Tuesday 20 May 2014

Oh My Ex-Husband! 23

DAH lebih tiga puluh kali aku telefon. Dah lebih 20 mesej yang aku hantar. Tapi tak satu pun berbalas. Tetap juga tak ada respons dari orang di sana. Runsing hati ini dibuatnya. Harith langsung tak bagi muka. Marah benar dia pada aku. Tapi aku sedar ini yang selayaknya untuk aku kerana semuanya berpunca dari salah aku juga. Cuba aku yang berada di tempat Harith Daniel sekarang, pasti aku juga akan kecewa.

Nasi putih, ikan goreng dan pucuk-paku masak lemak masih tak terusik. Dari tadi asyik teguk air saja. Sampaikan perut pun dah naik kembung. Kalaulah Harith ada kat sini, mesti dia seronok tengok aku makan sayur. Dah kenapalah dengan aku ni agaknya? Semua benda yang aku buat pun mesti ingatkan Harith jugak. Aduhh!! Pelik tapi benar. Aku bagaikan hilang punca bila Harith Daniel tidak menghubungiku seperti selalu. What is wrong with me? Mana perginya Rene Hannani yang dulu?

“Lain macam je kau ni, Rene? Moody semacam aku tengok. Gaduh dengan Amir ke?” tegur Bella. Tisu yang tersedia di meja ditarik sehelai.

“Taklah.” aku menggeleng lemah. Tak hairan kalau Bella pun boleh perasan dengan kelakuan aku hari ini. Tak seceria selalu. Muram dan tak banyak cakap.

“Habis tu?” berkerut dahi Bella.

“Harith ni, aku call tak angkat-angkat. Mesej pun tak balas. Dari semalam dah dia macam ni.”

“Chopp!! Kau monyok sebab Harith tak angkat fon? Kejap! Aku mimpi ke apa ni? Sejak bila kau susah hati kalau dia tak hiraukan kau? Ni ada apa-apa yang aku tak tahu ke?”

“Hmm.. It’s a long story. I’ve made a mistake. Very big mistake… Sekarang ni aku kena pujuk dia balik..”

“Patutlah dari tadi aku tengok kau gelisah semacam je. Macam cacing kepanasan. Serba tak kena. Orang di sana merajuk rupanya ya? Apa yang kau dah buat? Cer citer, cer citer..”

Hampir ketawa aku lihat Bella meniru dialog Hantu Kak Limah Balik Rumah. Sebab itulah aku ajak Bella makan tengahari sama-sama. Sebab aku tahu, Bella saja yang boleh hiburkan hati aku yang sedang gundah-gulana ini.

“Takde.. Aku ada janji dengan dia nak temankan dia pergi Pavilion petang semalam.. Nak dijadikan cerita, si Amir pulak datang ajak aku keluar lunch dengan mak ayah dia. Keluar tengahari balik dekat Maghrib..” aku mula membuka cerita. Aku suap sesudu nasi ke dalam mulut.

“Let me guess.. Kau terlupa kau ada date dengan Harith?” Bella menebak.

Fuhh!! Kawan baik aku ni ada potensi untuk menjadi ahli nujum! Aku tak habis cerita lagi dia dah boleh teka. Dan tekaannya tepat! Bijak sungguh gadis yang bernama Nur Nabila ini.

“Itulah dia!! Sekarang ni aku dah tak tahu nak buat macam mana dah! Dah naik lenguh jari aku dail nombor dia. Taip mesej mintak maaf dekat dia dah beribu-ribu patah perkataan, satu pun dia tak balas. Susah hatilah macam ni..” keluh aku.

Aku lihat ada senyuman yang terukir di bibir Bella. Hairan aku tengok dia senyum macam tu.

“Kenapa kau senyum?”

“Takde apa. Cuma aku suka tengok kau macam ni.” ujar Bella disusuli tawa kecilnya.

Haa?? Bella suka tengok aku macam ni? Aku tak salah dengar, kan?! Sampainya hati Bella. Boleh pula suka tengok aku sedih! Hampeh punya kawan!

“Kau ni dah kenapa, Bell? Aku tengah susah hati kau boleh kata kau suka tengok aku macam ni? Kejamnya!” aku baling tisu yang aku gumpal tadi ke arah Bella. Ini yang buat aku geram ni! Kawan baik aku sendiri pun macam seronok sangat tengok aku tertekan macam ni!

Bella pantas mengelak. Sakan dia ketawa. “Bukanlah! Aku bukan suka kau susah hati tapi aku seronok tengok reaksi kau ni. Mengingatkan aku pada cerita lama, masa kau couple dengan Harith. Kalau kau ada masalah dengan Harith, macam nilah reaksi kau. Sebijik! Sama! Fotostet! Copy and paste!”

“Jadi?”

“Kau tak faham maksud aku kut. Aku nak cakap, kalau kau dah tak senang duduk macam ni, it’s a good sign. Kau ambil berat pasal dia, kau sayang dia.”

“Aku? Sayang dia?” aku tuding jari ke mukaku sendiri.

“Come onlah Rene. Hidup jangan terlalu ego. Kalau sayang cakap sayang. Aku bukan baru kenal kau semalam. Kita dah macam adik-beradik,”

Bella diam sejenak. Nafas ditarik dalam-dalam. “Kalau tak sayang, kau mesti tak kisah pun dia jawab call ke tak? Entah-entah kau lagi seronok bila dia diam macam ni. Yelah.. Dulu kau cakap kau rimas dia cari kau 24/7. Tapi ini tidak. Resah semacam..”

Aku angguk, mengiakan kata-kata Bella. Kalau dulu aku memang tak suka Harith cari aku. Rimas bila dia asyik telefon dan mesej aku. Tapi kali ni, bila Harith menyepi aku pula yang tercari-cari. Resah dan tak tentu hala. Ini bukan Rene Hannani yang dulu lagi.

“Betul cakap kau, Bella. Aku pun tak tahu kenapa dengan aku ni. Rasa tak tenteram. Satu kerja pun tak boleh buat. Pulak tu bila aku ingat balik air muka Harith semalam, aku rasa sedih sangat. Aku cuba letakkan diri aku kat tempat dia.. Lama dia tunggu aku. Aku tahu dia mesti marahkan aku sekarang. Teruk betullah aku ni..” Sudu dan garfu di tangan aku letak ke pinggan. Aku bersandar pada kerusi plastik itu.

“Alaa.. Jangan risau sangatlah! Aku rasa Harith okey tu. Cuma mungkin dia kecik hati sikit ajelah.. Sebab kau lupa. Tapi kalau kau cuba pujuk dia mesti dia okey. Orang lelaki ni pun kadang-kadang suka menguji. Kau ingat kita je yang suka uji dia orang? Baik lelaki mahu pun perempuan, semua sama.”

Benarkah apa yang dikatakan oleh Bella? Mungkinkah Harith Daniel hanya ingin menguji? Kalau ya, aku nak cakap yang dia dah pun berjaya! Berjaya buat aku jadi tak keruan!

“Aku takutlah, Bell.. Macam mana kalau Harith langsung taknak maafkan aku?” soal aku melahirkan kebimbanganku.

Sungguh-sungguh Bella menggeleng. “Tak mungkinlah! Dia lelaki, bukannya perempuan. Malulah kalau merajuk lama-lama. Sensitif sangatlah dia kalau macam tu. Tapi aku yakin Harith akan okey. Kau bagi dia masa sikitlah.. Tapi jangan putus asa. Kau cuba je pujuk dia, jumpa dia dan cakap baik-baik. Gerenti sekejap je hati dia cair..”

Ya.. Itulah yang harus aku lakukan. Sebelum keadaan bertambah parah, ada baiknya aku segera bertindak. Mudah-mudahan Allah lembutkan hati Harith Daniel untuk memaafkan aku.

_________________________

Aku bergegas ke Mont Kiara sejurus keluar dari pejabat. Dari pejabat nak ke rumah mommy makan masa juga bila terpaksa redah traffic jam. Tapi aku tak peduli. Biar apa pun halangan dan rintangan yang mendatang akan aku harunginya. Asalkan aku dapat berjumpa dengan Harith Daniel itu sudah mencukupi.

Tiba di depan penthouse milik Puan Nadira, aku terus tekan loceng pintu. Berkali-kali, namun tidak ada seorang pun yang membukakan pintu. Hening dan sepi sekali rumah itu, seperti tidak berpenghuni. Ah sudah! Tak ada orang ke ni? Aku mengetap gigi menahan geram. Geram dengan diri sendiri yang langsung tak terfikir untuk menghubungi mommy dulu sebelum ke sini. Yang aku tahu aku cuma nak cepat jumpa Harith!

“Assalamualaikum!” lantang suara aku memberi salam setelah tiga kali door bell itu aku tekan.

Masih tidak ada yang menyahut. Aku mundar-mandir di situ.

“Assalamualaikum! Mommy! Hanim!!” kali ini suaraku lebih kuat berbanding tadi.

Aku sudah tidak mampu bersabar. Belum sempat loceng pintu itu aku tekan sekali lagi, kedengaran suara Hanim menyahut dari dalam.

“Waalaikumussalam! Kejap!”

Pintu dikuak perlahan. Wajah Hanim terjengul di sebalik daun pintu yang berwarna krim itu. Aku tersenyum lega. Nasib baik Hanim ada. Kalau tak sia-sia sajalah aku ke mari.

“Laaa.. Kak Rene rupanya! Sorry sebab lambat bukak pintu. Hanim tengah solat tadi. Mommy pulak keluar dengan kawan dia.. Meh masuk dulu, kak.” pelawa Hanim sambil membuka kunci gril.

“Eh takpe, dik! Akak datang sekejap je ni. Akak cari Abang Harith, dia ada balik sini tak?”

“Abang Harith? Kalau tak silap Hanim petang semalam dia balik ambik baju je. Lepas tu dia keluar. Dia kata nak balik rumah daddy.”

Aku mengeluh perlahan. Balik rumah daddy dialah pulak! Habis tu aku kena buat apa sekarang? Nak cari dia kat sana? Ish! Segan pulak aku dengan daddy. Nanti tak pasal-pasal satu dunia tahu kami bergaduh. Malulah!

“Kenapa, kak? Ada masalah ke?” tanya Hanim.

“Takde.. Akak ada hal sikit nak cakap dengan abang. Akak call dia tak jawab.” Dalih aku. Tidak mahu Hanim tahu apa yang terjadi. Masalah aku dan Harith, biar kami sendiri yang selesaikannya.

“Ohh..! Abang sibuk kut? Nanti dia telefonlah akak tu.. Jemputlah masuk dulu, kak. Boleh sembang lama-lama sikit.” sekali lagi Hanim mengajak.

Aku senyum segaris. “Err.. Takpelah Hanim. Terima kasih.. Lain kali ajelah akak singgah. Nak balik cepat. Takut nanti lagi jam teruk.”

“Okeylah kalau macam tu. Drive safely.”

“Insya-Allah. Nanti kirim salam mommy, ya?”

“I will.”

__________________________



Abang.. Where are you? Angkatlah fon.. We need to talk..-aku



Itu mesej yang aku hantar pada Harith 15 minit lalu. Namun masih juga tidak ada jawapan dari Harith. Separuh gila aku berfikir, cari jalan macam mana nak pujuk dia baik-baik. Masuk hari ni dah dua hari aku tak dengar khabar berita dari dia. Menguji kesabaran sungguh. Tapi padanlah muka aku! Aku yang buat dia dulu. Terimalah habuannya, Rene Hannani!

Aku nekad. Nak juga telefon dia sampai dapat. Biar melecet jari pun tak apa. Asalkan Harith angkat, aku rela. Tekan saja butang hijau, aku terus dekatkan fon ke telinga. Panggilan yang pertama, tak berjawab. Hilang sabar juga aku dengan Harith ni sebenarnya. Tapi, aku tak putus asa. Aku cuba lagi sekali.

“Sorry. Please try later.” suara operator pula yang kedengaran.

Arghh!! Tadi elok aje ringing, sekarang ni dah masuk voice mail pulak? Harith ni kenapa? Suka tengok aku jadi gila sebab dia? Aku menjerit dalam hati.

Aku berjalan sambil dail nombor Harith. Langsung tak tengok kiri, kanan, depan dan belakang. Tak tahu ke mana kaki melangkah. Tiba-tiba aku terlanggar seseorang yang aku tak nampak wajahnya kerana dia menghadap ke arah lain.

“Maaf, encik! Maaf! Saya tak sengaja!” luah aku berkali-kali. Itulah kau, Rene! Sibuk main handphone! Lain kali berjalan tu janganlah main redah aje. Ni tak pasal-pasal langgar orang!

Lelaki yang berbadan gempal itu segera berpaling. Buntang mata aku melihat wajah itu. Tak sangka pula akan terserempak dengan dia di KLCC ni.

“Laa.. Daddy! Sorry, daddy!! Rene tak nampak daddy! Ralit sangat taip mesej tadi! Daddy tak apa-apa?” ujar aku sedikit kesal dengan kecuaian sendiri. Rupa-rupanya aku terlanggar bekas ayah mertuaku sendiri!

Daddy sengih. “Daddy okey, Rene. No serious injuries. Ni nak ke mana ni nampak kelam-kabut semacam?”

“Takde ke mana pun, daddy. Saja jalan-jalan, window shopping konon nak hilangkan bosan. Tapi tak berkesanlah sebab tak ada kawan.”

“Samalah kita. Daddy pun tak ada geng nak ajak jalan-jalan ni.. Harith pulak tak tahu kat mana.”

Aduh! Harith sana, Harith sini. Cukuplah. Makin kerap nama itu aku dengar, makin rindu aku pada dia. Oppss…!! Aku rindukan dia? Yes!! I miss him! So much! And I am dying to see him.. AGAIN!

Nanti dulu! Daddy kata dia tak tahu Harith kat mana! Kan ke lebih bagus kalau aku gunakan peluang ini untuk bertanyakan tentang Harith pada ayahnya sendiri? Ini sudah bagus!

“Daddy takde nak ke mana-mana, kan? Kita pergi minum kejap boleh? Rene ada benda nak cakap dengan daddy..” aku segera meluahkan hasrat.

“Boleh aje. Jomlah.” balas daddy senang.

______________________________

Kami memilih Secret Recipe sebagai lokasi minum petang. Dekat luar sana tu hujan lebat. Kalau cuaca sejuk begini, memang sedap bila dapat minum kopi panas-panas.

“Hanim kata Harith balik rumah daddy, betul?” Lancar aku mengajukan pertanyaan itu pada daddy.

Daddy menyisip sedikit cappucino dari cawannya sebelum soalan aku dijawab.

“A’ah. Dah dua malam dah dia tidur kat rumah daddy. Kenapa, Rene?”

Agak payah juga aku hendak jelaskan kenapa aku bertanyakan tentang Harith. Aku cuba untuk menyusun ayat sebelum diluahkan pada daddy.

“Aa… Daddy tengok.. Harith tu okey ke tak? Maksud Rene.. Nampak dia macam ada masalah ke? Muram ke? Sedih?” soal aku sedikit teragak-agak, tersekat-sekat.

“Haa.. Itu yang daddy duk fikirkan sangat tu! Sehari dua ni memang daddy tengok Harith lain sangat, macam orang putus cinta. Selalunya dia kalau jumpa daddy ceria bukan main, tapi kali ni sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab. Termenung sana sini. Runsing pulak daddy tengok dia..”

Ya Allah. Apa yang aku dah buat? Sedih hati aku hanya Tuhan yang tahu. Itu baru dengar daddy cerita. Belum lagi tengok sendiri keadaan Harith tu macam mana. Agaknya aku meraung macam nak gila kut?

“Boleh daddy tanya? Rene dengan Harith ada masalah ke?” daddy pandang tepat ke wajahku.

“Ada selisih faham sikit, daddy.. Renelah puncanya Harith jadi macam tu.”

Aku berjeda.

“Sekarang ni Rene cuba contact dia, tapi jangankan jawab telefon, mesej pun dia tak balas. Rene nak cuba slow talk dengan dia sebenarnya tapi dah dia asyik mengelak macam ni.. Payahlah..” Dengan rela hati aku bercerita. Sedangkan awal tadi aku ragu-ragu untuk berterus-terang. Tapi aku rasa ada bagusnya juga kalau aku cakap dengan ayah Harith sendiri. Manalah tahu dia boleh bantu aku.

“Patutlah.. Bergaduhlah ni? Hmm.. Tak apa. Nanti daddy cuba cakap dengan dia. Sajalah tu Harith nak tarik perhatian Rene agaknya.. Walhal dia tu bukannya jenis yang kuat merajuk. Kalau marah pun tak pernah lama, sekejap je dia boleh cool down balik.”

Aku mengukir senyum paksa. Harapnya masinlah mulut daddy. Harapnya rajuk dan marah Harith tak lama. Mintak-mintaklah semua ini tak akan berpanjangan. Penatlah gaduh macam ni. Harith tak penat ke? Nampak macam seronok sangat abaikan aku terus-terusan macam ni.

“Tak, daddy. Kesalahan Rene ni memang tak boleh dimaafkan. Sebab itulah Harith bengang sangat. Takpelah.. Rene akan cuba pujuk dia jugak nanti,”

“Baguslah. Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan. Bergaduh ke, salah faham ke, itu perkara normal. Kalau kena gayanya, sekejap je rajuk anak daddy tu.. Tambahan pulak kalau yang memujuk tu Rene. Sejuklah hati dia tu nanti.”

Aku senyum. Moga-moga apa yang dikatakan oleh daddy itu akan termakbul nanti. Amin.

_____________________________

TQ for reading. Jgn lupa komen ya? Utk silent readers, tq jgk sbb sudi baca.. sudi2kanlah jari anda utk tekan butang reaction di bawah.. (tiada paksaan, tapi sebenarnya feedback pembaca adalah amat penting utk seorang penulis baiki kelemahannya) :) thank u.

8 comments:

  1. Teruskan usaha....sentiasa menyokong anda sis..

    ReplyDelete
  2. Warghh,next please?? Tk sabar nak nak tahu ending.. Bila novel nak publish??

    ReplyDelete
  3. Saya suka baca kisah ini. Tak sabar mahu tunggu novelnya.

    ReplyDelete
  4. Woww cant wait for next episode ;))))

    ReplyDelete
  5. saya salah sorg silent reader awak...hehehe sambung cepat tau...bestttttt sangat :-)

    norita

    ReplyDelete
  6. best tak sabar tunggu publish

    ReplyDelete
  7. memang best sgt...xsabar nk tunggu next entry....and hopefully cepat2 dibukukan..nk wat koleksi....

    ReplyDelete
  8. Wah,first bkk blog ni pun sajer je taip then trjmpa plak omexhb...memang bace x henti..best sesangat sis iman...smoga brjaya...saya akan sokong awak :)

    ReplyDelete