Tuesday 20 May 2014

Oh My Ex-Husband! 23

DAH lebih tiga puluh kali aku telefon. Dah lebih 20 mesej yang aku hantar. Tapi tak satu pun berbalas. Tetap juga tak ada respons dari orang di sana. Runsing hati ini dibuatnya. Harith langsung tak bagi muka. Marah benar dia pada aku. Tapi aku sedar ini yang selayaknya untuk aku kerana semuanya berpunca dari salah aku juga. Cuba aku yang berada di tempat Harith Daniel sekarang, pasti aku juga akan kecewa.

Nasi putih, ikan goreng dan pucuk-paku masak lemak masih tak terusik. Dari tadi asyik teguk air saja. Sampaikan perut pun dah naik kembung. Kalaulah Harith ada kat sini, mesti dia seronok tengok aku makan sayur. Dah kenapalah dengan aku ni agaknya? Semua benda yang aku buat pun mesti ingatkan Harith jugak. Aduhh!! Pelik tapi benar. Aku bagaikan hilang punca bila Harith Daniel tidak menghubungiku seperti selalu. What is wrong with me? Mana perginya Rene Hannani yang dulu?

“Lain macam je kau ni, Rene? Moody semacam aku tengok. Gaduh dengan Amir ke?” tegur Bella. Tisu yang tersedia di meja ditarik sehelai.

“Taklah.” aku menggeleng lemah. Tak hairan kalau Bella pun boleh perasan dengan kelakuan aku hari ini. Tak seceria selalu. Muram dan tak banyak cakap.

“Habis tu?” berkerut dahi Bella.

“Harith ni, aku call tak angkat-angkat. Mesej pun tak balas. Dari semalam dah dia macam ni.”

“Chopp!! Kau monyok sebab Harith tak angkat fon? Kejap! Aku mimpi ke apa ni? Sejak bila kau susah hati kalau dia tak hiraukan kau? Ni ada apa-apa yang aku tak tahu ke?”

“Hmm.. It’s a long story. I’ve made a mistake. Very big mistake… Sekarang ni aku kena pujuk dia balik..”

“Patutlah dari tadi aku tengok kau gelisah semacam je. Macam cacing kepanasan. Serba tak kena. Orang di sana merajuk rupanya ya? Apa yang kau dah buat? Cer citer, cer citer..”

Hampir ketawa aku lihat Bella meniru dialog Hantu Kak Limah Balik Rumah. Sebab itulah aku ajak Bella makan tengahari sama-sama. Sebab aku tahu, Bella saja yang boleh hiburkan hati aku yang sedang gundah-gulana ini.

“Takde.. Aku ada janji dengan dia nak temankan dia pergi Pavilion petang semalam.. Nak dijadikan cerita, si Amir pulak datang ajak aku keluar lunch dengan mak ayah dia. Keluar tengahari balik dekat Maghrib..” aku mula membuka cerita. Aku suap sesudu nasi ke dalam mulut.

“Let me guess.. Kau terlupa kau ada date dengan Harith?” Bella menebak.

Fuhh!! Kawan baik aku ni ada potensi untuk menjadi ahli nujum! Aku tak habis cerita lagi dia dah boleh teka. Dan tekaannya tepat! Bijak sungguh gadis yang bernama Nur Nabila ini.

“Itulah dia!! Sekarang ni aku dah tak tahu nak buat macam mana dah! Dah naik lenguh jari aku dail nombor dia. Taip mesej mintak maaf dekat dia dah beribu-ribu patah perkataan, satu pun dia tak balas. Susah hatilah macam ni..” keluh aku.

Aku lihat ada senyuman yang terukir di bibir Bella. Hairan aku tengok dia senyum macam tu.

“Kenapa kau senyum?”

“Takde apa. Cuma aku suka tengok kau macam ni.” ujar Bella disusuli tawa kecilnya.

Haa?? Bella suka tengok aku macam ni? Aku tak salah dengar, kan?! Sampainya hati Bella. Boleh pula suka tengok aku sedih! Hampeh punya kawan!

“Kau ni dah kenapa, Bell? Aku tengah susah hati kau boleh kata kau suka tengok aku macam ni? Kejamnya!” aku baling tisu yang aku gumpal tadi ke arah Bella. Ini yang buat aku geram ni! Kawan baik aku sendiri pun macam seronok sangat tengok aku tertekan macam ni!

Bella pantas mengelak. Sakan dia ketawa. “Bukanlah! Aku bukan suka kau susah hati tapi aku seronok tengok reaksi kau ni. Mengingatkan aku pada cerita lama, masa kau couple dengan Harith. Kalau kau ada masalah dengan Harith, macam nilah reaksi kau. Sebijik! Sama! Fotostet! Copy and paste!”

“Jadi?”

“Kau tak faham maksud aku kut. Aku nak cakap, kalau kau dah tak senang duduk macam ni, it’s a good sign. Kau ambil berat pasal dia, kau sayang dia.”

“Aku? Sayang dia?” aku tuding jari ke mukaku sendiri.

“Come onlah Rene. Hidup jangan terlalu ego. Kalau sayang cakap sayang. Aku bukan baru kenal kau semalam. Kita dah macam adik-beradik,”

Bella diam sejenak. Nafas ditarik dalam-dalam. “Kalau tak sayang, kau mesti tak kisah pun dia jawab call ke tak? Entah-entah kau lagi seronok bila dia diam macam ni. Yelah.. Dulu kau cakap kau rimas dia cari kau 24/7. Tapi ini tidak. Resah semacam..”

Aku angguk, mengiakan kata-kata Bella. Kalau dulu aku memang tak suka Harith cari aku. Rimas bila dia asyik telefon dan mesej aku. Tapi kali ni, bila Harith menyepi aku pula yang tercari-cari. Resah dan tak tentu hala. Ini bukan Rene Hannani yang dulu lagi.

“Betul cakap kau, Bella. Aku pun tak tahu kenapa dengan aku ni. Rasa tak tenteram. Satu kerja pun tak boleh buat. Pulak tu bila aku ingat balik air muka Harith semalam, aku rasa sedih sangat. Aku cuba letakkan diri aku kat tempat dia.. Lama dia tunggu aku. Aku tahu dia mesti marahkan aku sekarang. Teruk betullah aku ni..” Sudu dan garfu di tangan aku letak ke pinggan. Aku bersandar pada kerusi plastik itu.

“Alaa.. Jangan risau sangatlah! Aku rasa Harith okey tu. Cuma mungkin dia kecik hati sikit ajelah.. Sebab kau lupa. Tapi kalau kau cuba pujuk dia mesti dia okey. Orang lelaki ni pun kadang-kadang suka menguji. Kau ingat kita je yang suka uji dia orang? Baik lelaki mahu pun perempuan, semua sama.”

Benarkah apa yang dikatakan oleh Bella? Mungkinkah Harith Daniel hanya ingin menguji? Kalau ya, aku nak cakap yang dia dah pun berjaya! Berjaya buat aku jadi tak keruan!

“Aku takutlah, Bell.. Macam mana kalau Harith langsung taknak maafkan aku?” soal aku melahirkan kebimbanganku.

Sungguh-sungguh Bella menggeleng. “Tak mungkinlah! Dia lelaki, bukannya perempuan. Malulah kalau merajuk lama-lama. Sensitif sangatlah dia kalau macam tu. Tapi aku yakin Harith akan okey. Kau bagi dia masa sikitlah.. Tapi jangan putus asa. Kau cuba je pujuk dia, jumpa dia dan cakap baik-baik. Gerenti sekejap je hati dia cair..”

Ya.. Itulah yang harus aku lakukan. Sebelum keadaan bertambah parah, ada baiknya aku segera bertindak. Mudah-mudahan Allah lembutkan hati Harith Daniel untuk memaafkan aku.

_________________________

Aku bergegas ke Mont Kiara sejurus keluar dari pejabat. Dari pejabat nak ke rumah mommy makan masa juga bila terpaksa redah traffic jam. Tapi aku tak peduli. Biar apa pun halangan dan rintangan yang mendatang akan aku harunginya. Asalkan aku dapat berjumpa dengan Harith Daniel itu sudah mencukupi.

Tiba di depan penthouse milik Puan Nadira, aku terus tekan loceng pintu. Berkali-kali, namun tidak ada seorang pun yang membukakan pintu. Hening dan sepi sekali rumah itu, seperti tidak berpenghuni. Ah sudah! Tak ada orang ke ni? Aku mengetap gigi menahan geram. Geram dengan diri sendiri yang langsung tak terfikir untuk menghubungi mommy dulu sebelum ke sini. Yang aku tahu aku cuma nak cepat jumpa Harith!

“Assalamualaikum!” lantang suara aku memberi salam setelah tiga kali door bell itu aku tekan.

Masih tidak ada yang menyahut. Aku mundar-mandir di situ.

“Assalamualaikum! Mommy! Hanim!!” kali ini suaraku lebih kuat berbanding tadi.

Aku sudah tidak mampu bersabar. Belum sempat loceng pintu itu aku tekan sekali lagi, kedengaran suara Hanim menyahut dari dalam.

“Waalaikumussalam! Kejap!”

Pintu dikuak perlahan. Wajah Hanim terjengul di sebalik daun pintu yang berwarna krim itu. Aku tersenyum lega. Nasib baik Hanim ada. Kalau tak sia-sia sajalah aku ke mari.

“Laaa.. Kak Rene rupanya! Sorry sebab lambat bukak pintu. Hanim tengah solat tadi. Mommy pulak keluar dengan kawan dia.. Meh masuk dulu, kak.” pelawa Hanim sambil membuka kunci gril.

“Eh takpe, dik! Akak datang sekejap je ni. Akak cari Abang Harith, dia ada balik sini tak?”

“Abang Harith? Kalau tak silap Hanim petang semalam dia balik ambik baju je. Lepas tu dia keluar. Dia kata nak balik rumah daddy.”

Aku mengeluh perlahan. Balik rumah daddy dialah pulak! Habis tu aku kena buat apa sekarang? Nak cari dia kat sana? Ish! Segan pulak aku dengan daddy. Nanti tak pasal-pasal satu dunia tahu kami bergaduh. Malulah!

“Kenapa, kak? Ada masalah ke?” tanya Hanim.

“Takde.. Akak ada hal sikit nak cakap dengan abang. Akak call dia tak jawab.” Dalih aku. Tidak mahu Hanim tahu apa yang terjadi. Masalah aku dan Harith, biar kami sendiri yang selesaikannya.

“Ohh..! Abang sibuk kut? Nanti dia telefonlah akak tu.. Jemputlah masuk dulu, kak. Boleh sembang lama-lama sikit.” sekali lagi Hanim mengajak.

Aku senyum segaris. “Err.. Takpelah Hanim. Terima kasih.. Lain kali ajelah akak singgah. Nak balik cepat. Takut nanti lagi jam teruk.”

“Okeylah kalau macam tu. Drive safely.”

“Insya-Allah. Nanti kirim salam mommy, ya?”

“I will.”

__________________________



Abang.. Where are you? Angkatlah fon.. We need to talk..-aku



Itu mesej yang aku hantar pada Harith 15 minit lalu. Namun masih juga tidak ada jawapan dari Harith. Separuh gila aku berfikir, cari jalan macam mana nak pujuk dia baik-baik. Masuk hari ni dah dua hari aku tak dengar khabar berita dari dia. Menguji kesabaran sungguh. Tapi padanlah muka aku! Aku yang buat dia dulu. Terimalah habuannya, Rene Hannani!

Aku nekad. Nak juga telefon dia sampai dapat. Biar melecet jari pun tak apa. Asalkan Harith angkat, aku rela. Tekan saja butang hijau, aku terus dekatkan fon ke telinga. Panggilan yang pertama, tak berjawab. Hilang sabar juga aku dengan Harith ni sebenarnya. Tapi, aku tak putus asa. Aku cuba lagi sekali.

“Sorry. Please try later.” suara operator pula yang kedengaran.

Arghh!! Tadi elok aje ringing, sekarang ni dah masuk voice mail pulak? Harith ni kenapa? Suka tengok aku jadi gila sebab dia? Aku menjerit dalam hati.

Aku berjalan sambil dail nombor Harith. Langsung tak tengok kiri, kanan, depan dan belakang. Tak tahu ke mana kaki melangkah. Tiba-tiba aku terlanggar seseorang yang aku tak nampak wajahnya kerana dia menghadap ke arah lain.

“Maaf, encik! Maaf! Saya tak sengaja!” luah aku berkali-kali. Itulah kau, Rene! Sibuk main handphone! Lain kali berjalan tu janganlah main redah aje. Ni tak pasal-pasal langgar orang!

Lelaki yang berbadan gempal itu segera berpaling. Buntang mata aku melihat wajah itu. Tak sangka pula akan terserempak dengan dia di KLCC ni.

“Laa.. Daddy! Sorry, daddy!! Rene tak nampak daddy! Ralit sangat taip mesej tadi! Daddy tak apa-apa?” ujar aku sedikit kesal dengan kecuaian sendiri. Rupa-rupanya aku terlanggar bekas ayah mertuaku sendiri!

Daddy sengih. “Daddy okey, Rene. No serious injuries. Ni nak ke mana ni nampak kelam-kabut semacam?”

“Takde ke mana pun, daddy. Saja jalan-jalan, window shopping konon nak hilangkan bosan. Tapi tak berkesanlah sebab tak ada kawan.”

“Samalah kita. Daddy pun tak ada geng nak ajak jalan-jalan ni.. Harith pulak tak tahu kat mana.”

Aduh! Harith sana, Harith sini. Cukuplah. Makin kerap nama itu aku dengar, makin rindu aku pada dia. Oppss…!! Aku rindukan dia? Yes!! I miss him! So much! And I am dying to see him.. AGAIN!

Nanti dulu! Daddy kata dia tak tahu Harith kat mana! Kan ke lebih bagus kalau aku gunakan peluang ini untuk bertanyakan tentang Harith pada ayahnya sendiri? Ini sudah bagus!

“Daddy takde nak ke mana-mana, kan? Kita pergi minum kejap boleh? Rene ada benda nak cakap dengan daddy..” aku segera meluahkan hasrat.

“Boleh aje. Jomlah.” balas daddy senang.

______________________________

Kami memilih Secret Recipe sebagai lokasi minum petang. Dekat luar sana tu hujan lebat. Kalau cuaca sejuk begini, memang sedap bila dapat minum kopi panas-panas.

“Hanim kata Harith balik rumah daddy, betul?” Lancar aku mengajukan pertanyaan itu pada daddy.

Daddy menyisip sedikit cappucino dari cawannya sebelum soalan aku dijawab.

“A’ah. Dah dua malam dah dia tidur kat rumah daddy. Kenapa, Rene?”

Agak payah juga aku hendak jelaskan kenapa aku bertanyakan tentang Harith. Aku cuba untuk menyusun ayat sebelum diluahkan pada daddy.

“Aa… Daddy tengok.. Harith tu okey ke tak? Maksud Rene.. Nampak dia macam ada masalah ke? Muram ke? Sedih?” soal aku sedikit teragak-agak, tersekat-sekat.

“Haa.. Itu yang daddy duk fikirkan sangat tu! Sehari dua ni memang daddy tengok Harith lain sangat, macam orang putus cinta. Selalunya dia kalau jumpa daddy ceria bukan main, tapi kali ni sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab. Termenung sana sini. Runsing pulak daddy tengok dia..”

Ya Allah. Apa yang aku dah buat? Sedih hati aku hanya Tuhan yang tahu. Itu baru dengar daddy cerita. Belum lagi tengok sendiri keadaan Harith tu macam mana. Agaknya aku meraung macam nak gila kut?

“Boleh daddy tanya? Rene dengan Harith ada masalah ke?” daddy pandang tepat ke wajahku.

“Ada selisih faham sikit, daddy.. Renelah puncanya Harith jadi macam tu.”

Aku berjeda.

“Sekarang ni Rene cuba contact dia, tapi jangankan jawab telefon, mesej pun dia tak balas. Rene nak cuba slow talk dengan dia sebenarnya tapi dah dia asyik mengelak macam ni.. Payahlah..” Dengan rela hati aku bercerita. Sedangkan awal tadi aku ragu-ragu untuk berterus-terang. Tapi aku rasa ada bagusnya juga kalau aku cakap dengan ayah Harith sendiri. Manalah tahu dia boleh bantu aku.

“Patutlah.. Bergaduhlah ni? Hmm.. Tak apa. Nanti daddy cuba cakap dengan dia. Sajalah tu Harith nak tarik perhatian Rene agaknya.. Walhal dia tu bukannya jenis yang kuat merajuk. Kalau marah pun tak pernah lama, sekejap je dia boleh cool down balik.”

Aku mengukir senyum paksa. Harapnya masinlah mulut daddy. Harapnya rajuk dan marah Harith tak lama. Mintak-mintaklah semua ini tak akan berpanjangan. Penatlah gaduh macam ni. Harith tak penat ke? Nampak macam seronok sangat abaikan aku terus-terusan macam ni.

“Tak, daddy. Kesalahan Rene ni memang tak boleh dimaafkan. Sebab itulah Harith bengang sangat. Takpelah.. Rene akan cuba pujuk dia jugak nanti,”

“Baguslah. Tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan. Bergaduh ke, salah faham ke, itu perkara normal. Kalau kena gayanya, sekejap je rajuk anak daddy tu.. Tambahan pulak kalau yang memujuk tu Rene. Sejuklah hati dia tu nanti.”

Aku senyum. Moga-moga apa yang dikatakan oleh daddy itu akan termakbul nanti. Amin.

_____________________________

TQ for reading. Jgn lupa komen ya? Utk silent readers, tq jgk sbb sudi baca.. sudi2kanlah jari anda utk tekan butang reaction di bawah.. (tiada paksaan, tapi sebenarnya feedback pembaca adalah amat penting utk seorang penulis baiki kelemahannya) :) thank u.

Wednesday 14 May 2014

Truly, Madly, Deeply 2

PUAN Zulaikha berdiri lama di sliding door, memerhati Arissa yang baru turun dari kereta Kelisa warna hitam kuning. Dahinya berkerut seribu. Siapa pulak yang hantar Arissa balik? Biasanya anak daranya itu akan balik dengan Adrian. Hairan. Mana Adrian?

Puan Zulaikha segera mendapatkan Arissa yang baru masuk ke rumah. Lembut matanya merenung wajah anak tunggalnya itu.

“Arissa balik dengan siapa? Mana Ian?”

Arissa tak terus jawab. Tangan ibunya dicapai dan dikucup hormat.

“Orang balik dengan kawan, malas nak tunggu Ian. Lambat sangat.” jawab Arissa dengan intonasi lemah. Pedih hatinya tatkala nama Adrian meniti di bibir ibunya. Tadi Adrian SMS beritahu dia nak ambil Arissa di kampus, tapi Arissa dah tak ada hati nak jumpa Adrian lagi. Sebab itulah dia tumpang kawan dan tak cakap apa-apa pada Adrian, biar Adrian sakit hati.

Puan Zulaikha bertambah hairan melihat riak wajah Arissa yang sedikit sugul dan muram.

“Lain macam je ni? Bergaduh ke?” tebak Puan Zulaikha lalu melabuhkan punggung di sofa.

Satu soalan yang tak mahu dijawab. Arissa menunduk. Kalau boleh, dia tak mahu cakap pasal ini lagi. Dan dia tak mahu masalah ini sampai ke pengetahuan mama dan abahnya pula.

“Orang naik dulu, mama. Orang penat. Nak mandi,” dalih Arissa seraya melangkah ke tangga. Baik aku lari cepat, sebelum mama tanya macam-macam lagi. Malas nak bersoal jawab itu dan ini.

Senyum hambar terukir di bibir Puan Zulaikha. Kalau Arissa tak jawab pun, dia sudah tahu. Dia lebih dulu makan garam dari Arissa. Nalurinya kuat mengatakan ada sesuatu yang terjadi dan pastinya melibatkan Adrian juga.

“Nanti lepas Maghrib turun makan. Mama dah nak siap masak dah ni.” pesan Puan Zulaikha sebelum anaknya hilang dari pandangan.

Arissa angguk, terus naik ke tingkat atas. Masuk bilik, beg sandang dan buku rujukannya diletak atas meja tulis. Crumple shawl yang dipakai disangkut pada penyangkut baju. Penghawa dingin dibuka dan dia terus menghempaskan tubuhnya ke katil. Siling bilik direnung lama. Segala yang berlaku bagaikan igauan ngeri buat Arissa. Betul ke Adrian dah ada yang lain? Dia dah tak sayang aku?

Sikit pun Arissa tak terkejut kalau Adrian kata dia masih sayangkan Krisya. Maklumlah, Krisya cinta pertama Adrian. Kata orang, sukar untuk melupakan cinta pertama. Arissa tahu semua pasal Krisya, itu pun Adrian yang cerita. 6 tahun mereka bercinta, sejak dari tingkatan 3. Tetapi takdir mengatasi segalanya bila Krisya mula buat perangai. Masuk universiti, Krisya berubah hati dan putuskan hubungannya dengan Adrian. Tapi sekarang Krisya muncul lagi dan itulah yang merunsingkan Arissa. Adakah dia bakal kehilangan Adrian?

Telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nama pemanggil yang tertera di skrin handphone, Arissa berbelah-bagi. Adrian call! Nak jawab ke tak? Nak jawab ke tak? Arissa teragak-agak. Deringannya terhenti. Beberapa saat kemudian, Adrian telefon lagi. Dia mengeluh berat. Sampai bila aku nak macam ni? Masalah takkan selesai kalau aku asyik mengelak. Suka atau tidak, aku kena hadap semua ni. Handphonenya dilekapkan ke telinga.

“Hello,” perlahan suara Arissa, antara dengar dan tidak. Arissa bangun dari pembaringannya.

“Sayang, you dah sampai rumah? Kenapa tak tunggu I? Kan I dah cakap I nak ambil you tadi? Tak baca mesej ke?” bertubi-tubi Adrian menyoal.

“I penat. Malas nak tunggu you. Sebab tulah I balik dulu,”

“Habis tu you langsung tak cakap sepatah dekat I, kan?! Suka hati you je buat macam ni! I macam orang bodoh tunggu you dekat sana tadi!!” Adrian bengang. Suaranya juga meninggi.

Arissa tergamam. Sampai macam tu sekali dia marahkan aku? Dulu, marah macam mana pun dia tak pernah tinggikan suara. Sekarang, dia dah pandai tengking aku? Betul ke ini Adrian yang aku kenal dulu?

“Sorrylah kalau I dah menyusahkan you, Ian. Lepas ni you tak payah susahkan diri you datang ambil I lagi,” cukup lirih nada Arissa, bergetar menahan sebak. Sedih yang dirasakan sudah tidak terbendung lagi.

“Sayang.. I.. I tak bermaksud macam tu pun..” ujar Adrian tersekat-sekat, nadanya kembali mendatar. Pasti sudah diterjah rasa bersalah kerana memarahi Arissa sebegitu.

Air mata semakin deras mengalir ke pipi. Semua yang dipendam dilepaskan semahu-mahunya. Esak tangisnya kian kedengaran. Adrian juga sudah terkedu. Arissa dah tak peduli kalau Adrian dengar semua tu. Biar Adrian tahu betapa kecewanya dia.

“Kenapa you nangis? I mintak maaf, I tak sengaja marah you..” pujuk Adrian lembut. Sesalnya menggunung.

Arissa tak memberi respons. Tersedu-sedu dia menangis. Lepas dia dah sakitkan hati aku, tahu pula dia minta maaf. Adrian kejam!! Aku benci dia!!

“Sayang, janganlah macam ni. Tolonglah.. Kenapa ni? I peliklah dengan you. Hari ni satu hari you buat tak endah je dengan I. Tengahari tadi pun you macam tak suka jumpa I. Cuba cakap dengan I, apa yang I dah buat sampai you layan I macam ni?”

“Jawapannya ada pada you sendiri, Ian.”

“You cakap apa ni? I tak faham. I ada buat salah ke?” soal Adrian kebingungan.

“You tak faham atau sengaja buat tak faham? I nak tanya you, I ni sebenarnya siapa dalam hidup you? I tak penting pun bagi you, kan?! Am I right?!” nafas Arissa mula tidak menentu, kesabaran kian menghilang.

“Kenapa cakap macam tu? Dah tentu you penting untuk I. You soulmate I. I sayang you sangat-sangat! You tahu tu kan?”

Soulmate konon!! Kalau betullah aku ni soulmate dia, dia takkan buat aku menangis! Bentak Arissa dalam hati.

“Soulmate. Betul ke I ni soulmate you? Kalau I ni penting untuk you, you takkan sanggup ketepikan I, Ian. Lebih-lebih lagi semalam. Semalam anniversary kita dan I dah plan lama nak sambut tarikh penting tu dengan you. Tapi you sanggup batalkan semuanya demi kawan-kawan you, demi Krisya!!” ujar Arissa dengan suara yang tertahan. Bimbang mama dia dengar nanti.

Terdiam Adrian. Terkejut dia bila Arissa ungkit tentang Krisya. Adrian mengeluh perlahan. Mendengar tangisan Arissa menyebabkan dia kian resah. Arissa menyeka air matanya kasar. Sungguh, dia benci dengan diri sendiri yang terlalu lemah kerana lelaki.. Kerana cinta.

“I dah tahu semuanya, Ian. Walaupun you tak cakap tapi I tahu. Mungkin ini petunjuk dari Allah untuk I. I nampak semuanya dekat Facebook tadi. Gambar you dengan dia, bukan main mesra lagi. Itu semua dah cukup menyeksakan I..”

“Sayang, it’s not like what it seems. Untuk pengetahuan you I pergi reunion tu bukan sebab Krisya! Sebenarnya I tak tahu pun Krisya join sekali, Azmeer tak cakap pun Krisya ada. Tolonglah percayakan I..”

Adrian berjeda.

“I mintak maaf. Memang salah I sebab tak cakap dengan you tapi bukan niat I lukakan hati you. I cuma taknak gaduh dengan you, I taknak you salah faham.”

Arissa membisu seribu bahasa, seolah sudah hilang kepercayaan terhadap lelaki yang dicintai. Tidak yakin dengan setiap penjelasan yang diberikan. Adrian bercakap benar atau itu hanyalah dusta belaka?

“Sayang… Say something, please. Jangan diam macam ni,” rayu Adrian. Kebisuan Arissa membuatkan dia semakin tertekan.

“I penat. Tak mahu diganggu. Tolong jangan call I lagi.” pinta Arissa dan terus mematikan talian. Sekarang dia cuma ingin bertenang dan tidak mahu diganggu. Itu lebih baik



DAH dua hari Adrian tak dengar suara Arissa. Bila call, tak pernah ada respons. Kalau mesej pun, boleh kira berapa kali si cantik manis tu balas. Adrian tahu, Arissa masih perlukan waktu. Jadi mahu tak mahu terpaksalah dia bersabar sampai Arissa okey semula.

Di kedai mamak, dari A sampai Z dia ceritakan pada Hanif. Hanif pendengar yang baik. Apa saja masalah yang dihadapinya, Haniflah orang pertama yang dicari.

“Padanlah kalau aku tengok si Arissa tu macam moody je satu hari ni. Ingatkan sebab assignment dia tu, rupa-rupanya gaduh dengan boyfriend!” ujar Hanif sebelum menyuap roti canai. Sesekali matanya menghala ke kaca TV.

Kening Adrian bertaut. “Kejap! Assignment dia? Kenapa dengan assignment dia?”

“Pagi tadi punya cerita, pensyarah kita orang tu marah dia teruk jugak. Arissa silap sikit je, tak ikut format yang dia mintak. Tak puas hati tu takpelah, tapi tak payahlah marah Arissa depan satu kelas. Malulah dia!”

Adrian bungkam. Kesian Arissa. Kena marah dengan lecturer? Dua hari tak contact, langsung tak tahu apa-apa cerita pasal dia. Kalaulah mereka tak bergaduh, dah tentu Adrian boleh tenangkan buah hatinya itu.

“Hai! Boleh join?”

Perbualan mereka terganggu. Tidak ada sepatah kata dari Adrian tatkala melihat insan yang menyapa. Pertemuan yang tidak diduga. Adrian tak sangka akan jumpa gadis itu di sini. Rasa kurang senang dengan kehadiran insan itu menjalar di hati.

“Eh! Krisya!! Buat apa kat sini?” tanya Hanif ramah. Berbeza dengan Adrian yang tiada sebarang riak di wajahnya. Sempat Hanif menjeling ke arah sahabatnya itu dan dia ketawa dalam hati. Sudah tahu isi hati Adrian. Pasti lelaki itu tidak suka melihat Krisya di sini.

“Saja. Teringin nak makan chicken chop! Tak sangka jumpa you guys kat sini pulak. Ian, I call you dari tadi you tak angkat-angkat. Kesian I tau, penat je dail nombor you.” Tanpa dipelawa, Krisya terus duduk di sebelah Adrian. Riang wajahnya, seriang hatinya kerana dapat berjumpa Adrian lagi.

Krisya call? Kenapa aku tak dengar fon? Aku silent ke? Hatinya bersuara. Adrian teraba-raba poket jeansnya. Eh? Mana fon aku ni?

“Ya Allah!! I tertinggal fon dalam kereta!” Adrian menepuk dahi. Macam manalah aku boleh terlupa 'nyawa' aku tu? Dahlah zaman sekarang banyak orang buat jenayah. Dibuatnya ada yang pecah kereta aku, mampus! Ish! Minta dijauhkan!

Krisya menggeleng-geleng perlahan. “You ni dari dulu sampai sekarang tak ubah-ubah. Nyanyuk macam mak nenek!”

“Betul tu, Krisya. I setuju. Adrian ni memang pelupa! Nasib baik dia ingat lagi kawan-kawan dia. Kalau tak, kita pun dia tak kenal.” ujar Hanif disusuli ketawa kecil.

Adrian dan Krisya ketawa. Hanif yang berbaju-T Paul Frank menoleh ke belakang, melambai-lambaikan tangan ke arah tiga orang lelaki yang duduk agak jauh dari mereka. Salah seorang darinya menggamit Hanif ke situ.

“Korang sembang kejap eh? Nak pergi lepak dengan kawan kejap kat sana. Nanti aku datang balik.” ujar Hanif sebaik dia memandang Adrian.

Adrian yang bersandar malas pada kerusi mengangguk perlahan. Yang sebenarnya dia tak mahu duduk berduaan dengan Krisya begitu. Tak selesa. Tapi Hanif ni.. Masa macam nilah dia nak lepak dengan budak-budak tu pulak. Adrian mendengus bosan. Dia bungkam terus. Tak tahu apa yang hendak dibualkan. Hish!! Kenapalah si Krisya ni boleh datang lepak sini pulak? Perlu ke terserempak macam ni? Aku dahlah tengah stress, datang pulak cik kak seorang ni. Bertambah stress aku dibuatnya!! Arghh!! Benci!

Diam-diam Krisya memerhati jejaka kacak di sebelah. Hatinya berbunga bahagia bila ternampak Adrian tadi. Rindunya dia pada Adrian hanya Tuhan yang tahu. Sejak pertemuan malam itu, dia jadi tak keruan. Kerinduannya terhadap Adrian semakin menebal, apa lagi sudah bertahun tidak bersua. Tapi, reaksi Adrian kali ini dirasakan cukup dingin dan hambar. Tidak ada senyuman atau gelak tawa dari lelaki itu. Adrian tak suka ke jumpa aku? Hati Krisya menebak.

“You ni kenapa? Kalau jumpa I je terus jadi bisu. Tak suka jumpa I eh?” Krisya tak puas hati. Dari tadi Adrian buat tak tahu dengan aku. Aku ni tunggul ke?

“Tak ada benda yang nak dibualkan sebab itu I diam.” balas Adrian yang hanya beriak selamba.

Krisya tersenyum hambar. Sangkaannya tepat. Adrian tak suka jumpa dia dan tak perlu lagi ditanya mengapa kerana dia sudah tahu jawapannya.

“Malam tu kita tak sempat sembang panjang. Sebenarnya banyak sangat benda yang I nak tanya dekat you, tapi you macam nak tak nak je layan I.” Krisya membuka topik. Malam tu tak sempat borak lama-lama dengan Adrian. Nama je reunion, tapi masing-masing berlagak seolah tak saling mengenali satu sama lain. Hanya ada satu sebab mengapa hubungan mereka renggang. Semuanya berpunca dari kesilapan Krisya sendiri dan Krisya tahu, sukar untuk dia jernihkan keadaan. Adrian seolah begitu membenci dirinya kini.

“You dengan siapa sekarang? Atau masih single?” Krisya menyerkap jarang. Bertahun-tahun terpisah, banyak benda tentang Adrian yang dia tak tahu. Bila dah jumpa balik, Krisya nak sangat tahu dengan siapa Adrian berkawan? Mungkinkah lelaki itu sudah punya yang teristimewa, yang jauh lebih sempurna darinya?

“I’m single but not available.” jawab Adrian tanpa melihat Krisya. Pandangannya melekat pada kaca TV. Sememangnya dia sudah tidak ada hati untuk terus menatap wajah itu lagi. Wajah gadis yang dulunya begitu istimewa buat Adrian. Sayang seribu kali sayang, kasih sayangnya tidak dihargai. Krisya sama saja macam perempuan lain di luar sana. Kejam..!

Krisya menelan liur. Single but not available? Maknanya memang betullah dia dah berpunya? Pedih hati Krisya mendengarnya. Adrian dah ada girlfriend? Siapa orangnya ya?

“So, who is that lucky girl? Do I know her?” soal Krisya lagi ingin tahu.

Adrian diam. Malas nak jawab apa-apa. Milo aisnya disedut sampai habis. Sesekali terdengar suara Hanif ketawa kuat di meja sana, dengan kawan-kawannya yang lain. Entah apa yang mereka sembang, ketawa sampai nak terkeluar anak tekak. Satu kedai ni kecoh dengan suara dia orang je. Kecoh macam pasar ikan!

“Mesti you sayang dia sangat, kan? Bertuah sungguh dia sebab dapat memiliki seseorang macam you,”

“I yang bertuah sebab dapat dia. Dan jawapan untuk soalan you tu, memang I sayang dia sangat. Sayang sepenuh hati.”

“I tahu you takkan main-main bila you kata sayang. I je yang bodoh sebab tak nampak semua tu. Sekarang ni I dah terima hukumannya dan I menyesal sangat-sangat, Ian.”

Adrian tersenyum sinis. Baru sekarang nak menyesal? Dulu masa tinggalkan aku, sikit pun tak fikir hati aku!! Sekarang pandai pula nak jilat ludah sendiri!!

“Tak payah ungkit kisah lama. I dah ada kehidupan baru dan you pun sama,” ujar Adrian bersahaja. Dia dah malas nak ingat apa yang dah terjadi. Semuanya hanya akan menambahkan lagi pedih di hati. Dua tahun Adrian cuba ubati hatinya, bangkit dari kekecewaan dan akhirnya dia bertemu dengan Arissa, satu-satunya insan yang berjaya membuka pintu hatinya semula.

“I masih tak boleh lupakan kenangan kita. Kadang-kadang, bila I rindu I akan bukak balik diari I. Semua pasal kita I baca. Gambar-gambar kita pun I masih simpan, just in case I rindukan you I tengoklah gambar you,” luah Krisya tanpa dipinta. Sungguh, andai diberi peluang dia ingin kembali ke masa lalu dan menebus semua kesalahannya dulu.

Adrian rasa macam nak ketawa dengar pengakuan Krisya. Kelakarnya!! Perempuan yang dulunya berlagak tak perlukan cinta aku, boleh datang dan mengaku yang dia rindukan aku? Kalau tak aku yang mimpi, mesti Krisya yang mengigau ni!! Dia sedar ke tak apa yang dia cakapkan ni?!

“You dah lupa kut you pernah cakap yang you dah tak perlukan I lagi. Jadi untuk apa lagi you ingat I? Banyak lagi lelaki handsome dan kaya kat luar sana, pergilah kejar. Nanti you juga yang rugi,” sindir Adrian, sengaja ingin membakar hati Krisya. Setiap kali terkenangkan hal itu, Adrian terasa hatinya bagai ditusuk sembilu. Kalaulah Krisya bukan mata duitan, pasti itu semua takkan terjadi!

Krisya tergamam. Terpukul dek sindiran Adrian. Terasa dirinya begitu bodoh kerana begitu gilakan harta dan wang ringgit. Kerana Muaz, Adrian ditinggalkan dan dia sedar lelaki seperti Muaz tak menjaminkan kebahagiaan buat dirinya!! Adrian jauh lebih baik dari Muaz, biarpun tidak berharta!

“Lepas I dah terkena dengan mamat tu, baru I sedar yang kekayaan takkan menjamin kebahagiaan. Muaz cuma nak gunakan I. Maafkan I, Ian. I yang bodoh sebab melepaskan insan sebaik you, yang mencintai I apa adanya. You yang paling sempurna buat I, Ian.” Krisya bernada sayu. Apa yang harus dia lakukan supaya dapat menebus semula dosanya itu?

Adrian mengeluh berat. “Dahlah, Krisya. Buat apalah kita cakap pasal benda yang dah lepas? Sekarang I dah cukup bahagia dengan apa yang I ada. I dah tak mahu yang lain. Titik.” Adrian terus mematikan ayat. Saat ini wajah Arissa terbayang-bayang di matanya.





ADRIAN menghembus nafas lega. Akhirnya berjaya juga dia cari alasan untuk mengelak dari terus berbual dengan Krisya di situ. Katanya abang kat rumah tak sihat, terpaksa balik cepat. Krisya percaya bulat-bulat! Adrian ketawa dalam hati. Masuk ke kereta, terus dia capai telefon bimbitnya.

Hampir tercampak biji matanya bila dia lihat ada 25 missed calls dan SMS dari Arissa. Ya Allah!! Arissa call?! Habislah aku!! Satu pun aku tak jawab! Agak-agak Arissa percaya tak kalau aku kata aku tertinggal fon dalam kereta? Kalau dia tak percaya macam mana?

Satu benda yang membuatkan Adrian begitu gembira. Kalau Arissa telefon, itu bermakna kemarahannya sudah reda. Adrian tersenyum lebar. 25 missed calls! Nampaknya ada orang rindukan aku, sebab itulah dia cari aku!

Sayang, I nak jumpa you. Kita keluar makan kejap lagi boleh? - Arissa

Sayang, mana you? Kenapa tak jawab call? Dah tidur ke? - Arissa

Mesej yang dikirim dua jam yang lalu itu dibaca dengan senyum meleret di bibir. Sayang. Rindunya nak dengar Arissa panggil sayang. Bisik Adrian dalam hati. Enjin kereta dihidupkan. Tak sabar nak dengar suara yang tersayang, nombor Arissa segera dicari.

Panggilan pertama, terputus. Aik? Apasal putus pulak ni? Arissa reject ke? Dia tertekan kut? Adrian cuba lagi sekali. Namun hampa. Panggilannya sekali lagi direject. Adrian mengerut dahi. Kenapa pulak dia reject? Tadi beria nak cakap dengan aku, ni bila aku call dia matikan pulak! Kenapa dengan Arissa ni?

Masih tak putus asa, sekali lagi nombor Arissa didail. Kali ini ada respons dari Arissa. Adrian menghela nafas lega. Senyum kembali terukir di bibirnya.

“Sayang, sorry tadi I ter…” bicara Adrian tergantung di situ. Dia terkedu mendengar esak tangis pilu di corong telefon.

Arissa menangis? Adrian bingung. Kenapa dia menangis?

“Sayang? Kenapa you menangis ni?” Adrian panik. Dia cukup takut kalau dengar Arissa menangis. Dia takut kalau ada apa-apa terjadi pada gadis itu.

Tidak ada jawapan dari Arissa, namun sendu tangisnya kian berlagu, membuat Adrian semakin tak tentu arah. Ya Allah.. Kenapa dengan dia? Kenapa dia menangis macam ni?

“Janganlah takutkan I macam ni. Please, sayang. Cakaplah.. Kenapa you nangis?”

“I dah tak ada apa-apa nak cakap dengan you, Adrian. Jangan call I lagi.” ujar Arissa tersedu-sedu. Terlalu perlahan suaranya, hampir tak kedengaran. Bergetar menahan sebak.

“What?” Adrian kebingungan. Kenapa Arissa cakap macam tu sedangkan tadi dia yang SMS aku, call aku ajak aku jumpa. Kenapa pulak sekarang ni dia tak bagi aku call dia?

“I dah taknak jumpa you!” tempik Arissa kuat.

“Tapi kenapa? Kan tadi you call I, you cakap you nak…”

“Kita putus!! I dah taknak ada apa-apa dengan you!! Dengar tak?!! I nak putus!!!” Arissa memintas percakapan Adrian.

Adrian terkedu. Terkedu mendengar perkataan yang terlafaz di bibir gadis itu. Putus?

“Arissa..! I…”

Talian sudah terputus. Adrian tak sempat menghabiskan tutur bicaranya. Skrin telefon bimbitnya direnung dengan perasaan berkecamuk. Arissa mintak putus? Kenapa? Sedangkan tadi dia mesej aku siap panggil aku sayang, semuanya nampak okey. Tapi dalam masa dua jam, dia nak putus? Telefon bimbitnya dicampak kasar ke tempat duduk sebelah pemandu. Kepalanya berserabut. Tanpa sebab, Arissa putuskan hubungan mereka. Inilah yang paling ditakuti Adrian. Dia tak mahu pisang berbuah dua kali. Namun, apa yang ditakuti akhirnya terjadi. Adrian melekapkan dahinya ke stereng, matanya dipejam rapat. Ya Allah.. Aku harap ini semua hanya igauan ngeri! Sesungguhnya aku tidak sanggup untuk kehilangan dia, kerana hanya dialah yang aku dambakan dan hanya dia yang mampu menakluki hati ini. Hanya dia.

Sunday 4 May 2014

Truly, Madly, Deeply 1

DAH lebih tiga jam Arissa menghadap laptop. Assignment masih banyak yang perlu disiapkan. Malam tadi tidurnya cuma empat jam. Bangun awal pagi sambung buat kerja lagi. Semuanya perlu dibereskan dengan segera, bimbang pensyarahnya itu akan bising. Puan Laila, terkenal dengan sikap perengus dan tidak mesra alam. Pantang tak kena di matanya, habis satu kelas akan jadi mangsa. Arissa tak faham kenapa pensyarahnya yang seorang itu garang tak bertempat. Tak profesional langsung! Jarang nak tengok dia senyum. Hairan. Sakit gigi agaknya! Sebab itulah baran tak ingat!

Samsung Galaxy S4 warna putih miliknya berdering. Earphone dicabut. Sofea call.

“Beb, kau kat mana?” soal Sofea, bekas jiran Arissa sewaktu tinggal di Klang dulu.

“Kat rumah. Tengah buat assignment. Kenapa?” soal Arissa kembali. Ada dua sebab dia mahu kerjanya cepat. Satu, sebab tak mahu dimarahi Puan Laila. Dua, sebab besok adalah hari teristimewa di dalam hidupnya! Ulang tahun pertama dia dan kekasih hatinya, Adrian. Dah plan lama nak keluar berdating dengan pengarang jantungnya itu. Bila kerja dah siap, baru seronok nak ke mana-mana!

“Laa! Sibuk la ni? Aku ingatkan nak ajak kau temankan aku pergi cari kasut. Esok aku ada event. Katanya kena pakai kasut bertutup warna hitam, tapi kau pulak sibuk. Nampaknya aku kena ajak orang lainlah ni.” nada Sofea sedikit hampa.

Arissa serba-salah. Kalau tak kerana assignment ni, memang dia ikut Sofea dah! Kesian Sofea. Desisnya dalam hati.

“Kesian kau. Kalau aku tak sibuk gerenti aku boleh temankan. Tapi masalahnya aku kena cepat siapkan tugasan ni sebab lagi berapa hari je nak kena hantar. Kalau tak sempat siap mampus aku!”

“Takpelah kalau macam tu. Aku ajak housemate aku temankan. Sorry kacau kau, Arissa.”

“Takpe. Maaf jugak sebab tak dapat temankan kau.”

“It’s okay aku faham. Bye, beb.”

“Bye.”

Fon diletak ke meja. Dia bangkit dan menuju ke dapur. Bila mata sudah semakin berat, air Nescafe O lah yang akan jadi penawarnya. Sekelip mata jadi segar-bugar balik. Kalau boleh dia nak siapkan assignment sebelum esok. Baru nak ambil mug, terdengar nada dering You've Got A Way nyanyian Shania Twain dari telefon bimbitnya. Sepantas kilat dia berlari keluar. Sudah tahu siapa pemanggilnya.

“Hello, sayang.” ucap Arissa dengan senyuman meleret. Satu panggilan yang sentiasa dinantikannya. Kalau boleh, setiap hari dia mahu dengar suara lelaki itu, sebagai pengubat rindu.

“Hai, baby. Tengah buat apa?” ceria nada Adrian di hujung talian.

Arissa duduk semula, mata kembali tertumpu pada skrin laptop.

“Tengah buat assignment. You kat mana ni?”

“I kat luar, lunch dengan abang I. Sayang, sebenarnya I call you ni ada benda sikit nak beritahu. But first you must promise me you won’t get mad.”

Haih..! Kalau dah pesan jangan marah tu, mesti ada benda yang tak kena. Arissa menebak sendiri.

“I won’t. Apa dia? Cakaplah,” Tenang Arissa menutur kata, walaupun hatinya resah. Kenapa Adrian nak kena pesan macam tu? Dia nak cakap apa?

“ Macam ni.. Tadi I dapat call dari ex-classmate I masa sekolah menengah dulu. Dia cakap besok malam ada reunion dan semua kawan-kawan I pergi. So, kalau kita postpone kita punya date boleh?”

Postpone?! Arissa rasa macam nak pengsan. Sebab reunion, Adrian sanggup batalkan temujanji yang sudah lama dirancang?! Biar betul?

“Reunion? Kat mana?” Arissa masih boleh bersabar. Dia tak mahu melenting tak tentu pasal. Lagipun, dia bukannya jenis yang cepat melenting. Tak suka marah, mengamuk macam orang gila. Itu bukan dia.

“Shah Alam. Boleh ke kita cancel dulu? Lagipun bukan selalu I dapat jumpa kawan-kawan I ni. Ada yang sanggup datang dari jauh. Rugilah kalau I tak pergi.”

“Kalau I kata tak boleh?”

“Alaa! Pleaselah, sayang.. Bukannya selalu kami dapat berkumpul macam ni. Please..” rayu Adrian.

Arissa mengetap bibir. Kalau ikutkan hati, memang dia rasa nak gigit-gigit Adrian lumat. Tapi dia bukan tak tahu perangai Adrian. Dah banyak kali Adrian batalkan temujanji mereka sebab kawan-kawan. Kadang-kadang Arissa keliru, Adrian bercinta dengan dia atau kawan-kawan dia?

“Pergilah..” Arissa malas nak perbesarkan benda ni. Kalau dah begitu kata Adrian, apa lagi yang dia boleh buat? Dia tak mahu dilabel sebagai kekasih yang kuat mengongkong. Baru jadi awek dah mula nak kontrol itu dan ini. Bila dah kahwin nanti lagi teruk dari itulah agaknya!

“Thank you, sayang!! I tahu you mesti tak kisah punya! Sebab tu I sayang you sangat! You aje yang paling faham I. Thank you, baby!” intonasi Adrian kedengaran teruja.

Arissa diam seketika, cuba menyembunyikan rasa hampa. Lama dia plan benda ni, sudahnya tak jadi. Apa boleh buat? Manusia hanya mampu merancang, kan? Sabarlah, Arissa. Hatinya memujuk.

“I kena letak fon dah ni.” Sudah tidak ada benda yang hendak dicakapkan Arissa. Dalam erti kata lain, dia merajuk.

“Ok sayang. Talk to you later. Love you. Bye.”

“Love you too. Bye.”

Talian dimatikan. Arissa mengeluh berat. Baru ingat nak spend time dengan dia, nak sambut anniversary sama-sama. Tapi semuanya tak jadi. Nak buat macam mana kalau dah tak ada rezeki. Sabarlah hati.





BERDERAU darah Arissa tatkala ternampak gambar itu di Facebook. Adrian dan seorang gadis cantik di meja makan, tersenyum mesra. Gambar yang diupload oleh Azmeer kawannya Adrian. Pedih mata Arissa baca caption gambar itu.

'Setelah sekian lama terpisah, hari ini bertemu juga.'

Arissa tahu ini gambar reunion Adrian dan kawan-kawannya malam tadi. Dia menelan liur. Perit. Sangat perit. Padanlah kalau Adrian sanggup batalkan date mereka, rupa-rupanya ada seseorang yang sudah menanti di sana. Siapa lagi kalau bukan Krisya, bekas girlfriend Adrian merangkap teman sekelasnya di sekolah menengah dulu! Dan Adrian tak cakap apa-apa pasal ini. Nampaknya Adrian sengaja merahsiakan tentang pertemuannya dengan Krisya malam tadi.

“Sorang je? Boleh duduk?” sapa seseorang.

Arissa tersentak, lantas dia menutup laptopnya. Tak mahu Adrian nampak apa yang dia lihat. Arissa mengerling jamnya sekilas. Adrian lambat 20 minit. Janji nak jumpa pukul 1 tadi, katanya nak lunch sama-sama. Tapi Adrian selalu lambat. Mana reti nak tepati masa. Sakitnya hati Arissa. Bukan sebab Adrian lambat, tapi sebab gambar tu. Adrian... Adrian curang dengan aku ke?

Berkerut dahi Adrian melihat riak wajah kekasihnya itu. Hambar, macam ada yang tak kena. Selalunya Arissa kalau jumpa dia, ceria bukan main. Tapi hari ni, layanannya berbeza.

“Aik? Minum air je? Sayang tak lapar ke?” soal Adrian sebaik dia ambil tempat duduk setentang dengan Arissa. Cuma segelas jus epal yang ada di situ. Awek aku ni taknak makan apa-apa ke? Soalnya dalam hati.

“Tak.” jawab Arissa acuh tak acuh.

Adrian mengeluh kecil. Bukan dia tak tahu, buah hatinya tu sekarang tengah jaga badan. Katanya takut gemuk sampai rela tak makan nasi. Adrian risau kesihatan gadis itu terganggu. Walhal bentuk badannya sudah cukup sempurna. Adrian segera menggamit pelayan restoran itu dan memesan bihun sup dan teh tarik ais.

“Sayang, malam ni kita keluar nak?” ajak Adrian. Rasa bersalah kerana membatalkan temujanji mereka semalam. Tapi apa boleh buat? Kebetulan malam tadi juga reunion dia dengan kawan-kawan sekolah menengahnya. Hendak menolak, dia tidak sanggup.

“Nak pergi mana?” soal Arissa sambil pura-pura fokus pada telefon bimbitnya. Tak ingin pandang muka Adrian saat ini. Hatinya terlalu sakit!! Sumpah!! Dia rasa macam nak menangis!! Tergamaknya Adrian buat dia begitu!

“Tengok movie. Kan semalam kita tak jadi keluar. Jadi I nak ganti balik malam ni.”

Arissa menggeleng laju. “Taknaklah. Malas.”

“Laa.. Kata nak celebrate our first anniversary. Jomlah keluar.” Adrian mula tak sedap hati. Kenapa semudah itu Arissa menolak? Selalunya Arissa tak macam ni pun. Ke dia marah sebab aku cancel date kami semalam?

“Ingatkan you dah tak kisah dengan semua tu..” sindir Arissa dengan muka selamba. Dah jumpa awek lama, masih ada hati nak ajak aku keluar?! Dasar lelaki!! Tak pernah cukup dengan yang satu!!

Berubah air muka Adrian. Apa maksud dia cakap macam tu? Sejak bila aku tak kisah pasal kami? Beribu soalan bermain di mindanya. Tak sempat Adrian ingin bertanya, mereka disapa seseorang.

“Amboi, amboi!! Syok berdating nampak?! Nak kacau daun sikit boleh?”

Serentak mereka menoleh ke arah insan itu. Hanif yang berhelmet tercegat di tepi meja, tersengih macam kerang busuk. Adrian mendengus. Aku baru nak dating dengan awek aku, ada pulak yang potong line. Getusnya dalam hati.

“Kau ni mana boleh tengok orang senang. Ada je yang nak mengacau.” Adrian menggerutu. Dia dengan Hanif dah lama berkawan sejak dari sekolah menengah lagi, jadinya dia tahu Hanif takkan ambil hati dengan kata-katanya itu.

Hanif ketawa dan terus duduk di sebelah Adrian. Helmetnya dibuka dan diletak ke meja. Selain Adrian, dia juga rapat dengan Arissa kerana gadis itu merupakan teman sekelasnya di Management & Science University, Shah Alam. Satu kebetulan gadis itu adalah kekasih kepada kawan baiknya sendiri. Sempat lagi dia melirik ke arah Arissa yang begitu leka dengan telefon bimbitnya dengan wajah mencuka. Lain macam je budak ni? Takkan gaduh kut?

“Bro, semalam reunion habis pukul berapa?” Hanif membuka topik. Semalam memang dia nak pergi sama, tapi banyak pula halangan yang mendatang.

“12. Rugi kau tak datang. Best gila dapat jumpa kawan-kawan lama. Lepas rindu kat semua!” cerita Adrian penuh teruja, tanpa mengetahui perkara itulah punca Arissa jadi badmood.

Arissa diam memasang telinga. Lepas rindu kat semua ke, lepas rindu kat Krisya?! Bentaknya dalam hati.

“Yelah. Kau tu bestlah sebab dapat jumpa Krisya tuuu..! Dah lama tak jumpalah katakan!” lancar saja mulut Hanif memerli dan sebenarnya dia tidak memaksudkan apa-apa. Niatnya cuma hendak mengusik, gara-gara ternampak gambar yang ditag oleh Azmeer di Facebooknya.

Pantas Adrian menjegil mata ke arah Hanif, tidak senang dengan gurauan sahabatnya itu. Juga tidak mahu Arissa mendengarnya. Bukan apa, dia taknak disebabkan itu dia bergaduh dengan Arissa nanti. Sebab itulah dia taknak Arissa tahu. Lagipun dia sendiri tidak menyangka Krisya juga ada di situ malam tadi. Beberapa saat kemudian, pelayan tadi datang membawa pesanan Adrian.

Arissa yang tadinya pura-pura tidak mendengar apa-apa, segera bangkit dari kerusi. Panas telinga dia dibuatnya!! Kalau Hanif dah cakap macam tu, maknanya memang betullah apa yang aku tengok tadi. Krisya pun ada dekat reunion tu!! Segera Arissa kemas barang-barangnya. Laptop dimasukkan ke dalam beg sandang. Handphone dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

“Eh? Sayang nak pergi mana?” Adrian tercengang.

“Balik kampus.” jawab Arissa tanpa memandang Adrian. Wajahnya cukup serius. Bom kesabarannya hampir meletup!

“Tapi kan ni baru pukul 1.30. Kelas you pukul 2. Ada masa lagi ni,” ujar Adrian lagi. Orang baru nak lepas rindu dekat dia, dia dah nak balik. Dah kenapa dengan awek aku ni? Dari tadi serius, tak friendly langsung. Takkan angin kus-kus dia dah datang?

“I ada hal.”

“I hantar you.”

“Tak payah. I boleh jalan kaki.” balas Arissa. Dia lebih selesa bersendirian buat masa ini. Tak mahu diganggu Adrian. Lagipun, kampus tak jauh mana. Jalan kaki pun sekejap aje dah boleh sampai.

Tanpa menanti lama, Arissa terus berlalu pergi. Meninggalkan Adrian yang masih kebingungan dengan perubahan sikapnya itu.



HAMPIR 20 minit dia menanti, namun batang hidung Arissa masih tak kelihatan. Sesekali dia menjeling jam tangannya. Sepatutnya Arissa dah habis kelas. Dan rasanya tadi dia dah mesej Arissa, beritahu yang dia akan ambil Arissa. Tapi mana dia? Takkan dah balik kut?

Adrian mundar-mandir di tepi kereta. Sabar menanti buah hati pengarang jantungnya itu. Dia bersandar pada kereta, sambil berpeluk tubuh. Sebaik saja dia berpaling ke belakang, dia ternampak kelibat Deena, classmate Arissa. Segera dia mendapatkan gadis itu yang sedang menapak ke kereta dengan dua orang lagi kawannya yang lain.

“Deena, you nampak Arissa tak?”

“Arissa? Kalau tak silap I dia dah balik dah. Setengah jam tadi lebih kurang,”

Setengah jam tadi? Maknanya dia habis kelas awal? Habis tu kenapa balik tak cakap dekat aku? Saja nak buat aku tertunggu-tunggu kat sini? Aduhai!! Aku punyalah kejar masa taknak buat dia tunggu lama, tapi sudahnya aku pulak yang kena tinggal! Arissa! Kenapa dengan you ni? Sejak bila you tak pandai mesej I ni? Dulu, Arissa kalau nak ke mana-mana, mesti akan mesej dia dulu. Tapi hari ni semuanya berubah. Kenapa dengan dia ya?

“Dah balik? Dengan siapa?”

“Dengan classmate kita orang jugak. Kenapa?”

“Sepatutnya dia balik dengan I sebab I dah janji dengan dia. Entahlah.. Maybe dia tak dapat mesej I kut..”

Deena cuma senyum. Adrian ambil telefon bimbit dari poket seluarnya, ingin tengok ada SMS atau call dari Arissa atau tidak. Hampa. Tidak ada sebarang respons dari gadis itu.

“Takpelah, Deena. Thanks. I balik dulu.” ujar Adrian sedikit hampa. Dia melangkah perlahan ke keretanya semula. Sayang, kenapa you buat I macam ni? Adrian bingung. Apa sebab Arissa layan dia begini? Seolah itu bukan diri Arissa yang sebenar. Ya, ada sesuatu yang menyebabkan Arissa jadi begitu. Tapi apa?



*****************

Hope you guys enjoy reading my first short story a.k.a mini novel (sorry kalau tak best). Akan habis di blog juga :) Do leave any comment down here. Much appreciated. Thank u.