Wednesday 14 May 2014

Truly, Madly, Deeply 2

PUAN Zulaikha berdiri lama di sliding door, memerhati Arissa yang baru turun dari kereta Kelisa warna hitam kuning. Dahinya berkerut seribu. Siapa pulak yang hantar Arissa balik? Biasanya anak daranya itu akan balik dengan Adrian. Hairan. Mana Adrian?

Puan Zulaikha segera mendapatkan Arissa yang baru masuk ke rumah. Lembut matanya merenung wajah anak tunggalnya itu.

“Arissa balik dengan siapa? Mana Ian?”

Arissa tak terus jawab. Tangan ibunya dicapai dan dikucup hormat.

“Orang balik dengan kawan, malas nak tunggu Ian. Lambat sangat.” jawab Arissa dengan intonasi lemah. Pedih hatinya tatkala nama Adrian meniti di bibir ibunya. Tadi Adrian SMS beritahu dia nak ambil Arissa di kampus, tapi Arissa dah tak ada hati nak jumpa Adrian lagi. Sebab itulah dia tumpang kawan dan tak cakap apa-apa pada Adrian, biar Adrian sakit hati.

Puan Zulaikha bertambah hairan melihat riak wajah Arissa yang sedikit sugul dan muram.

“Lain macam je ni? Bergaduh ke?” tebak Puan Zulaikha lalu melabuhkan punggung di sofa.

Satu soalan yang tak mahu dijawab. Arissa menunduk. Kalau boleh, dia tak mahu cakap pasal ini lagi. Dan dia tak mahu masalah ini sampai ke pengetahuan mama dan abahnya pula.

“Orang naik dulu, mama. Orang penat. Nak mandi,” dalih Arissa seraya melangkah ke tangga. Baik aku lari cepat, sebelum mama tanya macam-macam lagi. Malas nak bersoal jawab itu dan ini.

Senyum hambar terukir di bibir Puan Zulaikha. Kalau Arissa tak jawab pun, dia sudah tahu. Dia lebih dulu makan garam dari Arissa. Nalurinya kuat mengatakan ada sesuatu yang terjadi dan pastinya melibatkan Adrian juga.

“Nanti lepas Maghrib turun makan. Mama dah nak siap masak dah ni.” pesan Puan Zulaikha sebelum anaknya hilang dari pandangan.

Arissa angguk, terus naik ke tingkat atas. Masuk bilik, beg sandang dan buku rujukannya diletak atas meja tulis. Crumple shawl yang dipakai disangkut pada penyangkut baju. Penghawa dingin dibuka dan dia terus menghempaskan tubuhnya ke katil. Siling bilik direnung lama. Segala yang berlaku bagaikan igauan ngeri buat Arissa. Betul ke Adrian dah ada yang lain? Dia dah tak sayang aku?

Sikit pun Arissa tak terkejut kalau Adrian kata dia masih sayangkan Krisya. Maklumlah, Krisya cinta pertama Adrian. Kata orang, sukar untuk melupakan cinta pertama. Arissa tahu semua pasal Krisya, itu pun Adrian yang cerita. 6 tahun mereka bercinta, sejak dari tingkatan 3. Tetapi takdir mengatasi segalanya bila Krisya mula buat perangai. Masuk universiti, Krisya berubah hati dan putuskan hubungannya dengan Adrian. Tapi sekarang Krisya muncul lagi dan itulah yang merunsingkan Arissa. Adakah dia bakal kehilangan Adrian?

Telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nama pemanggil yang tertera di skrin handphone, Arissa berbelah-bagi. Adrian call! Nak jawab ke tak? Nak jawab ke tak? Arissa teragak-agak. Deringannya terhenti. Beberapa saat kemudian, Adrian telefon lagi. Dia mengeluh berat. Sampai bila aku nak macam ni? Masalah takkan selesai kalau aku asyik mengelak. Suka atau tidak, aku kena hadap semua ni. Handphonenya dilekapkan ke telinga.

“Hello,” perlahan suara Arissa, antara dengar dan tidak. Arissa bangun dari pembaringannya.

“Sayang, you dah sampai rumah? Kenapa tak tunggu I? Kan I dah cakap I nak ambil you tadi? Tak baca mesej ke?” bertubi-tubi Adrian menyoal.

“I penat. Malas nak tunggu you. Sebab tulah I balik dulu,”

“Habis tu you langsung tak cakap sepatah dekat I, kan?! Suka hati you je buat macam ni! I macam orang bodoh tunggu you dekat sana tadi!!” Adrian bengang. Suaranya juga meninggi.

Arissa tergamam. Sampai macam tu sekali dia marahkan aku? Dulu, marah macam mana pun dia tak pernah tinggikan suara. Sekarang, dia dah pandai tengking aku? Betul ke ini Adrian yang aku kenal dulu?

“Sorrylah kalau I dah menyusahkan you, Ian. Lepas ni you tak payah susahkan diri you datang ambil I lagi,” cukup lirih nada Arissa, bergetar menahan sebak. Sedih yang dirasakan sudah tidak terbendung lagi.

“Sayang.. I.. I tak bermaksud macam tu pun..” ujar Adrian tersekat-sekat, nadanya kembali mendatar. Pasti sudah diterjah rasa bersalah kerana memarahi Arissa sebegitu.

Air mata semakin deras mengalir ke pipi. Semua yang dipendam dilepaskan semahu-mahunya. Esak tangisnya kian kedengaran. Adrian juga sudah terkedu. Arissa dah tak peduli kalau Adrian dengar semua tu. Biar Adrian tahu betapa kecewanya dia.

“Kenapa you nangis? I mintak maaf, I tak sengaja marah you..” pujuk Adrian lembut. Sesalnya menggunung.

Arissa tak memberi respons. Tersedu-sedu dia menangis. Lepas dia dah sakitkan hati aku, tahu pula dia minta maaf. Adrian kejam!! Aku benci dia!!

“Sayang, janganlah macam ni. Tolonglah.. Kenapa ni? I peliklah dengan you. Hari ni satu hari you buat tak endah je dengan I. Tengahari tadi pun you macam tak suka jumpa I. Cuba cakap dengan I, apa yang I dah buat sampai you layan I macam ni?”

“Jawapannya ada pada you sendiri, Ian.”

“You cakap apa ni? I tak faham. I ada buat salah ke?” soal Adrian kebingungan.

“You tak faham atau sengaja buat tak faham? I nak tanya you, I ni sebenarnya siapa dalam hidup you? I tak penting pun bagi you, kan?! Am I right?!” nafas Arissa mula tidak menentu, kesabaran kian menghilang.

“Kenapa cakap macam tu? Dah tentu you penting untuk I. You soulmate I. I sayang you sangat-sangat! You tahu tu kan?”

Soulmate konon!! Kalau betullah aku ni soulmate dia, dia takkan buat aku menangis! Bentak Arissa dalam hati.

“Soulmate. Betul ke I ni soulmate you? Kalau I ni penting untuk you, you takkan sanggup ketepikan I, Ian. Lebih-lebih lagi semalam. Semalam anniversary kita dan I dah plan lama nak sambut tarikh penting tu dengan you. Tapi you sanggup batalkan semuanya demi kawan-kawan you, demi Krisya!!” ujar Arissa dengan suara yang tertahan. Bimbang mama dia dengar nanti.

Terdiam Adrian. Terkejut dia bila Arissa ungkit tentang Krisya. Adrian mengeluh perlahan. Mendengar tangisan Arissa menyebabkan dia kian resah. Arissa menyeka air matanya kasar. Sungguh, dia benci dengan diri sendiri yang terlalu lemah kerana lelaki.. Kerana cinta.

“I dah tahu semuanya, Ian. Walaupun you tak cakap tapi I tahu. Mungkin ini petunjuk dari Allah untuk I. I nampak semuanya dekat Facebook tadi. Gambar you dengan dia, bukan main mesra lagi. Itu semua dah cukup menyeksakan I..”

“Sayang, it’s not like what it seems. Untuk pengetahuan you I pergi reunion tu bukan sebab Krisya! Sebenarnya I tak tahu pun Krisya join sekali, Azmeer tak cakap pun Krisya ada. Tolonglah percayakan I..”

Adrian berjeda.

“I mintak maaf. Memang salah I sebab tak cakap dengan you tapi bukan niat I lukakan hati you. I cuma taknak gaduh dengan you, I taknak you salah faham.”

Arissa membisu seribu bahasa, seolah sudah hilang kepercayaan terhadap lelaki yang dicintai. Tidak yakin dengan setiap penjelasan yang diberikan. Adrian bercakap benar atau itu hanyalah dusta belaka?

“Sayang… Say something, please. Jangan diam macam ni,” rayu Adrian. Kebisuan Arissa membuatkan dia semakin tertekan.

“I penat. Tak mahu diganggu. Tolong jangan call I lagi.” pinta Arissa dan terus mematikan talian. Sekarang dia cuma ingin bertenang dan tidak mahu diganggu. Itu lebih baik



DAH dua hari Adrian tak dengar suara Arissa. Bila call, tak pernah ada respons. Kalau mesej pun, boleh kira berapa kali si cantik manis tu balas. Adrian tahu, Arissa masih perlukan waktu. Jadi mahu tak mahu terpaksalah dia bersabar sampai Arissa okey semula.

Di kedai mamak, dari A sampai Z dia ceritakan pada Hanif. Hanif pendengar yang baik. Apa saja masalah yang dihadapinya, Haniflah orang pertama yang dicari.

“Padanlah kalau aku tengok si Arissa tu macam moody je satu hari ni. Ingatkan sebab assignment dia tu, rupa-rupanya gaduh dengan boyfriend!” ujar Hanif sebelum menyuap roti canai. Sesekali matanya menghala ke kaca TV.

Kening Adrian bertaut. “Kejap! Assignment dia? Kenapa dengan assignment dia?”

“Pagi tadi punya cerita, pensyarah kita orang tu marah dia teruk jugak. Arissa silap sikit je, tak ikut format yang dia mintak. Tak puas hati tu takpelah, tapi tak payahlah marah Arissa depan satu kelas. Malulah dia!”

Adrian bungkam. Kesian Arissa. Kena marah dengan lecturer? Dua hari tak contact, langsung tak tahu apa-apa cerita pasal dia. Kalaulah mereka tak bergaduh, dah tentu Adrian boleh tenangkan buah hatinya itu.

“Hai! Boleh join?”

Perbualan mereka terganggu. Tidak ada sepatah kata dari Adrian tatkala melihat insan yang menyapa. Pertemuan yang tidak diduga. Adrian tak sangka akan jumpa gadis itu di sini. Rasa kurang senang dengan kehadiran insan itu menjalar di hati.

“Eh! Krisya!! Buat apa kat sini?” tanya Hanif ramah. Berbeza dengan Adrian yang tiada sebarang riak di wajahnya. Sempat Hanif menjeling ke arah sahabatnya itu dan dia ketawa dalam hati. Sudah tahu isi hati Adrian. Pasti lelaki itu tidak suka melihat Krisya di sini.

“Saja. Teringin nak makan chicken chop! Tak sangka jumpa you guys kat sini pulak. Ian, I call you dari tadi you tak angkat-angkat. Kesian I tau, penat je dail nombor you.” Tanpa dipelawa, Krisya terus duduk di sebelah Adrian. Riang wajahnya, seriang hatinya kerana dapat berjumpa Adrian lagi.

Krisya call? Kenapa aku tak dengar fon? Aku silent ke? Hatinya bersuara. Adrian teraba-raba poket jeansnya. Eh? Mana fon aku ni?

“Ya Allah!! I tertinggal fon dalam kereta!” Adrian menepuk dahi. Macam manalah aku boleh terlupa 'nyawa' aku tu? Dahlah zaman sekarang banyak orang buat jenayah. Dibuatnya ada yang pecah kereta aku, mampus! Ish! Minta dijauhkan!

Krisya menggeleng-geleng perlahan. “You ni dari dulu sampai sekarang tak ubah-ubah. Nyanyuk macam mak nenek!”

“Betul tu, Krisya. I setuju. Adrian ni memang pelupa! Nasib baik dia ingat lagi kawan-kawan dia. Kalau tak, kita pun dia tak kenal.” ujar Hanif disusuli ketawa kecil.

Adrian dan Krisya ketawa. Hanif yang berbaju-T Paul Frank menoleh ke belakang, melambai-lambaikan tangan ke arah tiga orang lelaki yang duduk agak jauh dari mereka. Salah seorang darinya menggamit Hanif ke situ.

“Korang sembang kejap eh? Nak pergi lepak dengan kawan kejap kat sana. Nanti aku datang balik.” ujar Hanif sebaik dia memandang Adrian.

Adrian yang bersandar malas pada kerusi mengangguk perlahan. Yang sebenarnya dia tak mahu duduk berduaan dengan Krisya begitu. Tak selesa. Tapi Hanif ni.. Masa macam nilah dia nak lepak dengan budak-budak tu pulak. Adrian mendengus bosan. Dia bungkam terus. Tak tahu apa yang hendak dibualkan. Hish!! Kenapalah si Krisya ni boleh datang lepak sini pulak? Perlu ke terserempak macam ni? Aku dahlah tengah stress, datang pulak cik kak seorang ni. Bertambah stress aku dibuatnya!! Arghh!! Benci!

Diam-diam Krisya memerhati jejaka kacak di sebelah. Hatinya berbunga bahagia bila ternampak Adrian tadi. Rindunya dia pada Adrian hanya Tuhan yang tahu. Sejak pertemuan malam itu, dia jadi tak keruan. Kerinduannya terhadap Adrian semakin menebal, apa lagi sudah bertahun tidak bersua. Tapi, reaksi Adrian kali ini dirasakan cukup dingin dan hambar. Tidak ada senyuman atau gelak tawa dari lelaki itu. Adrian tak suka ke jumpa aku? Hati Krisya menebak.

“You ni kenapa? Kalau jumpa I je terus jadi bisu. Tak suka jumpa I eh?” Krisya tak puas hati. Dari tadi Adrian buat tak tahu dengan aku. Aku ni tunggul ke?

“Tak ada benda yang nak dibualkan sebab itu I diam.” balas Adrian yang hanya beriak selamba.

Krisya tersenyum hambar. Sangkaannya tepat. Adrian tak suka jumpa dia dan tak perlu lagi ditanya mengapa kerana dia sudah tahu jawapannya.

“Malam tu kita tak sempat sembang panjang. Sebenarnya banyak sangat benda yang I nak tanya dekat you, tapi you macam nak tak nak je layan I.” Krisya membuka topik. Malam tu tak sempat borak lama-lama dengan Adrian. Nama je reunion, tapi masing-masing berlagak seolah tak saling mengenali satu sama lain. Hanya ada satu sebab mengapa hubungan mereka renggang. Semuanya berpunca dari kesilapan Krisya sendiri dan Krisya tahu, sukar untuk dia jernihkan keadaan. Adrian seolah begitu membenci dirinya kini.

“You dengan siapa sekarang? Atau masih single?” Krisya menyerkap jarang. Bertahun-tahun terpisah, banyak benda tentang Adrian yang dia tak tahu. Bila dah jumpa balik, Krisya nak sangat tahu dengan siapa Adrian berkawan? Mungkinkah lelaki itu sudah punya yang teristimewa, yang jauh lebih sempurna darinya?

“I’m single but not available.” jawab Adrian tanpa melihat Krisya. Pandangannya melekat pada kaca TV. Sememangnya dia sudah tidak ada hati untuk terus menatap wajah itu lagi. Wajah gadis yang dulunya begitu istimewa buat Adrian. Sayang seribu kali sayang, kasih sayangnya tidak dihargai. Krisya sama saja macam perempuan lain di luar sana. Kejam..!

Krisya menelan liur. Single but not available? Maknanya memang betullah dia dah berpunya? Pedih hati Krisya mendengarnya. Adrian dah ada girlfriend? Siapa orangnya ya?

“So, who is that lucky girl? Do I know her?” soal Krisya lagi ingin tahu.

Adrian diam. Malas nak jawab apa-apa. Milo aisnya disedut sampai habis. Sesekali terdengar suara Hanif ketawa kuat di meja sana, dengan kawan-kawannya yang lain. Entah apa yang mereka sembang, ketawa sampai nak terkeluar anak tekak. Satu kedai ni kecoh dengan suara dia orang je. Kecoh macam pasar ikan!

“Mesti you sayang dia sangat, kan? Bertuah sungguh dia sebab dapat memiliki seseorang macam you,”

“I yang bertuah sebab dapat dia. Dan jawapan untuk soalan you tu, memang I sayang dia sangat. Sayang sepenuh hati.”

“I tahu you takkan main-main bila you kata sayang. I je yang bodoh sebab tak nampak semua tu. Sekarang ni I dah terima hukumannya dan I menyesal sangat-sangat, Ian.”

Adrian tersenyum sinis. Baru sekarang nak menyesal? Dulu masa tinggalkan aku, sikit pun tak fikir hati aku!! Sekarang pandai pula nak jilat ludah sendiri!!

“Tak payah ungkit kisah lama. I dah ada kehidupan baru dan you pun sama,” ujar Adrian bersahaja. Dia dah malas nak ingat apa yang dah terjadi. Semuanya hanya akan menambahkan lagi pedih di hati. Dua tahun Adrian cuba ubati hatinya, bangkit dari kekecewaan dan akhirnya dia bertemu dengan Arissa, satu-satunya insan yang berjaya membuka pintu hatinya semula.

“I masih tak boleh lupakan kenangan kita. Kadang-kadang, bila I rindu I akan bukak balik diari I. Semua pasal kita I baca. Gambar-gambar kita pun I masih simpan, just in case I rindukan you I tengoklah gambar you,” luah Krisya tanpa dipinta. Sungguh, andai diberi peluang dia ingin kembali ke masa lalu dan menebus semua kesalahannya dulu.

Adrian rasa macam nak ketawa dengar pengakuan Krisya. Kelakarnya!! Perempuan yang dulunya berlagak tak perlukan cinta aku, boleh datang dan mengaku yang dia rindukan aku? Kalau tak aku yang mimpi, mesti Krisya yang mengigau ni!! Dia sedar ke tak apa yang dia cakapkan ni?!

“You dah lupa kut you pernah cakap yang you dah tak perlukan I lagi. Jadi untuk apa lagi you ingat I? Banyak lagi lelaki handsome dan kaya kat luar sana, pergilah kejar. Nanti you juga yang rugi,” sindir Adrian, sengaja ingin membakar hati Krisya. Setiap kali terkenangkan hal itu, Adrian terasa hatinya bagai ditusuk sembilu. Kalaulah Krisya bukan mata duitan, pasti itu semua takkan terjadi!

Krisya tergamam. Terpukul dek sindiran Adrian. Terasa dirinya begitu bodoh kerana begitu gilakan harta dan wang ringgit. Kerana Muaz, Adrian ditinggalkan dan dia sedar lelaki seperti Muaz tak menjaminkan kebahagiaan buat dirinya!! Adrian jauh lebih baik dari Muaz, biarpun tidak berharta!

“Lepas I dah terkena dengan mamat tu, baru I sedar yang kekayaan takkan menjamin kebahagiaan. Muaz cuma nak gunakan I. Maafkan I, Ian. I yang bodoh sebab melepaskan insan sebaik you, yang mencintai I apa adanya. You yang paling sempurna buat I, Ian.” Krisya bernada sayu. Apa yang harus dia lakukan supaya dapat menebus semula dosanya itu?

Adrian mengeluh berat. “Dahlah, Krisya. Buat apalah kita cakap pasal benda yang dah lepas? Sekarang I dah cukup bahagia dengan apa yang I ada. I dah tak mahu yang lain. Titik.” Adrian terus mematikan ayat. Saat ini wajah Arissa terbayang-bayang di matanya.





ADRIAN menghembus nafas lega. Akhirnya berjaya juga dia cari alasan untuk mengelak dari terus berbual dengan Krisya di situ. Katanya abang kat rumah tak sihat, terpaksa balik cepat. Krisya percaya bulat-bulat! Adrian ketawa dalam hati. Masuk ke kereta, terus dia capai telefon bimbitnya.

Hampir tercampak biji matanya bila dia lihat ada 25 missed calls dan SMS dari Arissa. Ya Allah!! Arissa call?! Habislah aku!! Satu pun aku tak jawab! Agak-agak Arissa percaya tak kalau aku kata aku tertinggal fon dalam kereta? Kalau dia tak percaya macam mana?

Satu benda yang membuatkan Adrian begitu gembira. Kalau Arissa telefon, itu bermakna kemarahannya sudah reda. Adrian tersenyum lebar. 25 missed calls! Nampaknya ada orang rindukan aku, sebab itulah dia cari aku!

Sayang, I nak jumpa you. Kita keluar makan kejap lagi boleh? - Arissa

Sayang, mana you? Kenapa tak jawab call? Dah tidur ke? - Arissa

Mesej yang dikirim dua jam yang lalu itu dibaca dengan senyum meleret di bibir. Sayang. Rindunya nak dengar Arissa panggil sayang. Bisik Adrian dalam hati. Enjin kereta dihidupkan. Tak sabar nak dengar suara yang tersayang, nombor Arissa segera dicari.

Panggilan pertama, terputus. Aik? Apasal putus pulak ni? Arissa reject ke? Dia tertekan kut? Adrian cuba lagi sekali. Namun hampa. Panggilannya sekali lagi direject. Adrian mengerut dahi. Kenapa pulak dia reject? Tadi beria nak cakap dengan aku, ni bila aku call dia matikan pulak! Kenapa dengan Arissa ni?

Masih tak putus asa, sekali lagi nombor Arissa didail. Kali ini ada respons dari Arissa. Adrian menghela nafas lega. Senyum kembali terukir di bibirnya.

“Sayang, sorry tadi I ter…” bicara Adrian tergantung di situ. Dia terkedu mendengar esak tangis pilu di corong telefon.

Arissa menangis? Adrian bingung. Kenapa dia menangis?

“Sayang? Kenapa you menangis ni?” Adrian panik. Dia cukup takut kalau dengar Arissa menangis. Dia takut kalau ada apa-apa terjadi pada gadis itu.

Tidak ada jawapan dari Arissa, namun sendu tangisnya kian berlagu, membuat Adrian semakin tak tentu arah. Ya Allah.. Kenapa dengan dia? Kenapa dia menangis macam ni?

“Janganlah takutkan I macam ni. Please, sayang. Cakaplah.. Kenapa you nangis?”

“I dah tak ada apa-apa nak cakap dengan you, Adrian. Jangan call I lagi.” ujar Arissa tersedu-sedu. Terlalu perlahan suaranya, hampir tak kedengaran. Bergetar menahan sebak.

“What?” Adrian kebingungan. Kenapa Arissa cakap macam tu sedangkan tadi dia yang SMS aku, call aku ajak aku jumpa. Kenapa pulak sekarang ni dia tak bagi aku call dia?

“I dah taknak jumpa you!” tempik Arissa kuat.

“Tapi kenapa? Kan tadi you call I, you cakap you nak…”

“Kita putus!! I dah taknak ada apa-apa dengan you!! Dengar tak?!! I nak putus!!!” Arissa memintas percakapan Adrian.

Adrian terkedu. Terkedu mendengar perkataan yang terlafaz di bibir gadis itu. Putus?

“Arissa..! I…”

Talian sudah terputus. Adrian tak sempat menghabiskan tutur bicaranya. Skrin telefon bimbitnya direnung dengan perasaan berkecamuk. Arissa mintak putus? Kenapa? Sedangkan tadi dia mesej aku siap panggil aku sayang, semuanya nampak okey. Tapi dalam masa dua jam, dia nak putus? Telefon bimbitnya dicampak kasar ke tempat duduk sebelah pemandu. Kepalanya berserabut. Tanpa sebab, Arissa putuskan hubungan mereka. Inilah yang paling ditakuti Adrian. Dia tak mahu pisang berbuah dua kali. Namun, apa yang ditakuti akhirnya terjadi. Adrian melekapkan dahinya ke stereng, matanya dipejam rapat. Ya Allah.. Aku harap ini semua hanya igauan ngeri! Sesungguhnya aku tidak sanggup untuk kehilangan dia, kerana hanya dialah yang aku dambakan dan hanya dia yang mampu menakluki hati ini. Hanya dia.

1 comment: