas kedengaran.

Aku tuang air kosong ke dalam gelas lalu ku hulurkannya ke arah tok pa. Tok pa minum beberapa teguk sebelum gelas diberikan pada aku semula. Aku letakkannya di atas meja sisi katil.

“Ad risau betul lepas dapat mesej dari mama tadi. Kenapa tak cakap tok pa tak sihat?”

“Alah.. tok pa sakit kepala sikit je, tok pa taknaklah buat orang susah hati.”

“Kalau dah tahu tak sihat tak payahlah kerja. Kan semua urusan dekat ofis tu Abang Ashman boleh tolong selesaikan.”

“Tahu. Tapi Ad faham-fahamlah tok pa ni macam mana. Tak boleh duduk goyang kaki macam orang lain. Nanti tok pa bosan.”

Aku sengih saja. Seribu satu alasan diberi. Aku diam malas nak memanjangkan cerita. Lagipun dah faham sangat dengan perangai tok pa ni. Orangnya memang jenis yang tak boleh duduk diam. Sejak dari muda sampailah ke tua, tok pa ini sangat aktif dan cergas orangnya. Jarang jatuh sakit. Sebab itu bila jadi macam ni aku risau. Takut tok pa menghidap penyakit serius. Tetapi menurut doktor yang merawat tok pa, tok pa pengsan kerana terlalu letih dan kurang rehat. Itu saja. Lega aku mendengarnya. Jepp bangun dan menghampiri kami kemudiannya. Fon disimpan ke dalam poket baju.

“Tok pa, saya mintak diri dulu. Ada hal yang perlu diuruskan dekat kampus.” pamit Jepp penuh sopan. Sudah hampir sejam dia di sini.

Tok pa mengangguk lemah. “Terima kasihlah banyak-banyak sebab tolong hantarkan Ad.”

“Sama-sama, tok pa. Small matter. Semoga tok pa cepat sembuh.” ujar Jepp, lantas tangan tok pa diraih dan dikucup hormat.

Tok pa angguk, tersenyum memandangnya. Aku bangkit dari katil dan menghantar Jepp sampai ke pintu.

“Jepp, thank you sebab hantarkan saya. Allah je yang boleh balas jasa awak.” kata aku sedikit terharu. Lelaki ini sanggup bersusah-payah untuk aku. Entah macam mana aku nak balas budi baiknya itu.

Jepp senyum lebar. “Benda kecik je ni. Saya tolong ikhlas. Kalau tak ada apa-apa saya gerak dululah. If you need anything just call me, okay?”

“Insya-Allah. Again, thank you. Drive safely.”

Jepp angguk dan terus berlalu. Aku kembali mendapatkan tok pa di bilik. Risau nak tinggalkan dia walau sekejap. Takut terjadi apa-apa yang tidak diingini.

“Jepp dah pergi ke?” tanya tok pa.

Aku mengangguk perlahan.

“Err.. Tok pa tak kisahkan Ad bawak dia datang sini?” soalku teragak-agak. Sebenarnya tadi aku serba-salah nak ajak Jepp masuk jumpa tok pa bila teringat peristiwa lalu. Tok pa kan tak berapa senang dengan Jepp. Tetapi setelah melihat sendiri layanan baik yang tok pa berikan pada Jepp, aku berasa lega.

“Mestilah. Kenapa pulak Ad tanya macam tu?”

“Takdelah.. dulu kan tok pa tak suka Ad berkawan dengan dia.” kataku hanya ingin kepastian.

“Tak adalah. Jangan cakap macam tu. Lagipun tok pa rasa tok pa dah tersalah anggap dengan dia. Bila tengok air muka dia tadi, tok pa tahu dia ikhlas berkawan dengan Ad.” ujar tok pa.

Aku sengih. Senang hati dengan pengakuan tok pa.

“Dia memang baik. Ad selesa berkawan dengan dia.”

Tok pa menghela nafas perlahan. “Kalau lebih dari kawan pun tak salah, Ad. Kalau dia ikhlas sayangkan Ad, terima seadanya. Tok pa cuma nak tengok Ad bahagia. Bahagia Ad, bahagialah tok pa.”

Entah mengapa hatiku jadi sayu, terusik dengan kata-kata tok pa. Tabahlah, Ad. Jangan menangis.

“Ad faham, tok pa.” aku memaksa bibir tersenyum, biarpun dalam hati hanya Allah yang tahu. Andai saja tok pa mengerti apa yang aku rasa. Hati ini masih ada dia.

Aku mengerling jam tangan sekilas. Baru ingat tak solat Zohor pun lagi.

“Tok pa rehatlah dulu. Ad nak solat kejap. Nanti Ad datang balik.” ujarku lembut seraya membetulkan selimutnya.

Tok pa mengangguk perlahan. Matanya dipejam rapat. Perlahan aku menapak ke bilik air untuk berwudhuk.



BINGIT bunyi alarm handphone membangkitkan aku dari tidur yang lena. Dengan mata yang masih terpejam, aku menggagau fon yang aku letak atas meja kopi dan terus mematikannya. Terbeliak biji mata tatkala melihat angka yang terpampang pada skrin telefon. 9.30 AM!! MasyaAllah! Aku dah tersalah set masa! Sepatutnya 6.30, bukan 9.30! Tak pasal-pasal terlepas Subuh!! Sengalnya kau, Adryana!! Selesa sangat tidur dekat ruang tamu ni. Agaknya kalau ada gempa bumi pun aku tak terjaga.

Aku mengalih baju sejuk yang menutupi tubuhku. Lambat-lambat aku bangkit dari pembaringan dan mataku tertumpu pada baju sejuk yang masih di tangan. Dahiku berkerut. Sweater kelabu berjenama Armani Exchange itu ku tilik lama. Macam kenal je baju ni? Mulutku melopong luas. Oh no!! Ini Ashman punya!!! Macam mana sweater dia boleh ada kat sini?! Dia ada datang ke malam tadi? Aku bingkas bangun dan terus mendapatkan tok pa di biliknya.

“Tok pa, malam tadi Abang Ashman datang ke?” soalku.

“A’ah. Tapi kejap je. Masa tu Ad dah tidur.”

Aku tersengih kelat. Dah agak dah. Malam tadi lepas Isyak aku terus tidur. Dia selimutkan aku pun aku tak sedar. Teruknya, Adryana! Tidur tak ingat dunia! Aku kembali ke ruang tamu dan menghenyakkan tubuh di sofa berbentuk L. Bau haruman Calvin Klein yang melekat pada baju sejuk kegemarannya itu membuatkan aku sedikit terleka. Aku memeluknya kemas, lantas aku mencium bau wangi itu beberapa kali. Ini saja caranya untuk aku melepaskan kerinduan terhadap Ashman Aidil.

Tett!! Tett!!

Bunyi mesej dari telefon bimbitku menyedarkan aku dari khayalan panjang. Aku mencebik. Baru nak berangan sikit dah ada yang mengacau. Aku pandang sweater yang masih di dalam pelukan dengan bibir yang sudah mengoles senyum lebar. Kan best kalau Ashman yang ada dengan aku sekarang. Heh! Best? Bila dia ada kau tak endahkan, bila tak ada tercari-cari. Itulah manusia. Suara hatiku menggerutu. Cepat-cepat aku lipat sweater Ashman dan letaknya di atas kerusi. Nasib baik tak ada sesiapa di sini. Kalau tak kantoilah aku cium sweater Ashman tadi. Malu! Aku capai tuala dan terus ke bilik mandi.

Masa aku bersiap nak turun beli sarapan di kafe, Ashman datang. Aku dengar dia bersembang dengan tok pa. Katanya hari ni dia cuti semata-mata nak temankan tok pa. Ketika aku hendak ke bilik tok pa, aku lihat ada McDonald's atas meja makan. Ashman punya agaknya. Getusku dalam hati.

Perbualan mereka terhenti sejenak bila aku mengetuk pintu yang sedia terbuka. Serentak mereka berpaling ke arahku yang tercegat di muka pintu.

“Tok pa, Ad nak turun beli breakfast kejap. Tok pa nak apa-apa?” soalku yang hanya memandang ke wajah tok pa. Dari ekor mata aku nampak Ashman sedang merenungku, namun aku buat-buat tak tahu saja. Tadi bukan main aku peluk cium baju dia, tapi bila dia ada sebelah mata pun tak pandang. Ego.

“Tak payah beli apa-apa. Abang Ashman kata dia dah beli McDonald’s untuk Ad.”

Ooo.. dia beli untuk aku rupanya. Sungguh aku bingung dengan sikapnya yang aneh itu. Kejap baik kejap tidak. Malam tadi selimutkan aku, pagi ini belikan aku sarapan. Kenapa tiba-tiba saja dia berubah? Jangan mudah terpedaya, Ad. Entah-entah ada udang di sebalik batu.

“Yup. Itu untuk Ad. Makanlah.” beritahu Ashman.

Tanpa membalas kata-katanya, aku pantas meluru ke meja makan. Ada Egg Mcmuffin dengan coffee tapi aku langsung tak jamah sebaliknya aku ambil sebungkus roti coklat yang mama beli untuk aku semalam. Sengaja mahu menyakiti hati Ashman begitu. Biar dia tahu aku sudah tidak sudi menerima apa-apa darinya lagi.

Selang beberapa saat, tok pa keluar dari bilik, berjalan ke ruang tamu perlahan-lahan diikuti Ashman dari belakang. Bosanlah tu asyik baring memanjang. Kalau ikutkan tok pa, semalam juga dia nak balik tapi kami yang tak izinkan. Kami mahu tok pa rehat secukupnya.

“Ad tak ada kelas ke hari ni?” tok pa menyoal setelah dia duduk di sofa.

Aku yang baru hendak meneguk jus mangga dalam gelas mengangguk.

“Ada. Pukul 2 nanti. Kenapa, tok pa?”

“Kalau macam tu Ad baliklah. Nanti kalut pulak.”

“Takpe, tok pa. Ad dah mintak tolong kawan beritahu pensyarah yang Ad ada kecemasan. Ad nak jaga tok pa.” tutur aku. Dah minta tolong Naura maklumkan pada pensyarah kami yang aku ada kecemasan.

“Laa.. janganlah disebabkan tok pa Ad sanggup ponteng kelas. Nanti Ad ketinggalan kan susah?”

“Tok pa janganlah risau pasal tu. Nanti Ad study balik dengan kawan-kawan. Sekarang ni Ad nak jaga tok pa, nak temankan tok pa.” aku mematikan ayat. Selagi tok pa tak keluar wad, selagi itulah aku tak senang duduk. Kalau pergi kelas pun tak boleh fokus tak guna juga.

Tok pa senyum. “Pasal itu pun Ad tak perlu risau. Kat sini ramai nurse yang boleh pantau. Ad baliklah. Rugilah kalau ponteng.”

“Kalau macam tu Ad mintak tolong kawan datang ambil Ad nanti.” aku beralah. Nampak gaya terpaksalah minta tolong Naura atau Jepp datang ambil aku.

“Biar abang hantar Ad.” ujar Ashman tiba-tiba.

Aku terkesima. Haa? Dia nak hantar aku? Aku mimpi ke ni? Apa kes dia rajin sangat hari ni? Semua benda pun dia nak buat. Memang sahlah Ashman kena sampuk hantu.

“Thanks but no thanks. Ad boleh balik dengan kawan. Tak pun naik teksi je.” Selamba aku menolak. Jangan haraplah aku akan setuju.

Ashman mengeluh. “Dah alang-alang abang ada kat sini biarlah abang hantar.”

Haihh!! Apa la yang susah faham sangat dia ni? Kalau dah aku taknak tu, taknaklah! Ini main paksa-paksa pulak. Menyampah!

“Takpe, tak payah susah-susah. Ad boleh balik sendiri.” aku berkeras dengan wajah serius. Apa yang buat dia fikir aku akan terima pelawaan dia tu? Silap oranglah, Ashman.

Sekali lagi Ashman mengeluh. Tok pa tersenyum memandang kami bersilih ganti. Agaknya dia pun dah naik pening tengok kami bergaduh. Macam budak-budak.

“Jangan paksa dia kalau dia taknak, Ashman.” celah tok pa.

Aku sengih panjang. Thank you, tok pa!! Tok palah atuk yang paling best dalam dunia ini. Aku menghela nafas lega. Tok pa penyelamat keadaan.

“Fine.” Ashman mengalah akhirnya.

Aku memalingkan wajah ke lain, tersenyum puas. Padan muka dia! Dia ingat aku akan beri muka? Memang taklah jawabnya!







TEPAT jam 11 aku terus turun ke bawah dan tunggu teksi di depan main entrance. Tapi satu pun tak ada. Susah betul nak dapat teksi kat sini. Apalah nasib aku. Semuanya tak berjalan seperti yang dirancang. Ingat nak suruh Naura ambil, tapi dia pulak tak berapa sihat. Jepp pulak gagal dihubungi. Hendak tak hendak terpaksalah call teksi. Aku cari nombor telefon teksi dalam handphone. Tiba-tiba aku rasa macam ada orang datang berdiri di sebelahku. Aku toleh ke kanan. Lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan itu hanya tersenyum memandangku. Dan senyumannya itu membuatkan aku berasa sedikit gementar.

“Jom, balik dengan abang.” ajak Ashman. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket seluar.

Aku menggeleng laju sambil pandang terus ke handphone. Buat-buat sibuk cari nombor teksi. Kenapalah Ashman ni suka mendesak? Yang paling aku sakit hati dia tergamak biarkan tok pa seorang diri sedangkan tadi dia juga yang cakap nak temankan tok pa.

“Degilnya! Orang nak mudahkan dia, dia jual mahal pulak.” gerutu Ashman.

Aku mengetap gigi geram. Dah tak boleh bersabar lagi dengan kerenah Ashman yang macam-macam.

“Tadi elok je setuju sekarang nak paksa Ad lagi kenapa?” wajahku mencuka.

“Siapa kata abang setuju? Tadi tu abang malas nak bergaduh depan tok pa. Sudahlah dia tak berapa sihat. Dahlah. Balik dengan abang je. Jom.”

Aku geleng lagi. “Nanti buah hati abang marah pulak. Taknaklah. Ad naik teksi je.”

“Mana ada teksi kat sini? Nak tunggu sampai bila? Nanti lambat ke kelas kena marah dengan lecturer pulak,” balas Ashman tak mahu kalah.

Aku menyilangkan tangan ke badan dengan muka yang serius. Buat-buat tak dengar apa yang dia cakap.

“Dah. Abang taknak dengar apa-apa alasan dah. Biar abang hantar Ad. Fullstop.” tegas Ashman.

Tak sempat aku nak berkata apa-apa, dia segera meraih lenganku, memaksa aku ikut dia ke kereta. Tangannya ku tepis kasar. Biarpun sedikit keberatan, namun kaki ini tetap jua melangkah, menurutinya dari belakang.

Dalam kereta, aku hanya membisu seribu bahasa. Tak tahu apa yang perlu dibualkan. Janggal. Itu yang aku rasa. Maklumlah, dah lama tak berdua dengan dia macam ini. Serta-merta semua memori indah itu menerjah ke ruang ingatan. If only I could turn back the time.

“Tadi abang tengok McDonald’s tu tak terusik pun. Kenapa tak makan?” Ashman memecah keheningan.

“Sebab taknaklah.” jawab aku dingin seraya melemparkan pandangan ke luar kereta. Tak ada hati dah nak pandang orang sebelah ni. Benci!

“Tak baik tolak rezeki. Abang beli tu pun sebab tahu itu favourite Ad.”

“Ad tak suruh pun. Kalau taknak membazir, abang je makan. Habis cerita.”

Senyap sekejap. Malaikat lalu kut? Volkswagen yang dipandu laju dibrek perlahan-lahan bila lampu isyarat bertukar merah. Alahai.. lambatnya nak sampai!

“Hari tu mama cakap Ad tak sihat. Betul ke?” Ashman buka topik lain pula.

“Ermmm..” acuh tak acuh aku menyahut.

“Kenapa tak beritahu abang?”

“Buat apa cakap dekat abang? Bukan boleh baik pun kalau abang tahu.” jawab aku sinis. Ini namanya cari pasal.

Ashman melepaskan keluhan kecil. Ditenungnya wajah aku beberapa saat. Aku pantas memalingkan wajah ke lain. Kereta kembali bergerak laju di atas jalan raya. Signal diberi dan Ashman terus membelok ke kanan. Alhamdulillah. Dah nak sampai.

“Bukan macam tu. Maksud abang, kalau abang tahu bolehlah abang pergi jenguk Ad.” ujar Ashman dengan nada lembut. Sabar betul dia. Seteruk mana pun aku layan dia, dia masih boleh cakap baik-baik dengan aku. Pelik. Mama kata Ashman dah berubah tapi apa yang aku lihat dia masih seperti dulu. Tak ada perbezaan pun.

Penjelasan yang cukup membingungkan aku. Kata-katanya itu menunjukkan bahawa dia sebenarnya masih lagi mengambil berat tentang diriku. Aku fikir bila kami sudah putus, dia tak pedulikan aku lagi. Mungkinkah Ashman masih sayangkan aku seperti dulu? Heh! Jangan perasanlah, Ad. Ashman tu cuma ambil berat sebagai seorang abang kepada adiknya saja, tak mungkin lebih dari itu.

“Kenapa abang buat Ad macam ni?”

“Ad cakap apa ni? Abang tak faham.”

“Tak faham atau buat-buat tak faham?! Abang sengaja nak memperbodohkan Ad? Let me guess, Hanis yang suruh?!” aku semakin beremosi. Geram melihat riak bersahaja di wajah itu. Seolah-olah tiada apa langsung yang dikesalkan.

“Ad, abang betul-betul tak faham. Kenapa cakap macam tu?”

“Kan abang sendiri yang buang Ad. Abang kata abang dah bosan dengan Ad tapi hari ini abang tiba-tiba berubah sikap. Sanggup buat apa saja untuk Ad. Atau ini satu lagi muslihat abang? Abang sengaja nak mempermainkan Ad!” bentakku kasar. Terasa seperti dipermainkan.

Riak wajah Ashman berubah, seakan terpukul dek kata-kataku itu. Aku pantas membuka tali pinggang keledar. Tak sedar yang kami sudah pun berada di depan rumah. Aku cuma nak cepat masuk dan tak mahu tengok dia lagi. Aku sudah ingin membuka pintu kereta tapi Ashman terlebih dahulu menekan butang kunci, tak bagi aku keluar. Aku memandangnya tajam.

“Bukaklah!!!” ujar aku separuh menjerit. Kesabaranku menipis.

Ashman menggeleng tak mahu. Tetap tak mahu beralah. Ashman tampak tenang walaupun aku dah macam dirasuk iblis. Asyik nak melenting saja. Tapi dia tetap selamba, macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“Don’t get me wrong, Ad. Abang betul-betul ambil berat tentang Ad. Tak ada niat pun nak mempermainkan Ad..” tutur Ashman seakan tak puas hati.

Aku tersenyum sinis. “Tak ada niat konon! Sedar atau tidak, abang dah pun lakukannya.”

Ashman menunduk. Matanya dipejamkan seketika. Dia menarik nafas panjang, lalu dihembus perlahan-lahan.

“Ad, sebenarnya abang..”

Belum sempat Ashman menghabiskan ayatnya, kami dikejutkan dengan bunyi hon kereta yang baru saja berhenti di depan rumah Kak Miza, jiranku. Kawan Kak Miza agaknya. Aku melihat jam di dashboard. Dah pukul 1.

“Dahlah. Tak elok kita berdua-duaan macam ni. Kalau Hanis tahu nanti dia salah faham pulak.” kata aku dengan nada yang sedikit mengendur. Mataku tertumpu pada wajah muram Ashman. Tiba-tiba saja rasa tak sedap hati. Macam mana kalau ada yang kenal Hanis kat sini? Tak pasal-pasal nanti ada pula yang mengadu dekat Hanis yang boyfriend dia berdua-duaan dengan perempuan lain. Kan kes naya tu?

Ashman diam tak berkutik. Berat hati ingin menurut namun terpaksa akur jua akhirnya. Butang unlock ditekan. Aku segera menggalas beg tangan yang aku letak atas peha.

“Terima kasih sebab hantarkan Ad. Maaf jugak sebab dah menyusahkan abang. Ad masuk dulu.” kataku tanpa riak.

Kelu lidah Ashman, sudah tidak mampu hendak menghalang. Tanpa menanti sesaat pun, aku turun dari kereta dan meluru masuk ke dalam rumah. Enjin kereta Ashman juga tidak lagi kedengaran menandakan dia juga sudah pergi. Aku tersandar lemah pada pintu. Satu keluhan berat aku lepaskan. Rasa bersalah pula sebab tinggikan suara pada dia tadi. Itu semua takkan jadi kalau aku pandai kawal emosi. Salah sendirilah sebab terlalu ikutkan perasaan. Tiba-tiba aku teringat pada perbualan kami tadi. Apa yang Ashman nak beritahu aku sebenarnya?



****

Terima kasih utk semua feedback anda. KYKT tinggal lagi beberapa bab saja. Jgn lupa tinggalkan sedikit komen ya? Syg semua! Thank u! ;)

6 comments:

  1. Dah nak habis? Means habis dalam blog je ehh? Yeay. Tak sabarnya. Apalah sebab Ash tetiba berubah ehh.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe a'ah habis kt blog sebab ni mini novel je. tq for reading. hrp korang semua suka. ;)

      Delete
    2. Ohh. Haha my pleasure :) Rasanya semua suka insha Allah. So lepas habis e-novel ni sambung e-novel TMD pula ye? Omg. Can't wait :D

      Delete
  2. Yayyyyyyyy. Bestnya!!!!

    ReplyDelete
  3. Aish..confuse..nape dgn ashman nie.. Mcm ada something je..

    ReplyDelete
  4. best..ad jgn mengalah..

    ReplyDelete